Menu

 

A+ A A-

PULIHARA DALAM PELIHARA

MANUSIA tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Tidak ada seorang pun yang akan selama-lamanya benar dan selama-lamanya salah. Walaupun berbuat salah itu lumrah manusia dan kehidupan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk sentiasa melakukan kesalahan berulang kali apalagi merancang untuk membuat dosa dan maksiat.

Dalam beribadah kepada Allah, kita harus sentiasa menilai diri kita sendiri. Orang yang tidak mahu menilai diri, akan sentiasa mengikut hawa nafsunya dan merasa dirinya paling benar dan akan mudah menyalahkan orang lain. Akibatnya akan timbul pula sifat-sifat mazmumah dalam diri tanpa disedari seperti ujub, riyak dan sebagainya.

Orang yang beribadah kerana mengharapkan reda Allah sekalipun dengan cara yang benar tetap tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan. Ini kerana dia hanya manusia biasa, bukan malaikat. Kadangkala mencari dan memperbetulkan kesilapan diri sendiri itulah yang paling sukar untuk dilakukan.

pulihara-dalam-pelihara-1

Menurut Imam al-Ghazali, mujahadah untuk menilai bagi memperbaiki diri memerlukan beberapa proses dan kaedah. Antara yang penting ialah memerlukan seorang pembimbing atau guru yang teliti dan mampu untuk menunjukkan dan memperbaiki kesalahannya. Orang yang membimbingnya perlu mengetahui bagaimana untuk meningkatkan martabatnya.

Selain itu, untuk memperbaiki diri, kita perlu mempunyai sahabat yang sejati. Sahabat yang dimaksudkan ialah yang mampu mendorong untuk banyak membuat kebaikan dan juga mampu untuk mencegah daripada membuat kejahatan serta menegur kesalahan yang dilakukan.

Sebaik-baik teman adalah orang yang suka mengingatkan kesalahan kita, bukan yang membiarkan ketika kita berbuat salah. Kita juga boleh menjadikan pandangan dan kutukan orang yang membenci dan memusuhi kita sebagai kayu ukur untuk menilai  kelemahan diri. Orang tidak akan berkata perkara yang tidak elok tanpa  sebarang bukti. Sebaliknya kita harus bersyukur kerana masih ada orang mengambil berat memberitahu tentang kesalahan kita.

pulihara-dalam-pelihara-2

Imam Hasan al-Basri pernah pada suatu hari, lalu di hadapan sekumpulan orang yang sedang memperkatakannya. Apabila mendengarkan mereka sedang memperkatakan tentangnya, beliau pun bergegas pulang ke rumah. Beliau lantas menyediakan hidangan makanan dan dikirimkan kepada orang yang mengumpatnya tadi. Dia amat berterima kasih kerana mereka memperbetulkan dirinya dan sanggup memikul dosa dan kesalahan dirinya.

Sentiasa bercampur dan bergaul dengan orang lain juga adalah cara untuk memperbaiki diri. Pergaulan dengan orang lain akan dapat mendedahkan kepada kita tentang perbuatan-perbuatan manusia sama ada baik atau buruk. Daripada situ, kita akan dapat menilai yang mana harus dijadikan teladan dan mana satu yang harus dijadikan sempadan.

Sebagai manusia biasa kita juga mempunyai nafsu dan keinginan. Justeru, bagi mengelakkan kita daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat seperti orang lain, pergaulan itu dapat menyedarkan kita sedikit sebanyak.

Kita hendaklah sentiasa membiasakan diri bermuhasabah setiap perbuatan yang dilakukan secara berkala. Carilah waktu yang tepat untuk merenung kembali setiap perbuatan baik dan buruk yang telah dilakukan itu. Insya-Allah, Allah s.w.t. akan memberikan hidayah dan petunjuk. Jika ada kesedaran itu, segeralah bertaubat, melakukan amal kebajikan dan berdoa kepada-Nya agar kita punya masa dan tidak terlambat.

pulihara-dalam-pelihara-3

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau bersalah. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Berilah maaf kepada kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”  


Mahfuzah Omar
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas