Menu

 

A+ A A-

KUASA KEPERCAYAAN ANDA

SELAMA beratus-ratus tahun, manusia percaya bahawa mustahil untuk seseorang berlari untuk jarak sebatu dalam masa kurang 4 minit. Para doktor juga telah mengemukakan bukti daripada kajian mereka bahawa secara fizikalnya adalah mustahil untuk melakukan perkara tersebut.

Sehinggalah pada tahun 1954, Roger Bannister telah memecahkan rekod dunia dengan catatan 3 minit 54 saat. Apa yang lebih menakjubkan, dalam masa setahun 37 orang pelari lain memecahkan rekod Bannister.

Dalam masa 3 tahun berikutnya, 300 orang pelari telah melakukan perkara yang sama. ia adalah suatu sejarah yang menakjubkan kerana pada awalnya selama beratus-ratus tahun tidak pernah sekalipun manusia berlari kurang daripada 4 minit.

Tetapi selepas seorang melakukannya, berbondong-bondong pelari lain berjaya melakukannya. Ia adalah bukti bahawa penghalang kejayaan dalam hidup seseorang bukanlah kerana kekurangan potensi tetapi kerana kurangnya kepercayaan terhadap potensi diri.

kuasa-kepercayaan-anda-1

Kekuatan Kepercayaan

Adakah anda bercita-cita untuk menjadi seorang doktor atau ahli farmasi? Ada sebuah kajian yang berkaitan dengan bidang perubatan dinamakan ‘Kesan Placebo’.

Kajian tersebut dilakukan oleh sekumpulan doktor yang memberikan pesakit pil-pil yang mereka katakan ubat. ‘ubat-ubat’ berkenaan sebenarnya hanyalah gula-gula dalam kapsul. Para doktor berpakat memberitahu pesakit bahawa ‘ubat’ tersebut mampu menyembuhkan penyakit mereka. Alangkah terkejut doktor-doktor tersebut kerana pil gula-gula itu memberikan kesan yang sama dengan ubat sebenar!

Bagaimanakah kepercayaan anda dalam hidup terbentuk? Dalam buku ‘unlimited Power,’ motivator billionaire antarabangsa, Anthony Robbins mengatakan bahawa kepercayaan ibarat sebuah meja. Permukaan meja tersebut adalah perkara yang kita hendak percaya, sebagai contoh ‘saya lemah matematik’.

kuasa-kepercayaan-anda-2

Persoalannya tanpa kaki-kaki yang menyokong meja berkenaan, adakah meja tersebut boleh berdiri? Tentu sekali tidak. Untuk meja tersebut berdiri, ia memerlukan kaki-kaki yang menyokongnya. Dalam konteks ini, kaki-kaki tersebut adalah bukti-bukti yang menyokong kepercayaan tersebut. Kita ambil satu kepercayaan seorang pelajar yang lemah matematik. Jelas sekali permukaan meja adalah ‘saya lemah matematik’. Kaki-kaki yang menyokong meja tersebut adalah:

1 Ibu berkata bahawa keturunan saya memang lemah matematik

2 Selalu gagal ujian matematik

Seperti yang dinyatakan bahawa sesuatu kepercayaan hanya boleh terbentuk apabila ia mempunyai bukti-bukti. Bagaimana kita meruntuhkan kepercayaan tersebut. Mudah sahaja, patahkan kaki-kaki meja tersebut. Dalam hal ini, kita cabar setiap ‘bukti-bukti’ yang minda kita sendiri bentuk. Apabila anda mematahkan kaki-kaki meja itu, ia pasti runtuh.

1 Ibu berkata bahawa keturunan saya memang lemah matematik

Ibu bapa Nik Nur Madihah, pelajar cemerlang SPM Malaysia tidak mempunyai latar belakang akademik yang tinggi. Jadi kepintaran dan kecemerlangan tidak berkaitan dengan keturunan dan asal usul.

2 Selalu gagal ujian matematik

Saya tidak belajar dan tidak menggunakan strategi yang betul.

Apabila ‘meja’ lama telah runtuh, dirikan meja baru yang lebih positif. Cipta satu kepercayaan baru yang lebih positif. Mari kita lihat pengajaran dari sudut penurunan ayat al-Quran. Ayat-ayat al-Quran yang awal-awal diturunkan semasa di Makkah dipanggil sebagai ayat Makkiyah.

Ayat-ayat Makkiyah kebanyakan memberi fokus terhadap persoalan akidah dan tauhid (kepercayaan) seperti surah al-Ikhlas yang menegaskan bahawa Allah itu satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Hanya selepas hijrah ke Madinah ayat-ayat al-Quran diturunkan mula berorientasikan ibadah. Kuatnya kuasa kepercayaan anda!

Hilmi Isa

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Hilmi Isa

Hilmi Isa seorang guru Bahasa Inggeris Komunikasi di Kolej Universiti Islam Melaka. Beliau juga berpengalaman mengajar Bahasa Arab. Hilmi memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (dan Kaunseling) dari UiTM. Selain memiliki Sijil Pengajian Usuluddin dari UM, beliau kini meyambung pelaran ke peringkat Diploma Lepasan Ijazah Pengajian Islam UIA. Hilmi menjadi pendebat Bahasa Arab di Kejohanan Debat Di Raja Kebangsaan dan Debat Bahasa Arab Universiti Universiti Asean. Istimewanya, Hilmi adalah pengamal hipnosis berdaftar dan NLP.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas