Menu

 

A+ A A-

VISI UNTUK HATI

PATUTKAH hati seorang Muslim diisi dengan lagu-lagu Korea? Atau fantasi cinta Bollywood? Apakah hasilnya? Nihil dan melalaikan. Hanyut dalam kemalasan dan kerehatan yang berpanjangan.

Sedarlah! Dunia itu tempat ujian, maka hati memerlukan visi yang jelas untuk menuntunnya sampai penghujung usia. Ia tidak mampu berdiri di tengah badai atau tegak di pusaran gelombang jika tapaknya goyah dan tempat berpautnya rapuh. Memiliki visi yang jelas dan terang membolehkan hati menzahirkan peradaban yang utuh bagi menggambarkan jiwa seorang Mukmin.

VISI UNTUK HATI 3

Hanya yang Terbaik

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: “Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk akhirat, seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya.” Ini suatu slogan kehidupan yang bererti, ringkasnya buatlah sesuatu kerja dunia atau akhirat dengan sepenuh hati. Yang tersiratnya, apabila hidup di dunia ‘selama-lamanya’, mengapa begitu mendambakan dunia, sedangkan akhirat tujuan utama kerana menanti ajal pada keesokan hari tidak lama masanya! Bekerja keraslah di dunia untuk persediaan di akhirat.

Nabi s.a.w. mendidik umatnya agar berdoa meminta syurga yang terbaik “Apabila kamu meminta syurga, maka mintalah syurga Firdaus yang tertinggi.” Nah! Apakah alasan kita untuk memanjakan diri dengan kerehatan dunia yang menipu daya ini? Sanggupkah kita mensia-siakan peluang melakukan yang terbaik selagi diberi kesempatan untuk berada di dunia?

Nabi s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai seorang hamba yang melakukan kerja dengan tekun.” Tekun di sini bererti teliti, cermat, berkualiti, terancang dan rapi. Kerja pula merangkumi segala aspek, sama ada kerja dunia, mahupun ibadah khusus seperti solat dan puasa.

Malangnya, ramai remaja apabila ditanya mengapa dia tidak belajar dan bekerja dengan bersungguh-sungguh? Jawabnya: “Ini semua urusan dunia, tidak penting. Akhirat yang sepatutnya lebih diutamakan.” Maka jawapan ini adalah sejenis eskapisme yang menjadi racun minda yang melumpuhkan semangat juangnya.

Kekayaan Suatu Keperluan

VISI UNTUK HATI 1Agama Islam menuntut penganutnya rajin bekerja, sentiasa berusaha dengan tidak mengabaikan amalan fardu. Islam membenci manusia yang pemalas dan memberikan sejuta alasan untuk berkhidmat. Insya-Allah, dengan belajar dan bekerja dengan tekun, natijahnya adalah kejayaan.

Mempunyai harta juga merupakan salah satu bentuk kejayaan selepas berusaha dengan tekun. Sememangnya itu bukan satu kesalahan, malah ia dituntut kerana kekayaan itu bererti kekuasaan. Ia membolehkan kita membantu orang yang kurang berkemampuan. Pepatah Melayu ada menyebut: “Tangan di atas lebih mulia daripada tangan di bawah” dan “Orang memberi lebih baik daripada yang menerima”. Pepatah Arab pula berbunyi: “Orang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberi apa-apa”.

Maka sudah terbukti bahawa seorang Mukmin itu sentiasa mencari yang terbaik. Pelajaran yang cemerlang dan profesion yang mantap mampu menjadikan Muslim yang berharta dan menyumbang kepada masyarakat. Dengan adanya generasi Mukmin yang membudayakan kesungguhan dan kegigihan ini, maka zahirlah wajah Islam yang indah dan teguh. Inilah visi untuk hati yang harus direalisasi!

Ada sebuah kisah

Sewaktu nabi s.a.w. menguruskan jenazah anakanda lelakinya, ibrahim... pada saat Baginda meletakkan batu nisan, tiba-tiba batu nisan itu jatuh tergolek. Baginda meminta sahabat membetulkannya.

VISI UNTUK HATI 4Sahabat lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, bukankah batu itu tidak memberi apa-apa manfaat dan mudarat kepada si mati, sekalipun kita memperbetulkan kedudukannya?”

Maka nabi s.a.w. menjawab, maksudnya: “Benar, ia tidak memberi manfaat dan mudarat kepada si mati, tetapi ia menyakitkan mata orang yang hidup apabila memandangnya.”

Inilah ciri ketekunan nabi s.a.w. dalam segala kerjanya. Cermat dan rapi. Apa yang menyerabutkan di pandangan mata, pasti cuba dielakkan. Seharusnya kita mencontohi sikap nabi yang tekun dalam setiap kerja yang dilakukan.

Azzam Supardi

Sumber artikel daripada majalah GEN-Q isu No.9


Azzam Supardi

Pernah mengikuti pengajian di Maahad Buhuth di Kaherah, Mesir. Kini bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. sebagai editor majalah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas