Menu

 

A+ A A-

TIP-TIP BERKESAN MENDIDIK ANAK

Kepentingan Tarbiah Anak

SAYA seorang ibu yang berkerjaya sebagai pegawai eksekutif. Saya tahu bahawa saya perlu mendidik anak-anak saya dengan sebaiknya. Namun dengan kekangan masa dan komitmen kerja, saya terasa cukup penat. Mohon nasihat.

Tarbiah berasal daripada kalimah “Rab” yang bermaksud penjaga atau pengurus. Dalam konteks perbincangan ini, ia bermaksud sistem penjagaan dan pengurusan anak-anak bagi tujuan mendidik. Tarbiah dalam Islam bukan tertumpu pada ilmu sahaja tetapi menyeluruh meliputi iman, akhlak, amal dan cara hidup sebagai seorang Muslim.

Ada sebuah hadis yang menjelaskan mengenai kepentingan tarbiah anak, mafhumnya: “Apabila anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh.” (Riwayat Muslim)

Anak-anak ialah amanah yang diberikan Allah, maka kita bertanggungjawab memelihara amanah ini. Sedar atau tidak, ibu bapaialah role-model dalam institusi rumah tangga, maka apa yang kita zahirkan akan diperhatikan dan dipraktikkan oleh anak-anak kita. Anak-anak ialah pelapis untuk generasi akan datang. Bagaimana kita mencorakkan mereka pada hari ini, itulah yang akan terhasil pada masa depan. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Tarbiah akan menjadi lebih efektif jika bermula sejak kecil.

tip-berkesan-mendidik-anak-1

Tip Mendidik

Mohon kongsikan tip berkesan dalam mendidik anak. Saya ingin anak-anak saya menjadi insan yang soleh dan solehah.

Mendidik anak hingga dapat menghasilkan anak yang soleh dan solehah perlukan penjagaan yang rapi. Apa yang pasti, ia bukanlah dengan cara memberikan kemewahan kepada mereka. Antara tip tarbiah yang boleh dipraktikkan:

1. Mewujudkan persekitaran baik untuk mereka membesar yang merangkumi pemilihan kawasan kejiranan, sekolah dan lain-lain.

2. Jadikan solat di masjid sebagai amalan harian dan kerap menghadiri majlis ilmu.

3. Sentiasa berlaku adil dengan mengambil kira faktor jantina, umur dan keupayaan peribadi. Jangan sekali-kali ada unsur pilih kasih.

4. Tidak memberi kemewahan berlebihan kepada mereka sebagai ganti kekurangan dalam memberikan perhatian dan kasih sayang.

5. Tidak berlebihan dalam memberi kasih sayang.

6. Ibu bapa harus peka kepada kehendak semasa selari dengan peredaran zaman.

Tip Budayakan Solat

Bagaimana hendak mendidik anak supaya menjaga solat?

Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis, maksudnya: “Hendaklah kamu menyuruh anak-anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun.” (Riwayat Abu Dawud)

Antara asas penting dalam mendidik anak ialah solat. Apabila baik solat seseorang itu, nescaya urusan lainnya akan baik juga. Terdapat beberapa panduan untuk membudayakan solat dalam jiwa anak-anak antaranya :

tip-berkesan-mendidik-anak-2

1. Mengajar anak cara wuduk yang betul.

2. Mengajar anak cara solat yang betul.

3. Membawa anak-anak berjemaah ke masjid sedari kecil.

4. Solat bersama-sama keluarga ketika berada di rumah.

5. Melakukan solat ketika bermusafir seperti semasa singgah di hentian rehat dalam perjalanan balik kampung. Anak-anak akan merasakan kepentingan solat.

6. Doa. Selalu mendoakan agar anak-anak tetap menjaga solatnya walaupun berjauhan daripada perhatian keluarga.

Tip Mengukuhkan Akidah Anak

Kalau hendak didik anak supaya solat, insya-Allah saya tahu caranya. Bagaimana pula untuk mendidik aqidah anak?

Dalam al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan surah Luqman. Semestinya beliau bukanlah orang biasa hinggakan Allah mengabadikan kisahnya dalam al-Quran. Dalam surah tersebut, Luqman menegaskan keutamaan aqidah sebagai nasihat pertama. Beliau melarang anaknya daripada melakukan syirik.

Antara cara yang boleh mengukuhkan akidah anak-anak adalah dengan menyampaikan kisah-kisah para nabi. Beriman kepada rasul-rasul termasuk dalam rukun iman yang enam. Sebahagian ibu bapa hari ini lebih senang menceritakan cerita-cerita rakyat yang diragui kesahihannya.

Wallahu a‘lam.

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd. Hanif

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas