Menu

 

A+ A A-

NAMA MENCERMINKAN PERIBADI

Saya sedang menunggu kelahiran anak pertama. Mohon panduan menamakan anak dalam Islam daripada ustaz.

Jawapan:

Didoakan puan menjadi ibu yang solehah untuk anak yang bakal dilahirkan. Kami turut gembira dengan khabar yang baik ini. Mudah-mudahan puan dan anak yang bakal dilahirkan selamat.

Salah satu hak anak yang mesti dilaksanakan oleh orang tuanya adalah memberikan nama yang baik selain daripada aqiqah dan khatan.

Pada suatu hari, seseorang datang bertanya kepada Rasulullah: “Ya Rasulullah, apakah hak anakku terhadapku?” Nabi menjawab dengan maksudnya: “Engkau memberikan nama yang baik dan mengambil berat tentang pendidikannya, kemudian engkau tempatkannya di tempat yang baik. Perbaikilah namamu kerana dengan nama itu kamu akandipanggil pada hari kiamat nanti (Riwayat Abu Dawud).

Nama dalam Islam tidak hanya berfungsi untuk membezakan seorang anak dengan anak yang lain. Di sebalik nama yang dikurniakan, ada cita-cita, doa dan harapan orang tua yang ingin disematkan pada si anak.

Pengaruh Nama

Selain itu secara psikologi, nama juga berpengaruh dalam pembentukan diri seseorang. Secara tidak sedar seseorang akan didorong untuk memenuhi nilai yang terkandung dalam namanya. Teori Labelling (penamaan) menjelaskan bahawa kemungkinan seseorang itu menjadi jahat kerana masyarakat menamakannya sebagai penjahat.

Seperkara lagi, memang ada kes perangai seseorang itu bertentangan dengan maksud namanya. Contohnya seseorang yang bernama Abdullah. sepatutnya nama itu mendorongnya untuk rajin beribadah, tetapi sebaliknya dia sering meninggalkan solat.

Namun lama kelamaan pasti nama itu akan meresahkan hatinya. Insya-Allah nilai kehambaan yang ada pada nama tersebut, ditambah dengan panggilan orang kepadanya akan mengubah perilakunya yang serong itu.

Keinginan orang tua untuk memberikan nama yang baik pada anaknya hendaklah disertai dengan memahami makna nama tersebut. Nama yang berbau Arab belum tentu tepat tanpa mengerti maksudnya. Jika tidak, “nama Arab” itu mungkin mengandungi makna yang buruk atau tidak ada makna langsung.

 NAMETAG

Syeikh Abdullah Nashih Ulwan, dalam bukunya Tarbiyat al-Aulad fi al-Islam mengemukakan beberapa panduan dalam memberi nama anak sebagaimana berikut:

  1. Dilarang untuk menamakan anak dengan nama-nama khusus untuk Allah seperti al-Rahim, al-Khaliq kecuali dengan menunjukkan secara jelas kedudukannya sebagai hamba Allah. Jika nama-nama khusus untuk Allah tidak dibenarkan, nama yang menunjukkan kedudukan sebagai hamba adalah disukai. Misalnya bagi anak lelaki, Abdullah atau Abdul Rahman manakala bagi anak perempuan, Amatullah atau Amaturrahman yang bermaksud hamba perempuan Allah dan al-Rahman. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya nama-nama kamu yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan AbdulRahman.” (Riwayat Muslim)

2. Tidak boleh menggunakan nama yang menunjukkan perhambaan kepada selain Allah seperti Abdul Uzza, Abdul Nabi, Abdul Hajar dan sebagainya.Hani’ menceritakan bahawa ada satu rombongan datang kepada Nabi Muhammad. Baginda bertanyaya kepada salah seorang daripada mereka: “Siapa nama kamu?” “Abdul Hajar (Hamba Batu)” Lalu Rasulullah berkata: “Sesungguhnya kamu Abdullah.”

3.  Menjauhi nama-nama yang maknanya terlalu optimistik. Contohnya Najih yang bermaksud sentiasa berjaya, Nafi‘ yang bermaksud selalu memberi manfaat atau Aflah yang bermaksud yang pasti berjaya.Sabda Baginda yang bermaksud: “Janganlah kamu memberi nama kepada anak lelakimu dengan nama Yassar, Rabaah, Najaah dan juga Aflah.” (Riwayat Muslim)

4. Jangan memberi nama dengan nama yang mengandungi makna mudah lekang, lemah, lesu serta nama-nama yang dapat melemahkan jiwa anak. Hal ini bertujuan agar umat Islam memiliki keperibadian kuat.

5. Elakkan nama yang maksudnya kurang sesuai dengan semangat Islam seperti nama Harb yang bermaksud perang atau Hazin bermaksud yang susah.

6.   Ambillah nama para nabi, sahabat, ulama dan pemikir Islam.

7. Pilihlah nama yang mengandungi maksud kebaikan seperti Khairi yang bermaksud kebaikanku, Sa‘diy: kebahagiaanku, Latifah: kelembutan, Fawziyyah: kejayaan dan sebagainya.

 

Sunnah Menukar Nama

Jika seseorang anak itu telah dinamakan dengan nama yang tidak baik, maka namanya boleh diganti dengan nama yang lebih baik.

Said bin al-Musayyab menceritakan daripada ayahnya daripada datuknya: “Saya datang kepada Nabi Muhammad,lalu Baginda bertanya:“Siapa namamu?”

“Hazn (Kesusahan).”

Lalu Rasulullah berkata: “Mulai hari ini namamu Sahl (bermaksud mudah).”

“Saya tidak akan mengganti nama yang diberikan oleh bapa saya.”

Said bin Musayyab berkata: “Maka kesusahan selalu menimpanya setelah itu.”Kesimpulannya, isu menamakan anak amat dititikberatkan dalam Islam. Maka para ibu bapa perlu berhati-hati dalam memberikan nama pada anaknya. Rujuklah kepada para ustaz terlebih dahulu sebelum memberikan nama pada anak-anak.

Wallahu a‘lam

NAMA

 

Oleh Dr.Haji Zahazan Mohamed

Sumber Artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas