Menu

 

A+ A A-

APA ITU IKHLAS?

Ditulis oleh 

DALAM Kamus Dewan, maksud perkataan IKHLAS ialah; (dgn) hati suci, tidak menipu atau tidak berpura-pura. Ia diambil daripada perkataan Arab iaitu kholaso, atau bentuk akarnya adalah khuluuson atau kholaason, yang bermakna; jernih dan bersih daripada pencemaran. Manakala dalam Kamus al-Farid pula diterangkan maksudnya sebagai; sincerity, honest, loyalty, iaitu kejujuran.

Ungkapan ikhlas menggambarkan pengertian tentang bersih, jernih, murni dan suci daripada percampuran atau pencemaran sifat lain. Jika melahirkan kata, “Aku memuliakan ketaatanku hanya kepada Allah.” Ia bererti, tujuan memuliakan ketaatannya hanya kerana Allah tanpa ada perasaan riyak. Al-Fairuz abadi telah mengatakan: “Ikhlaslah kerana Allah.” Maknanya meninggalkan sifat riyak dan menunjuk-nunjuk.

Ikhlas merupakan istilah tauhid. Orang-orang yang ikhlas adalah mereka yang mengesakan Allah dan merupakan hamba- hamba-Nya yang terpilih. Adapun pengertian ikhlas menurut istilah syarak adalah seperti yang diungkapkan oleh Ibnul Qayyim: “Mengesakan Allah Yang Hak dalam berniat melakukan ketaatan, bertujuan hanya kepada-Nya tanpa mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.”

apa-itu-ikhlas-1

Seseorang yang ikhlas adalah seseorang yang tidak peduli akan penghargaan dan tidak menginginkan orang lain memuji kebaikannya walau seberat zarah sekalipun. Apa yang diinginkannya ialah reda Allah s.w.t. Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Doa kita agar dihindari sifat yang amat dibenci oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. iaitu sifat riyak dan takabbur.

Faiz M Azhari
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.1


Read 8348 times