Menu

 

A+ A A-

UBAT HATI

Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu’man bin Basyir)

Hati itu ibarat raja kepada anggota badan. Hatilah yang berkuasa mengarah anggota badan melakukan itu dan ini, sama ada baik atau buruk. Jika seseorang itu melakukan perbuatan yang keji dan dilarang, itu bermakna empunya badan menerima arahan daripada hati yang sakit. Walaupun hati adalah pencetus kebaikan atau kejahatan, namun manusia yang diberi akal ada hak untuk menentukannya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.” (Surah al-Isra’ 17: 36).

Jenis-jenis Hati

Ulama mengkategorikan hati manusia terbahagi kepada beberapa jenis:

  1. Hati yang sahih (qalbun sahih).
  2. Hati yang mati (qalbun mayyit).
  3. Hati yang sakit (qalbun maridh).

Hati yang sahih bermaksud hati yang suci, bersih, bebas daripada segala gangguan yang menyebabkan terhalangnya dia melaksanakan perintah Allah s.w.t. Manakala hati yang mati pula diistilahkan kepada mereka yang memiliki hati degil dan ego untuk menyembah Allah Taala. Manusia jenis ini bekerjasama dengan syaitan dan nafsu.

Bagi hati yang sakit ialah hati yang masih mempunyai kehidupan tetapi hatinya ada menyimpan benih-benih penyakit. Kadangkala mereka hidup sihat berpandukan iman tetapi ada kalanya mereka mengutamakan nafsu yang menggila.

Racun Hati

Jenis-jenis hati tersebut, muncul pada diri seseorang apabila dihinggapi virus atau racun yang akhirnya membiak dalam hati. Malangnya racun itu terjadi daripada aktiviti anggota tubuh badannya sendiri.

Anggota lidah apabila tidak pandai menjaga kata-kata, berlebih-lebihan dalam berbicara, suka mengadu domba, mengumpat, memfitnah dan berlebihan dalam pergaulan akan menjadi racun. Manakala racun yang berpunca dari mata pula ialah apabila berlebihan dalam melihat sesuatu yang diharamkan.

Racun juga berpunca dari perut, apabila berlebihan ketika makan. Pesanan Lukmanul Hakim kepada anaknya: “Janganlah kamu banyak makan dan tidur kerana pada hari akhirat nanti, kamu akan miskin amal solehmu, ketika bertemu Allah.

Mengenal Hati Yang Sakit

Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Jauhilah segala yang haram nescaya kamu menjadi orang yang paling khusyuk beribadah. Redalah dengan rezeki Allah yang kamu terima nescaya kamu akan menjadi orang yang paling kaya. Berperilakulah yang baik kepada jiran nescaya kamu termasuk orang mukmin. Cintailah orang lain pada hal-hal yang kamu cintai bagi diri kamu sendiri nescaya kamu tergolong orang Muslim dan janganlah terlalu banyak ketawa, sesungguhnya terlalu banyak tertawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

Tanda Hati Sakit

Seseorang itu dapat dilihat secara zahir bahawa hatinya sakit apabila dia mengekalkan perkara berikut:

SOLUSI 8 -83

  • Mudah Marah.
  • Bakhil.
  • Riyak.
  • Kejam dan zalim.
  • Fasiq.
  • Suka membenci.
  • Hasad dengki.
  • Berat melakukan ibadah.
  • Sombong.

 

Walau bagaimanapun terdapat ubat untuk segala penyakit tersebut. Maka ubat yang paling mujarab ialah kembali kepada Allah dengan rendah hati. Jagalah ibadah terutamanya solat. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Banyakkanlah sujud kepada Allah s.w.t, sesungguhnya bila sujud sekali Allah akan mengangkat kamu satu darjat dan menghapuskan satu dosa kamu.” (Riwayat Muslim)

Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana


Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Berkarier sebagai pendakwah dan sering muncul di tv sebagai panel jemputan Forum Perdana TV1, juga al-Kuliyyah, Motivasi Pagi, al-Hidayah, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 dan Halaqah di TV9. Sentiasa mendapat undangan ceramah, membentang kertas kerja dan seminar di seluruh negara dan di Brunei. Juga sebagai kolumnis beberapa majalah antaranya Anis, Harmoni, Nona dan Mingguan Wanita. Telah melahirkan lebih 40 album pelbagai tajuk (agama, motivasi dan tip) dalam bentuk VCD, CD dan kaset. Dianugerahkan "Outstanding Achievement" dalam penjualan album daripada Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas