Menu

 

A+ A A-

IBU BAPAKU ASYIK GADUH. APA PATUT KUBUAT?

Saya menerima satu SMS pada suatu hari, lewat malam. Seorang remaja belasan tahun mengadu tentang konflik keluarganya. Saya dapat rasakan dia menulis dengan air mata. Kebanyakan remaja yang menghantar SMS kepada saya adalah untuk berkongsi masalah pelajaran dan cinta. Apabila didalami, hampir semua kes ada kaitan dengan masalah keluarga.

“Akak, tadi mak saya tinggikan suara kat ayah. Mak ayah suka gaduh. Selalunya mereka bermasam muka beberapa hari dan saya akan jadi orang tengah. Saya rasa tak tahan.”

Dalam keadaan saya belum pernah mengenali remaja ini apatah lagi latar belakang keluarganya, saya mula membalas mesej itu dengan berkongsi simpati.

“Banyak berdoa ya dik. Allah sangat memahami isi hatimu.”

REMAJA - IBU BAPAKU ASYIK GADUH. APA PATUT KUBUAT Fatimah Syarha Mohd Noordin SOLUSI 6

Saya amat berharap dapat mengetahui tentang diri dan kisahnya lebih lanjut daripad  kerelaan dan kesediaan hatinya sendiri untuk bercerita. Taaruf berjalan ringkas antara kami lewat SMS. Tak perlu dipaparkan di sini. Saya ringkaskan apa yang penting sahaja.

“Saya kesian kat ayah. Cuba nak baikkan mereka. Sebenarnya, mak dari dulu tak reda dikahwinkan dengan ayah. Mak sehingga sekarang masih mengungkit hal ini, hingga anak dah 7 orang dan bercucu. Saya minta maaf terpaksa buka pekung di dada.”

Masya-Allah, kesian adik ni. Pada usia remaja, ketika dia sedang tercari-cari identity diri dan hakikat kehidupan, dia terpaksa memahami karakter insan yang mendidiknya bernama ibu, insan yang sepatutnya menjadi contoh terbaik buat dirinya.

Apa pun, saya tidak mahu jika remaja ini hanya merintih akan sikap ibunya dan menghukum ibunya bersalah. Masalah tidak akan selesai. Saya juga risau masalah juga akan bertambah parah, jika dia mula mencari kelemahan dan kesalahan ayahnya. Masalah bukan untuk dirintih tetapi untuk diselesaikan. Saya mahu memotivasikan dia menjadi remaja yang positif dan proaktif berdepan cabaran hidupnya. Saya cuba menjelaskan hakikat masalah sebagai warna-warni kehidupan. Saya melanjutkan balasan SMS.

“Untuk selesaikan masalah tak mengapa berkongsi, dik. Doa anak sangat bermanfaat untuk ibu bapanya. Rasa kesianlah pada mak adik, kerana tak dianugerahkan keredaan hati. Mungkin dia kurang ilmu tentang pentingnya sifat reda untuk hidup bahagia. Doakanlah dia...

“Adik kena kuatkan perasaan sendiri dulu untuk bagi moral support pada ayah dan juga mak. Kena cuba matangkan perasaan dengan menuntut ilmu tentang kemahiran mengurus emosi. Positifkan fikiran. Anggaplah ujian ni sebagai hadiah Allah untuk mendapatkan jiwa yang cekal, matang, kuat dan berani menyelesaikan masalah.”

Saya mengajak diri saya dan semua remaja agar berbaik sangka dengan Allah s.w.t. pada setiap ujian yang menimpa kita. Berjinak-jinaklah dengan pujukan serta motivasi Allah serta Rasul dalam al-Quran dan hadis. Fikirkan hikmah positif di sebalik setiap sesuatu yang melewati hidup kita.

Remaja yang rasa bertuhan tidak akan rasa keseorangan. Dia tahu, Allah sentiasa sayang walaupun semua orang seakan-akan tidak menghargai dirinya. Remaja yang akrab dengan Tuhannya juga akan menjadi penawar yang berkuasa merawat ketegangan ibu bapa dengan izin Allah s.w.t.

Saya membaca lagi rantaian SMS.

“Memang saya kena kuat, kak. Mak selalu cakap ayah itu ini. Tak pandai layan isteri, tak memahami dan banyak lagi. Sepatutnya, benda-benda macam tu saya tak perlu tahu. Dulu, saya benci sangat kat ayah. Bagi saya, ayah seksa jiwa mak. Tapi bila dah lama, saya faham apa yang berlaku. Mak pernah cakap, sampai mati mak takkan lupakan ex-boyfriend mak.”

Saya memahami krisis ini daripada satu pihak iaitu dari pihak si anak. Saya tidak memahami sepenuhnya isi hati si ibu. Daripada gambaran yang diberikan oleh si anak, ibunya masih diimbau kisah silam. Dalam konteks ini, orang yang bermasalah, menurut cerita remaja itu ialah ibunya. Orang yang cuba mencari penyelesaian untuk masalah itu pula ialah si remaja. Maka, apa yang mampu saya lakukan adalah perlu merangsang peranan remaja tersebut untuk membaiki keadaan dan menjelaskan tindakan sebenar yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Inilah sekolah kehidupan. Masalah akan menjadikan seseorang matang berfikir dan matang bertindak jika kena kedudukan hati dan fikiran dalam menanggapi masalah tersebut dan jika tindakan yang diambil kena pada tempatnya. Tidak dapat dinafikan lagi, Allah Maha Baik dengan ujian-Nya ini.

“Adikku, ketahuilah, merindui suami, Allah reda, rindu yang halal. Tapi merindui boyfriend, rindu yang tak halal, apatah lagi sehingga menderhakai suami. Diriwayatkan dalam satu hadis, bidadari syurga sentiasa mengintai suaminya daripada kalangan penghuni dunia. Jika ia melihat ada isteri yang menyakiti suami, dia akan mengutuk isteri itu kemudian berkata, ‘Dia hanya tetamumu di dunia dan sekejap lagi, dia akan datang pada kami.’

“Adik, doakanlah kebaikan untuk ibu. Jangan kita mengulangi kesilapan yang sama bermula dengan cara kita memilih pasangan hidup. Ia perlu dengan cara yang Allah redhai. Tiada cinta untuk boyfriend sebelum kahwin kerana belum tentu dia jodoh kita. Lihatlah sendiri akibatnya. Cinta perlu terpelihara kudus hanya untuk suami.”

remajaRemaja itu mengadu lagi, “Dulu, mak nak lepaskan geram kat ayah, mak akan cakap kesat. Semua keluar, kak. Benda yang tak patut sangat. Ayah diam. Dulu saya tak faham makna perkataan tu semua. Tapi bila dah besar, saya tahu kata-kata tu kesat dan menghina. Mana saya boleh tahan, kak.”

Saya membalas ringkas, “Masya-Allah, hebatnya ujian Allah untuk adik ini.”

Rumah tangga yang tidak berkat ibarat neraka yang disegerakan. Apabila bermuhasabah balik, sesetengah orang yang mendirikan rumah tangga belum cukup bersedia membuang semua karat-karat mazmumah ketika zaman bercinta. Islam tidak benarkan bercinta sebelum kahwin, nak bercinta juga. Bila dah berkahwin, lupa pula nak bertaubat daripada dosa-dosa silam. Akibatnya, ada-ada saja konflik dan persengketaan. Anak-anak jadi mangsa. Sebab itulah generasi pewaris kita lambat maju. Institusi kekeluargaan tidak mampu menjana qudwah dan didikan yang sepatutnya.

Oleh sebab itu, wahai remaja. Kau perlu matang memilih. Jangan turut terjebak dalam konflik yang sama di alam rumah tanggamu yang akan datang dengan sebab bercinta sebelum kahwin. Jangan mudah terkesan dengan keadaan sekarang, walaupun ia sungguh menguja naluri remajamu.

Gagahkan jiwa. Dalam waktu mudamu ini, berikan keutamaan untuk menuntut ilmu. Belajar bersungguh-sungguh. Ilmu dan kedudukan yang bakal kau raih mungkin boleh menjadi penyejuk kepada ketegangan ibu bapa. Ketika itu, perananmu lebih efektif untuk membantu ibu bapa mengenal hakikat kehidupan. Kasihanilah mereka yang mungkin sedang merindukan solusi untuk masalah yang membelit kehidupan mereka tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Kalau bukan kita siapa lagi yang hendak selesaikan?

Fatimah Syarha Mohd Noordin
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas