Menu

 

A+ A A-

DEBARAN MENANTI SI PENAMBAT CINTA

Musim cuti sekolah biasanya tidak dapat dipisahkan dengan musim perkahwinan. Bertaut erat dua hati terpancar pada senyuman mempelai yang berseri-seri. Lumrahnya, saat yang paling ditunggu-tunggu oleh pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan ialah saat permulaan hamil atau mengandung.

Kehadiran anak menambahkan lagi tambatan cinta suami isteri. Sebab itu persiapan untuk mengandungkan seorang anak sangat penting.

debaran-menanti-penambat-cinta-1

Bermulanya Persiapan Hamil

Tahukah anda, sejak bila persiapan hamil bermula? Ia bermula sejak anda belum berkahwin lagi. Ya, sejak anda memilih pasangan anda yang bakal menjadi ayah atau ibu kepada generasi pewaris anda. Pilihan pasangan mestilah tepat kerana akhlak anak-anak akan diwarisi daripada ibu bapanya.

Manusia dilahirkan di muka bumi ini dengan sifat zahirnya yang sempurna. Namun perkembangan pembiakan manusia mewujudkan pelbagai bangsa, sikap, budaya dan pegangan. Budaya, sikap dan pegangan hidup manusia adalah hasil daripada usaha manusia yang dikurniakan oleh Allah iaitu jiwa, akal dan perasaan.

Pembentukan akal, jiwa dan perasaan sebahagiannya dipengaruhi ketika bayi dalam kandungan dan sebahagian lagi dipengaruhi sejak penentuan pemilihan pasangan hidup. Oleh sebab itulah, Rasulullah s.a.w. menasihatkan agar seseorang itu, sama ada lelaki atau wanita, memilih pasangan yang baik untuk tempat simpanan dan tempat memproses benih anak anda.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan dengan sabdanya yang bermaksud:

“Pilihlah (pasangan) yang baik untuk tempat memproses nutfah (benih) kamu, kerana akhlak ibu dan bapa akan menurun (terwaris) kepada anaknya.” (Riwayat al-Tirmizi)

debaran-menanti-penambat-cinta-3

Ibn ‘Adi dan Ibn Asakir pula meriwayatkan satu hadis secara marfu’ daripada Aisyah r.ha., mafhum sabda Rasulullah s.a.w.: “Pilihlah yang terbaik untuk mengisi benih kamu kerana wanita (isteri) itu akan melahirkan anak mirip saudaranya, baik lelaki atau wanita.”

Dalam al-Quran, Allah mengingatkan agar memilih pasangan yang baik sebagaimana firmanNya dalam surah al-Nur, ayat 26 yang bermaksud: “Wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.”

Begitulah Allah s.w.t. member panduan agar seseorang itu memilih pasangan hidup yang baik sebagai usaha dan perancangan untuk melahirkan anak atau zuriat akan datang. Selari dengan hadis sebelum ini, watak dan perwatakan anak-anak antaranya dipengaruhi oleh watak dan perwatakan ibu bapa. Jadi jelas sekali, anjuran Allah agar seorang lelaki atau wanita itu dijodohkan dengan pasangannya yang baik. Kerana daripada ibu atau bapa yang baik pula akan melahirkan anak-anak yang baik.

Ternyata, pemilihan pasangan merupakan satu cabaran buat bakal suami atau isteri kerana ia akan menentukan generasi akan datang. Pemilihan itulah bermulanya persiapan kehamilan atau persiapan menanti “orang baru”.

Apa Kata Mereka tentang “Orang Baru”?

Pasangan sering membayangkan, bagai manakah wajah, rupa dan watak anak yang bakal lahir? Lelaki atau perempuan? Apakah Allah s.w.t. akan menganugerahkan kami anak yang cantik dan bijak? Atau ditakdirkan mendapat anak yang kurang cantik? Atau yang cacat (minta dijauhi Allah s.w.t.)?”

Ada pasangan yang tidak yakin untuk mendapatkan anak seawal mungkin.

“Belum bersedia,” kata mereka. Yang sebenarnya bukan belum bersedia, tetapi tidak cukup ilmu untuk menjadi seorang ibu atau ayah. Syabas dan tahniah kepada generasi ibu-ibu kita yang ada dalam kalangan mereka telah melahirkan hingga 12 orang anak dan semuanya membesar dengan cemerlang dari sudut akademik, kepimpinan dan seiring dengan sahsiah diri. Tidak hairan lagi jika ibu sebegini mendapat anugerah ibu mithali. Moga-moga, anugerah Allah s.w.t. di akhirat nanti jauh lebih besar.

Saya pernah ajukan soalan biasa ini kepada seorang kawan sekelas yang tidak ditemui selama hampir 30 tahun, “Berapa orang anak awak?”

Beliau menjawab, “Dua orang.”

“Itu pun dah ramai,” sambungnya.

Dua orang dah ramai? Sama-samalah kita menjadi ibu yang menyahut seruan Rasulullah s.a.w. untuk meramaikan umat Baginda.

debaran-menanti-penambat-cinta-2

Motivasi Seorang Ibu

Ibu yang mengandung dengan sempurna dan berjaya melahirkan anak dengan mudah akan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk terus melahirkan beberapa orang anak lagi. Ada ibu yang melahirkan dua orang anak setahun. Bukan anak kembar tetapi seorang lahir bulan Januari dan adiknya lahir bulan Disember tahun yang sama. Sungguh mengagumkan ibu sebegini apatah lagi jika kekuatannya itu seiring dengan didikan yang sempurna buat anak-anaknya.

Pada masa yang sama, ada ibu yang sentiasa sakit sepanjang tempoh mengandung. Sedangkan ada pula ibu mengandung yang bekerja keras seolah-olah tidak mengandung ketika itu. Ibu muda harus mendapatkan ilmu kemahiran mengandung sama ada daripada sumber al-Quran, hadis, perubatan moden, atau petua orang tua.

Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Berkarier sebagai pendakwah dan sering muncul di tv sebagai panel jemputan Forum Perdana TV1, juga al-Kuliyyah, Motivasi Pagi, al-Hidayah, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 dan Halaqah di TV9. Sentiasa mendapat undangan ceramah, membentang kertas kerja dan seminar di seluruh negara dan di Brunei. Juga sebagai kolumnis beberapa majalah antaranya Anis, Harmoni, Nona dan Mingguan Wanita. Telah melahirkan lebih 40 album pelbagai tajuk (agama, motivasi dan tip) dalam bentuk VCD, CD dan kaset. Dianugerahkan "Outstanding Achievement" dalam penjualan album daripada Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas