Menu

 

A+ A A-

SIAPA ANDA?

KALAU soalan ini ditanya, siapa anda sebenarnya, apakah jawapan yang mungkin keluar dari benak fikiran anda?

Mungkin ada yang akan jawab, saya seorang jurutera, saya seorang guru yang komited, atau saya seorang pegawai yang dedikasi, atau saya seorang pelajar yang gigih atau mungkin juga saya seorang hamba Allah yang daif dan berbagai-bagai kemungkinan jawapan yang boleh diberi.

Mengetahui siapa kita sebenarnya sangat penting kerana identiti kita dan kelakuan kita tidak pernah konflik. Ahli psikologi merumuskan kelakuan seseorang mengikut identitinya.

Bijak pandai ada berkata, “Siapa anda, menentukan bagaimana anda melihat. Apa yang anda lihat itulah yang anda dapat.”

Ungkapan ini sangat penting difahami secara mendalam supaya seseorang yang hendak melakukan perubahan dalam kehidupannya tahu secara tepat perkara yang perlu diberi tumpuan agar perubahan yang diinginkan itu tepat dan dapat menghasilkan kejayaan dunia dan akhirat.

Untuk kita memahami ungkapan ini lebih mendalam, mari kita lihat satu metafora berkenaan “siapa anda menentukan apa yang anda lihat”.

Orang biasa, apabila melihat pantai yang cantik, air laut yang bersih, gambaran yang datang spontan dalam pemikirannya mungkin adalah, “Oh cantiknya tempat ini, sesuai sangat untuk bawa anak-anak berkelah.” Bagi seorang nelayan pula, laut merupakan tempat mencari rezeki, yang dia nampak ialah ikan, sotong, ketam dan lain-lain. Berbeza pula seorang penyelam mutiara, baginya laut adalah tempat mencari mutiara berharga. Kepada seorang jurutera petroleum, laut tempat mencari gali minyak. Jadi apa yang dilihat pada laut berbeza mengikut siapa anda sebenarnya.

Daripada metafora ini apa yang kita faham tentang ungkapan siapa anda akan menentukan apa yang anda lihat dan apa yang anda lihat, maka itulah yang anda akan dapat.

Kalau ditanya siapa anda, akal yang sihat dan rasional akan menyatakan, "Saya hamba Allah.” Tetapi kalau ditanya pada hati, apa perasaan anda terhadap Allah, apa perasaan anda terhadap perintah-perintah Allah, apa perasaan anda terhadap hukum-hakam Allah dan apa perasaan anda terhadap al-Quran, kalam Allah?

Hati tidak berasa kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Hati tidak berasa dimiliki Allah. Hati tidak menjunjung sepenuhnya titah perintah Allah. Hati tidak berasa betapa bernilainya al Quran. Dek kerana tidak berasa bernilainya al-Quran kita jarang sekali baca al-Quran; kalau baca pun, tidak berusaha untuk memahaminya.

Dek kerana hati tidak menjunjung titah perintah Allah kita sembahyang lewat dan sembahyang pun sorang-sorang. Dek kerana tidak merasa kebesaran dan keagungan Allah, kita tidak meletakkan keutamaan pada melaksanakan hukum hakam Allah.

Akal mengaku diri sebagai hamba Allah, namun hati belum menerima hakikat bahawa dia adalah hamba Allah, yakni dia milik Allah.

Berbalik kepada persoalan siapa kita, sebenarnya bukan akal yang memberi jawapan yang menentukan siapa kita sebenarnya. Yang menentukannya sebenarnya ialah hati kita dan perasaan kita; itulah hakikat diri kita sebenarnya.

Apa yang anda rasa tentang kehidupan ini? Apa yang anda rasa tentang Allah, Pencipta dan Pemilik kehidupan ini?

Kalau hati kita belum merasa kebesaran, keagungan dan kesempurnaan Allah s.w.t., ertinya hati kita belum benar-benar berhubung dengan Allah. Kalau hati belum berhubung dengan Allah, mana mungkin kita menjadi hamba-Nya; milik-Nya yang tidak punya apa-apa, yang menyerah diri sepenuhnya kepada ketentuan-Nya.

Kalau kita belum menjadi hamba Allah yang sebenarnya maka cara kita melihat kehidupan ini sudah tentu tidak tepat. Dan sudah tentu hasilnya juga tidak akan tepat.

Kualiti hidup kita sebenarnya bergantung kepada kualiti hubungan hati kita dengan Allah. Hati itu adalah pusat penilaian Tuhan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak hanya melihat pada rupa dan kulitmu saja tetapi melihat sampai kepada hatimu pula.”

Hati itu merupakan raja yang ditaati dan pemimpin yang diikuti, dan seluruh anggota badan merupakan rakyatnya. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada segumpal daging bila keadaannya baik maka baik pula seluruh anggotanya dan bila rosak, rosak pula seluruh anggota badanya. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.

Dalam usaha kita melakukan perubahan berterusan ke arah menjadi Mukmin yang cermerlang, usaha hendaklah difokuskan supaya hati kita sentiasa muafakat dengan kehendak Allah s.w.t. Iaitu apa yang Allah suka, menjadi kesukaan kita dan apa yang Allah benci menjadi kebencian kita. Seluruh perintah Allah adalah kebaikan dan seluruh larangan Allah adalah kejahatan.

Kalau hati kita sudah muafakat dengan kehendak Allah ertinya kita menjadi orang yang sangat ghairah dengan kebaikan dalam apa bentuk sekalipun dan benci dengan kejahatan walau sekecil mana sekalipun.

Apabila kita kata, Allah matlamat hidup kita, kita ini hamba Allah, hidup kita untuk beribadah kepada-Nya; sebenarnya kita sedang memproses hati kita supaya hati kita muafakat dengan Allah – kesukaan Allah menjadi kesukaan kita dan kebencian Allah menjadi kebencian kita tanpa mengira tempat, keadaan, suasana, masa dan ketika.

Sebagai kesimpulan sama-sama kita renungi kata-kata Iman Ghazali r.h.:

“Sesungguhnya manusia ini menyediakan dirinya bagi ma’arifah adalah dengan hatinya dan bukannya dengan sebarang anggota badannya. Maka hatilah yang mengetahui Allah, mendekati-Nya dan bekerja kerana-Nya. Hatilah yang menuju kepada Allah. Dan sesungguhnya anggota badan itu adalah pengikut, pelayan dan alat yang dipergunakan oleh hati.

“Hati yang diterima Allah adalah apabila ia selamat sejahtera daripada selain Allah. Hati itu terdinding daripada Allah apabila ia bergantung kepada selain Allah.

“Hatilah yang mencari dan hatilah yang berbicara. Hatilah akan rasa bahagia apabila dekat kepada Allah. Hatilah yang taat setia kepada Allah. Dan ibadah-ibadah yang terhasil pada anggota badan dan segala sifat terpuji itu adalah lahir daripada hati.

“Dengan gemerlap dan bersinarnya hati maka lahirlah kebaikan. Dengan gelapnya hati maka lahirlah kejahatan. Apabila manusia telah mengenali hatinya maka dia akan kenal dirinya, maka akan mengenal Tuhannya.” ¤

 

Haji Ahmad Salim Omar

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

Haji Ahmad Salim Omar

Lahir di Kuala Terengganu dan berkelulusan B.A.(Hons) dari Universiti Malaya. Beliau berpengalaman luas di dalam urus tadbir kerajaan tempatan dan jabatan kerajaan, antaranya sebagai Pegawai Daerah, Timbalan YDP, Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah di beberapa kementerian. Kini sebagai Pengarah Urusan Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Berpemikiran kritis, sentiasa menilai aplikasi urusan semasa dan berusaha membangunkannya ke tahap optimum. Juga mahir dalam bidang pembangunan insan dan bina diri (self-help) dengan pendekatan Islam.

Kembali ke atas