Menu

 

A+ A A-

ANAK-ANAK MALAS SOLAT?

SEORANG bapa menyatakan kebimbangannya apabila anak-anak remaja culas atau malas solat. Setiap kali waktu solat, perlu disuruh atau dimarahi. Bagi yang menginjak dewasa dan menduduki kolej atau universiti pun begitu juga. Jika solat pun, dilakukan pada hujung-hujung waktu.

Kita patut khuatir, bagaimana anak-anak generasi akan datang ini tidak terus mengabaikan suruhan Allah s.w.t. yang wajib ini.

Mengapa begitu liat hati anak-anak didikan kita mengerjakan solat? Mereka sudah mengetahui kewajipan solat sejak di bangku sekolah lagi. Mereka sudah mengetahui tidak boleh tinggal solat setelah usia baligh. Kita pun saban kali terus menerus ingatkan mereka jangan abaikan solat. Namun, mengapa masih malas solat apabila menginjak usia?

Mari kita ungkai permasalahan ini supaya kembali rasa nikmat iman dan Islam dalam solat kita dan anak-anak.

Antara sebab-sebab mengapa anak-anak malas solat ialah:

a. Tidak Tahu Kepentingan Solat

Kebanyakan anak-anak hanya tahu tentang solat yang diajar di sekolah dari sudut ilmu sahaja. Mereka sekadar tahu perkara-anak solatperkara rukun, cara dan bacaan-bacaan solat sahaja.

Namun jarang ditekankan kepentingan solat itu sendiri. Malah lebih tahu akan kepentingan aktiviti-aktiviti yang lain. Misalnya, mereka tahu kepentingan belajar ialah untuk berjaya dan mencapai impian hidup. Kepentingan riadah dan bersukan iaitu untuk kesihatan badan dan keceriaan. Amat jarang anak-anak diingat-ingatkan mengenai kepentingan solat?

Kesannya anak-anak bukan sahaja malas atau culas mengerjakan solat, malah berasa “terseksa” jika disuruh solat. Jadinya, mereka tunaikan solat itupun tetapi bukan dengan hati yang rela, bukan dengan hati yang bersedia menghadap diri kepada Tuhannya. Mungkin sekadar mengambil hati ibu ayah sahaja.

b. Tidak Nampak Kelebihan Solat

Solat dirasakan sekadar amalan ritual, tidak lebih daripada itu. Solat yang dikatakan boleh mencegah maksiat, tidak pernah dibuktikan. Setiap hari solat tapi masih berbuat jahat; menipu, mencuri, mengata orang lain, malas dan sebagainya.

Bagi anak-anak yang jahil ilmu pula, mereka kadang-kadang tersalah mengambil contoh daripada tokoh-tokoh tertentu. Iaitu tokoh-tokoh yang berjaya dan terlalu sibuk siang malam dengan urusan dunia sehingga meninggalkan solat. Anak-anak pun tidak menganggap solat itu penting sebagaimana pentingnya hidup mereka.

c. Tiada Latihan daripada Kecil

Ada antara anak-anak malas solat kerana tidak dilatih sejak kecil. Mereka juga tidak pernah dibawa ke madrasah atau masjid untuk merasai “roh” keimanan dan keindahan solat berjemaah. Walaupun di sekolah mereka belajar tentang solat, atau mengikuti motivasi solat. Namun, yang selalunya berlaku, sekali diketuk, barulah hendak solat.

d. Ibu Bapa Culas dengan Solat

Ada antara ibu bapa apabila terlalu sibuk turut sama meninggalkan atau menangguhkan solat. Alasannya solat boleh diqada. Bagaimana ibu ayah hendak menyuruh anak-anak rajin solat, jika mereka sendiri juga malas dan berat untuk solat. Benarlah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu amatlah berat, kecuali kepada orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah 2:45)

knp solat

 

Solat Hubungan Rasmi

Solat adalah hubungan rasmi antara hamba dengan Tuhannya. Orang yang tidak solat samalah seperti orang yang memutuskan hubungannya dengan Allah s.w.t. Umpama layang-layang putus tali. Jadi, dalam usaha mengatasi masalah malas solat ini, kita sebagai ibu bapa perlu mengambil langkah-langkah berikut:

Fahamkan Kepentingan Solat

Fahamkan anak-anak, solat adalah amalan yang pertama sekali diperiksa di akhirat. Jika ia baik dan sempurna, maka baiklah amalan-amalan yang lain. Sebaliknya jika solat tersangkut, maka tersangkutlah amalan-amalan yang lain. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba pada hari Kiamat daripada amalannya ialah solat. Sekiranya solatnya baik, maka dia akan Berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi.” (Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Latih Solat Sejak Kecil

Bilakah hendak bermula? Mulakan mendidik anak-anak sejak kecil, iaitu apabila anak-anak sudah tahu yang mana tangan kiri atau kanan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.

“Jika seorang anak sudah mengetahui dan dapat membezakan tangan kanan dan kirinya, maka perintahkanlah dia untuk mengerjakan solat.”

Tujuannya ialah supaya mereka tahu akan disiplin menunaikan solat, sekalipun mereka tidak tahu membaca apa-apa bacaan solat, biar mereka ikut segala perlakuan solat kita. Kelak mereka akan terbiasa dan mudah apabila diajar tentang solat nanti.

Dihukum Jika Tidak Solat

Oleh sebab solat itu amat penting, Nabi s.a.w. menganjurkan supaya adanya ketegasan dalam mendidik anak-anak solat. Sabda baginda yang bermaksud, “Ajarkan anak-anakmu itu solat setelah mencapai usia tujuh tahun dan apabila telah berusia sepuluh tahun, maka pukullah dia jika meninggalkannya.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Mengapa perlu dipukul ketika 10 tahun? Ini kerana pada usia ini, mereka sudah mengerti dan memahami apa yang diarahkan. Namun ketika memukul, niatkan bertujuan mendidik dan bukan menyakitkan. Sedarkan mereka bahawa solat adalah tiang agama bagi setiap Muslim. Jika tidak solat, runtuhlah tiang agama seseorang itu. Oleh sebab itu, rawatan Nabi s.a.w. ialah dengan cara memukul. Bacakan hadis Rasulullah s.a.w. supaya mereka fahami apa sebabnya dihukum.

Program Solat Berjemaah di Rumah

Persediaan awal sebelum solat adalah penting. Misalnya sebelum solat Maghrib, disiplinkan anak-anak supaya menamatkan sebarang aktiviti permainan atau menonton tv, sebelum masuk waktu. Minta anak-anak bersedia untuk solat berjemaah bersama ibu dan ayah. Jika tidak dapat dibuat setiap hari, buatlah setiap Maghrib dan Isyak, atau sekali seminggu. Apa yang penting disamping menanam kecintaan kepada solat, ibu bapa banyak peluang berinteraksi dengan anak-anak, di samping boleh menyemak solat sama ada dilakukan dengan betul atau tidak.

Selepas solat, hidupkan jiwa anak-anak dengan membaca atau bercerita barang seminit dua kisah-kisah para nabi atau sahabat. Atau pun bertadarus al-Quran juga digalakkan, supaya rumah sentiasa ”bercahaya”. Jika perkara sebegini didisiplinkan setiap hari, ia akan menjadi kebiasaan dan budaya baik sehingga mereka besar kelak.

Ajak Anak-Anak ke Surau atau Masjid

Sejak kecil, terutama anak-anak lelaki, bawa mereka solat di masjid. Kelak ketika baligh, mereka akan terbiasa. Dia akan sentiasa mendapat pengaruh positif daripada pergaulan, ceramah-ceramah ilmu yang disampaikan di masjid dan sebagainya.

Tanamkan Rasa Rugi Jika Tidak Solat

Fahamkan anak-anak betapa ruginya jika tidak menunaikan solat. Begitu juga, rasa bersalah jika mereka meninggalkan solat secara sengaja atau tidak sengaja. Tidak seorang pun diterima keuzuran di atas kejahilannya mengenai solat, kecuali mereka yang baru memeluk Islam atau jauh daripada masyarakat Islam. Sesiapa yang meninggalkannya serta mengingkari kewajipannya, hukumnya kufur (terkeluar daripada Islam).

Buang Sikap Malas

Sikap malas dalam apa jua, bahkan ia dianggap satu dosa juga. Malas solat boleh disifatkan sebagai sifat munafik. Allah berfirman yang bermaksud:

“Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas.

Mereka hanya bertujuan riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” (Surah al-Nisa’ 4: 142).

Berdoalah kepada Allah semoga kita dan anak-anak dikurniakan rasa bersemangat, rajin dan istiqamah dalam solat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan perintahkanlah kepada ahli keluargamu supaya mengerjakan solat dan bersabarlah dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, tetapi Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Taha 20: 132).


Rashidah Mustaffa

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9


 

 

Kembali ke atas