Menu

 

A+ A A-

SAYA PERLU DAN MAHU BERUBAH

ASSALAMUALAIKUM pembaca yang disayangi semua. Masya-Allah kali pertama bertemu memang teruja, walaupun pertemuan kita cuma dalam tulisan. Namun saya pasti, sedikit sebanyak dengan tulisan dari hati, akan ada jalinan ukhuwah yang lahir antara kita. Insya-Allah.

Begitu banyak persoalan kepada saya sejak akhir-akhir ini mengenai:

1. Bagaimana mahu berubah?

2. Bagaimana mahu istiqamah?

3. Bagaimana mahu mengisi kekosongan jiwa?

4. Bagaimana mahu mencari bahagia dan sebagainya.

Saya lampirkan satu antara ratusan e-mel yang diterima sebagai pembuka pembicara kita.

“Setiap hari saya cuba mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi Muslimah yang baik tetapi saya gagal! Saya sangat kecewa dengan diri. Setiap hari saya berjuang melawan perasaan dan nafsu saya. Saya takut saya ini seorang munafik, Kak Dina.”

Setiap kali saya mendapat e-mel begini, saya rasa sebak. Mengapa? Kerana menyedari hakikat betapa ratusan ribu manusia di luar sana mengalami perasaan serupa. Betapa ramai yang hilang arah dan mahu memperbaiki diri tetapi tidak tahu ke mana harus dituju. Hakikatnya jika mahu berubah, ia terpulang pada diri sendiri. Percayalah kita sebenarnya lebih kuat daripada apa yang kita sangkakan.

saya-perlu-dan-mahu-berubah-1

Yang boleh membantu diri melebihi segala-galanya adalah Allah al-Jabbar (Maha Perkasa). Allah yang berkuasa untuk memulihkan dan membaiki keadaan dan hati kita, maka pohonlah supaya Allah al-Wali (Maha Memelihara) menjadi pelindung diri kita. Biarlah Allah yang menjadi ‘rakan’ yang dekat, yang membantu dan memelihara diri ini. Lihatlah janji Allah kepada mereka yang beriman dan percaya dengan sepenuh keyakinan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Iingatlah wali-wali Allah itu tidak ada rasa takut kepada mereka dan mereka tidak bersedih hati. Wali-wali Allah itu ialah orang yang beriman serta sentiasa bertakwa.” (Surah Yunus 10: 62-63)

Bersedia Berubah

Sejujurnya, apabila adik-adik bertanya kepada saya bagaimana mahu berubah, jawapan saya begini: “Saya juga masih merangkak dan bertatih, sama sahaja seperti anda semua.”

Jadi, apa yang saya lakukan? Pertama, saya letakkan Allah s.w.t. dan kemahuan diri saya sendiri di tangga teratas. itulah yang menentukan kejayaan perubahan diri yang berterusan. Tanya kepada diri betapa seriusnya kita mahu berubah. Adakah kita sudah sanggup meninggalkan segala kejahatan dan dosa? Apakah perkara yang kita perlu, bukan mahu? Adakah yang perlu diubah ini mahu anda lakukan atau tidak? Jika tidak, mengapa? Tuliskan. Tenunglah lama-lama. Dan mulakan langkah pertama itu.

Adakah kita bersedia untuk menggantikan kemungkaran itu dengan nikmat kemanisan iman dan ketenangan jiwa? Tanya kepada diri 100 kali sehari setiap hari. Ya, saya juga sering bertanya kepada diri sendiri. Jika tidak bersedia, mengapa? Apa yang perlu dilakukan? Apa halangannya? Kaji diri sendiri lebih baik daripada sibuk mengkaji orang lain. Alangkah bahagianya jika boleh mengucapkan selamat tinggal kepada dosa! Katakan kepada diri: “Saya diciptakan Allah terlalu baik untuk membuat kemungkaran.”

saya-perlu-dan-mahu-berubah-2

Kumpulan Sokongan

Benar, banyak perkara sukar dilakukan jika sendirian. ‘Support Group’ sebenarnya sangat penting. Seperti mereka yang mahu meninggalkan tabiat minum arak di Barat, kumpulan ‘Alcoholic Anonymous’ memberi sokongan dan dorongan kepada mereka.

Sudahkah kita membentuk kumpulan sokongan untuk membantu mereka yang benar-benar mahu berubah? Sedih kerana kadangkala sebaliknya berlaku. Apabila ada yang mahu berubah kerana perubahan itu kecil atau belum cukup sempurna, semakin banyak syarat, arahan, kata sinis dan perlian diberikan.

Kepada mereka yang mahu berubah pula, ada ramai manusia di luar sana yang sudi membantu. Usah duduk diam di dalam kamar sendiri, seperti juga urusan jodoh dan rezeki yang tidak datang bergolek. Hadiri kuliah dan dapatkan rakan baru supaya diri lebih kuat melawan seribu satu godaan. Hakikatnya, kita sentiasa memerlukan antara satu dengan lain. Kerana peringatan itu berguna untuk orang beriman.

saya-perlu-dan-mahu-berubah-3

Adik-adik, setiap perkara baik yang dilakukan dan setiap nafsu jahat yang kita lawan, tidak akan disia-siakan di sisi Allah walaupun ia Cuma sekecil biji sawi sekalipun. Allah al-Hasib akan mengambil kira dan menilai.

Bukan seperti manusia yang kadangkala terlupa memberi penghargaan dan tidak peduli perkara yang kita lakukan. Ya, walaupun ia seperti meninggalkan mengata dan membuang masa di Facebook kerana hakikatnya terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan. Baiklah, jumpa lagi, insya-Allah!

Wardina Safiyyah Fadlullah
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Wardina Safiyyah Fadlullah

Wardina Safiyyah merupakan seorang pelakon, pengacara dan selebriti terkenal tanah air. Minat Wardina dalam bidang penulisan dan kanak-kanak terserlah sejak dari kecil dan menurut Wardina, dunia kanak-kanak sudah sebati di dalam jiwanya. Anak ke-2 daripada 6 adik-beradik ini pernah bekerja sebagai guru sambilan di beberapa buah tadika, dan pernah menulis di dalam kolumnya sendiri di dalam majalah Mami & Baby juga akhbar Berita Harian. Wardina pernah berkongsi pengalaman dan pandangan sebagai salah seorang keynote speaker di Asia Pacific Conference on Early Childhood Education di Universiti Malaya.

Beliau merupakan antara selebriti popular terkenal Malaysia. Wajahnya dikenali ramai, personalitinya cukup disenangi. Wardina dikenali dan sinonim dengan imej seorang ibu yang prihatin dan sering menjadi ikutan ramai remaja wanita dan ibu muda. Di sebalik kelembutannya, Wardina juga dikenali sebagai seorang lantang dan tegas bersuara. Wardina tidak gentar dalam membicarakan apa yang benar. Beliau kini bertugas sebagai seorang pengacara rancangan bual bicara bercorak keagamaan di TV3 Al-Hidayah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Terkini daripada Wardina Safiyyah Fadlullah

Kembali ke atas