Menu

 

A+ A A-

PETUA MENDAPAT ANAK

SAYA dan isteri sudah lima tahun berkahwin, namun masih belum dikurniakan anak. Saya dan isteri saya kadang-kadang berasa malu apabila orang lain asyik bertanya tentang anak. Kadang-kadang timbul rasa cemburu apabila melihat rakan-rakan yang berkahwin, kemudian mendapat anak dengan mudah. Apakah petua untuk mendapat anak?

MUKADIMAH: Sememangnya anak ialah permata hati idaman bagi setiap pasangan dan merupakan satu nikmat besar daripada Allah Yang Maha Penyayang. Allah kurniakan nikmat anak kepada sesiapa yang Dia kehendaki mengikut kebijaksanaan dan kekuasaan-Nya. Kebanyakan pasangan di dunia ini dianugerahkan anak oleh Allah, namun tidak sedikit yang kurang menghargai nikmat yang amat hebat ini dengan tidak menjaga dan mendidik anak-anak mengikut syariat. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa nikmat anak itu disertai dengan amanah yang amat berat dan besar.

Di akhirat nanti setiap ibu bapa akan ditanya tentang amanah mereka atas setiap anak-anak. Pasangan yang belum memiliki anak seperti saudara perlu meyakini bahawa ketetapan Allah Yang Maha Adil ini mempunyai hikmah yang tersendiri. Hikmah ini kadang-kadang tidak mampu difikir oleh manusia. Apa yang penting, saudara perlu banyak bersabar serta terus gigih berusaha untuk mendapatkannya.

petua-mendapat-anak-1

RINGKASNYA: Tidak ada satu petua khusus dalam Islam.

HURAIAN: Namun saudara boleh melakukan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada seseorang daripada golongan Ansar. Tatkala dia datang menemui Baginda, beliau lantas berkata: “Wahai Rasulullah, aku belum dikurniakan anak dan tidak mempunyai anak”. Maka jawab Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila engkau mahu memperbanyakkan istighfar dan sedekah, maka engkau akan dikurniakan anak.” Lalu sahabat Ansar ini telah membanyakkan sedekah dan istighfar. Jabir bin Abdullah r.a. yang meriwayatkan hadis ini berkata: “Kemudian, lelaki Ansar ini dikurniakan sembilan orang anak lelaki.” (Musnad Abi Hanifah, hadis no. 12)

Apa yang diriwayatkan dalam hadis di atas menepati firman Allah yang bermaksud: “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah keampunan daripada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan yang amat lebat kepadamu, dan Dia akan memperbanyakkan harta dan anak-anak, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai untukmu. (Surah Nuh 71: 10-12)

Selain itu, ada beberapa doa yang mungkin baik untuk diamalkan. Antaranya doa yang dipetik daripada ayat-ayat al- Quran seperti dalam surah al- Anbiya’ ayat 89 dan ayat 30, dan surah Ali ‘Imran ayat 38. Saudara juga boleh memperbanyakkan bacaan surah Yasin khususnya ayat 77-83 dengan menghayati maksudnya. Apa yang penting ialah penghayatan dan kesungguhan ketika berdoa kepada Allah. Saudara perlu meyakini bahawa Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Sudah ramai yang mengalami masalah seperti saudara, namun tetap berusaha tahun demi tahun, dan akhirnya dikurniakan zuriat.

TAMBAHAN: Antara ikhtiar yang penting adalah dengan mengenalpasti punca masalah. Dalam hal ini, sikap berlapang dada amat penting. Setelah diketahui puncanya, maka kedua-dua pihak perlu berikhtiar untuk mengatasi masalah berkenaan. Rawatan boleh dibuat sama ada melalui perubatan konvensional, perubatan Islam, pemakanan kesihatan, bahkan juga melalui cara tradisional seperti urutan. Namun dalam sesetengah kes, kedua-dua suami isteri yang sihat tetapi belum dikurniakan anak kerana sebab tertentu, hanya diketahui oleh Allah Yang Maha Bijaksana.

RUMUSAN: Insya-Allah, berkat kesabaran, usaha, doa serta penyerahan bulat kepada Allah, mudah-mudahan Allah memberikan sinar bahagia kepada saudara dengan kurniaan anak-anak yang soleh dan solehan.

Ustaz Fathi Bin Yusof

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2

 


 

Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas