Menu

 

A+ A A-

ANAK AMANAH ALLAH

“Anak ialah amanah Allah kepada ibu bapa. Hatinya yang suci ibarat permata mahal yang siap sedia untuk dibentuk dan diukir. Jika ia dididik dan dibiasakan untuk melakukan kebaikan, maka ia akan mahir dalam bidang ini dan berbahagia di dunia dan akhirat. Ibu bapa dan gurunya juga akan mendapat bahagian dalam kebaikan tersebut.

“Namun jika ia dibiasakan dengan keburukan atau diabaikan, maka ia akan merana dan celaka. Dosanya akan dibebankan kepada ibu bapa dan walinya. Jika seorang ayah selalu menjaga anaknya daripada api dunia, maka menjaga mereka daripada api akhirat lebih perlu dipentingkan.

”Demikian kata-kata indah Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki yang patut kita jadikan pegangan. Kata-kata ini sekaligus membuka perbincangan kita tentang konsep anak dalam Islam.

Anak sering disebut dalam al-Quran sebagai nikmat, anugerah Allah, “penyejuk mata” (qurrat al-‘ain) ibu bapa, penyambung keturunan, dan orang yang akan mendoakan ibu bapa setelah kematian mereka. Pada saat yang sama, ia amanah besar yang mesti ditanggung dengan baik oleh ibu bapa.

Maksud Amanah

Saya baru pertama kali mendengar istilah “anak amanah Allah”. Boleh ustaz jelaskan lebih lanjut konsep ini?

Secara mudahnya, anak ialah barang titipan Allah untuk menguji sikap kita. Sama seperti harta dan jawatan, kedua-duanya bukan untuk kita nikmati, tapi untuk digunakan di jalan Allah.

Namun ramai ibu bapa terlupa hakikat ini. Mereka menyangka bahawa anak itu milik mereka. Maka mereka bebas melakukan apa yang dikehendaki terhadap anak tersebut. Ada yang melihat anak sebagai satu aset pelaburan. Lalu anak-anak disekolahkan sejak kecil lagi dengan impian agar mereka boleh memberi wang ketika dewasa kelak.

Padahal dalam Islam, anak itu hamba Allah. Tugas ibu bapa adalah untuk mengarahkan anak-anaknya agar menjadi hamba-hamba Allah yang soleh dan bertakwa. Siapa yang memiliki anak soleh, hidupnya akan terjamin dengan sendirinya.

Ibn Umar pernah menasihati seseorang: “Didiklah anakmu kerana engkau nanti akan ditanya: Apa yang telah engkau didik dan ajarkan kepada anak-anakmu? Anak-anakmu pula akan ditanyakan tentang bakti dan taatnya kepadamu.” (Riwayat alBaihaqi)

Hak Anak

Jika anak itu dilihat sebagai amanah, sudah tentu di sana ada hak-hak anak yang wajib ibu bapanya tunaikan. Namun kebiasaannya masyarakat lebih melihat hak ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

Ya. Anak-anak ada haknya yang wajib dilaksanakan oleh ibu bapa. Sebelum mewajibkan anak berbakti kepada ibu bapa, Islam mewajibkan ibu bapa agar mendidik anaknya terlebih dahulu.

Antara hak-hak anak itu, ada tiga hak utama. Jika ibu bapa belum melaksanakan tiga kewajiban ini, mereka dikira belum menjaga amanat Allah dengan baik.

Memperkenalkan anak-anak kepada Allah, Rasulullah dan hari pembalasan. Tugasan ini merupakan tugasan terpenting yang wajib dilakukan oleh ibu bapa.

Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya: “Wahai orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” (Surah al-Tahrim:6)

Mengajarkan anak-anak dengan kemahiran asasi yang perlu ada untuk menjadi hamba Allah di muka bumi ini antaranya segala hukum fardu ain, membaca al-Quran dan adab mulia.

Berkata Sufyan al-Thauri: “Seorang bapa wajib memaksa anaknya mempelajari hadis (ilmu agama) kerana ia akan diminta pertanggungjawaban ke atasnya.”

Mengajarkan anak-anak dengan kemahiran asasi yang diperlukan agar dapat menjalani kehidupan dunia dengan selesa. Umar bin al-Khattab selalu berkata: “Ajarkanlah anak-anakmu berenang, memanah dan menunggang kuda.”

Tiga perkara tersebut merupakan kemahiran asas pada zaman itu. Namun zaman telah berubah, maka kemahiran yang diperlukan boleh jadi berubah. Barangkali kemahiran asas yang mesti dikuasai generasi muda kita pada hari ini ialah Bahasa Inggeris, komputer, asas jual beli, pelaburan dan lain-lain.

Pahala Anak Untuk Ibu Bapa

Anak-anak yang belum baligh tidak wajib melakukan ibadah seperti solat. Jika seorang anak melakukannya, adakah ia mendapat pahala atau pahala itu untuk ibu bapanya?

Pahala ibadah itu akan ditulis untuk anak tersebut meskipun ia belum baligh. Namun tentu sahaja, ibu bapa turut mendapat bahagian daripada pahala tersebut kerana telah mendidiknya dengan baik.

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘: “Ulama-ulama mazhab Syafi‘i (ashab) dan selain mereka berpendapat bahawa ditulis untuk seorang anak itu pahala ketaatan yang dilakukannya seperti bersuci, solat, puasa, zakat, iktikaf, haji, baca al-Quran, wasiat dan tadbir (pembebasan hamba dengan bayaran) jika kita sahkan dua amalan ini dan amalan-amalan taatlainnya. Namun tidak dituliskan dosa maksiat untuknya secara ijmak.”

Antara dalilnya, sebuah hadis: Suatu hari seorang wanita berjumpa dengan Nabi. Ia mengangkat seorang anak dan berkata: “Wahai Rasulullah, adakah anak ini turut mendapat (pahala) haji?” Baginda menjawab, maksudnya: “Ya. Dan engkau turut akan mendapat pahala.” (Riwayat Muslim).

Wallahu a‘lam

 

                                                Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

 

 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas