Menu

 

A+ A A-

JIWA TENANG DENGAN SIFAT PENYAYANG

Dalam meniti kehidupan seharian, umat Islam disarankan supaya sentiasa bermuhasabah diri terhadap setiap amalan yang dilakukannya. Mudah-mudahan setiap pekerjaan dan tanggungjawab yang kita lakukan diterima oleh Allah s.w.t.dan mendapat keberkatan.

Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita supaya membaca: bismillahirrahmanirrahim yang bermaksud dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang sebelum memulakan sesuatu urusan dan melafazkan: Alhamdulillah setelah kita selesai melaksanakan urusan tersebut.

Bahkan Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap perkara baik yang tidak dimulakan dengan menyebut nama Allah, maka ia adalah terputus (tidak diterima).” (Riwayat Abu Daud)

Justeru, umat Islam mestilah sentiasa mengharapkan keberkatan daripada Allah dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya.

Allah Pemurah dan Penyayang, Kenapa Tidak Kita?

Lafaz bismillah ini ialah tanda bersyukurnya seorang hamba kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang yang telah memberikan segala nikmat kepadanya terutamanya nikmat Islam dan kesihatan. Semuanya diberikan secara percuma.

Di samping sifat Allah yang Maha Pemurah, Allah juga Maha Penyayang kepada hambaNya. Buktinya, sekalipun hamba-Nya telah banyak kali melakukan kesalahan, namun Allah tetap menyuruh hambaNya supaya memohon keampunan daripadaNya dan menerima taubat hambaNya yang dilakukan dengan ikhlas.

Justeru dalam pada kita mengharapkan sifat rahman dan rahim Allah, pernahkah kita muhasabah diri: “Adakah dalam diri kita mempunyai sifat pemurah dan penyayang?”

Jika kita memiliki kedua-dua sifat tersebut, maka jadilah kita seorang insan yang banyak memberi manfaat kepada orang lain dan memperoleh impak positif iaitu hidup kita akan sentiasa bahagia dan diberkati Allah.

Di sini saya ingin berkongsi kata-kata supaya kita refleksi diri: Siapa yang tidak ada sifat pemurah dan penyayang, dia tidak akan bahagia dan membahagiakan didunia dan akhirat.

Jika diperhatikan, manusia yang bermasalah kebiasaannya terdiri daripada manusia yang mempunyai sikap suka menyalahkan orang lain, sentiasa merasa diri mereka betul dan egonya tinggi. Orang seperti ini apabila ada masalah, mereka akan mencari tempat untuk mengadu dan mendapatkan nasihat bagi menangani masalah mereka.

Jawapan yang paling sesuai kepada mereka adalah dengan bertanya: “Berapa banyak sifat pemurah dan penyayang yang ada dalam diri?” Sebabnya, Allah tidak pernah mungkir janji bahawa sesiapa yang pemurah dan penyayang akan mendapat kebaikan juga.

Apabila kita mempunyai masalah luaran seperti kehidupan porak-peranda, belenggu kewangan dan kemerosotan kesihatan, itu tandanya hasil dunia luaran tidak sempurna. Ketika itu, segera bermuhasabah: “Kenapa perkara ini berlaku ke atas diri kita?”

Sudah tentu jawapannya ialah Allah yang menghendaki sedemikian supaya kita merenung semula amalan yang dilakukan sebelum ini. Kita haruslah sedar bahawa setiap perbuatan yang baik akan dibalas baik dan begitu juga sebaliknya. 

Berdoa untuk Dunia Sahaja?

Ramai orang yang celik mata, fizikal dan nafsu tetapi tidak celik mata hati untuk mengenal Allah. Pernahkah kita bertanya: “Kenapa kita diciptakan dan dilahirkan ke dunia ini? Adakah semata-mata untuk berseronok dan mengejar nikmat dunia sahaja?”

Hal ini kerana ada segelintir umat Islam yang melaksanakan ibadah kepada Allah namun hanya berdoa untuk kepentingan duniawi dan melupai akhirat.

Lebih malang lagi apabila habuan dunia tidak diperolehi, maka akan keluarlah kata-kata yang mengundang kemurkaan Allah seperti: “Ah, doa siang malam pun Allah tidak pernah perkenankan. Orang lain yang tidak berdoa boleh saja senang dengan hidup mewah, berkereta mewah

Dan sebagainya! ”Golongan seperti ini hanya melihat kepada habuan fizikal di dunia semata-mata. Nauzubillah!

Ini sifat yang membahayakan. Kita perlu memperbetulkan niat dan cuba lari daripada dunia bersaing dan pergi kepada dunia kerjasama. Dalam persaingan, amat jarang orang yang bersikap pemurah dan penyayang. Orang yang bersaing akan suka menjatuhkan orang, memfitnah, berdengki dan berdendam. Natijahnya, mereka sendiri yang akan menghadapi tekanan hidup.

Hanya orang yang mempunyai sifat pemurah dan penyayang yang senang memberi kerjasama.

Mudah-mudahan dengan memiliki sifat-sifat terpuji iaitu rahman dan rahim, insya-Allah kita akan beroleh kehidupan yang bahagia, tenteram dan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas