KEKUATAN FOKUS ANDA
RAMAI orang percaya bahawa individu-individu yang mencipta kejayaan besar adalah kerana perjalanan hidup mereka berjalan dengan lancar. Mereka datang daripada keluarga yang stabil dan memberi sokongan yang padu. Ada juga yang percaya bahawa mereka datang daripada keluarga yang berada yang menyebabkan mereka mempunyai modal yang cukup untuk berjaya dalam perniagaan. Kita juga menyangka bahawa mereka lebih bernasib baik berbanding orang lain.
Ramai orang yang gagal atau menjalani kehidupan yang biasa-biasa memberi alasan ini apabila mereka melihat kejayaan yang dicipta orang lain. Persoalannya adakah segala-galanya perlu berjalan lancar sebagai syarat untuk anda mencipta kejayaan?
Formula Hidup
Andrew Luster adalah cicit kepada Max Factor, legenda kosmetik Hollywood. Hasil daripada kerja keras moyang beliau, Luster mewarisi 31 juta dolar. Oleh sebab itu, dia tidak pernah bekerja sebaliknya hanya ke berparti dan bersuka ria. Selain itu, jutawan segera ini juga pernah belajar di kolej tetapi tidak menamatkan pengajiannya.
Pada satu ketika, dia merakam aksi seks sendiri bersama dengan seorang wanita. Dalam rakaman itu, wanita berkenaan kelihatan mengantuk kerana bawah pengaruh dadah, dan kelihatan seolah-olah wanita tersebut melakukan seks secara tidak rela. Beberapa lama selepas kejadian, wanita terbabit menuduh Luster merogol beliau, sedangkan ia berlaku secara suka sama suka. Akhirnya dia dipenjarakan atas kesalahan merogol. Kisah hidup Andrew Luster bermula dengan penuh kegembiraan dan nikmat tetapi berakhir dengan penuh tragis.
Terdapat perbezaan formula hidup antara orang berjaya dengan orang yang gagal:
ORANG GAGAL
SITUASI = HASIL
Contohnya, oleh sebab seseorang dilahirkan dalam keluarga yang tidak stabil, dia percaya bahawa dia akan gagal dalam hidupnya.
ORANG BERJAYA
SITUASI + RESPONS = HASIL
Orang berjaya pula percaya bahawa apa yang berlaku dalam hidup mereka di luar kawalan mereka. Mereka tidak dapat mengawal apa yang orang lain lakukan terhadap mereka. Tetapi mereka boleh mengawal respons yang mereka beri terhadap situasi tersebut.
Ada sebuah kisah tentang seorang yang telah dilahirkan di jalanan oleh ibu yang berusia 13 tahun. Beliau telah menjadi mangsa deraan fizikal dan seksual berkali-kali sehingga usianya 13 tahun. Beliau mengandung dan melahirkan anak yang mati sebaik sahaja dilahirkan. Secara zahirnya adakah anda fikir beliau akan berjaya dalam hidup? Jelas sekali tidak. Hari ini, beliau memiliki harta yang berjumlah bilion dolar, diiktiraf sebagai salah seorang wanita paling berpengaruh di dunia dan juga pengacara ‘talkshow lagenda’. Beliau yang dimaksudkan adalah Oprah Winfrey.
Kuasa Fokus
Sekarang terbuktilah bahawa bukanlah apa yang berlaku kepada anda itu paling penting, sebaliknya bagaimana anda berhadapan dengan sesebuah situasi itu yang lebih penting. Perkara pertama yang perlu anda kawal apabila berhadapan dengan apa jua situasi adalah fokus.
Apabila orang yang gagal berhadapan dengan sesuatu situasi yang buruk, mereka akan bertanya soalan-soalan yang berikut:
a. Mengapa hal ini menimpa aku?
b. Siapa yang patut dipersalahkan?
c. Apa yang aku hilang/rugi?
Sebaliknya, apabila orang berjaya berhadapan dengan kesulitan, mereka akan bertanya set soalan yang sama sekali berbeza:
a. Apa yang boleh aku pelajari daripada kejadian ini?
b. Apa sumber/kekuatan/kelebihan yang aku miliki?
c. Bagaimana aku boleh mengubah situasi ini kepada situasi yang lebih baik?
Motivator dunia yang terkenal dengan aksi berjalan di atas api, Anthony Robbins, pernah berkata: “Where the focus goes, energy flows”.
Hilmi Isa
Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09
Hilmi Isa
Hilmi Isa seorang guru Bahasa Inggeris Komunikasi di Kolej Universiti Islam Melaka. Beliau juga berpengalaman mengajar Bahasa Arab. Hilmi memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (dan Kaunseling) dari UiTM. Selain memiliki Sijil Pengajian Usuluddin dari UM, beliau kini meyambung pelaran ke peringkat Diploma Lepasan Ijazah Pengajian Islam UIA. Hilmi menjadi pendebat Bahasa Arab di Kejohanan Debat Di Raja Kebangsaan dan Debat Bahasa Arab Universiti Universiti Asean. Istimewanya, Hilmi adalah pengamal hipnosis berdaftar dan NLP.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.