Menu

 

A+ A A-

BILA CINTA HANYA SUAM-SUAM KUKU

BILA usia isteri dan suami melewati 45 tahun, dan usia perkahwinan mula mencecah 20 tahun. Ketika itu anak-anak sudah dewasa. Sering satu soalan timbul dalam hati para suami. Bagaimana hendak membuat isteri terus malah lebih mencintainya berbanding anak-anak? Pelik bunyinya bukan? Suami cemburu terhadap anak-anak? Jangan nafikan, ia sering berlaku. Tetapi secara diam-diam. Ego lelaki sering tersembunyi apalagi apabila berdepan dengan soal yang sering dianggap remeh, cinta di senja perkahwinan.

Isteri mengutamakan anak-anak

Acap kali berlaku pada waktu-waktu begini, isteri lebih “mengutamakan” anak-anak daripada suami. Syariat mengingatkan – utamakan suami berbanding anak-anak. Sayangnya, isteri sering lupa. Maklumlah anak sudah besar, sudah boleh bersahabat, berkongsi suka dan duka. Dan suami pula sering “membisu” atau “sibuk” dengan pergolakan luaran dan dalaman. Maka si isteri berpaling kepada anak-anak, atau pada cucu-cucu, mungkin! Tanpa sedar sedikit demi sedikit suami rasa terpinggir. Terasa dirinya seolah-olah kurang dicintai walaupun hakikatnya bukan itu sebenarnya maksud malah lagi menyala-nyala. Kata orang, cuma suam-suam kuku.

Kerap juga terjadi apabila sang suami mula mencari “orang ketiga” buat berkongsi rasa. Mula-mulanya atas dasar sahabat, kenalan atau saudara. Lama-lama melarat menjadi hubungan cinta. Apabila cinta sudah “membengkak”, barulah isteri tersentak. Rupa-rupanya suaminya bercinta lagi! Bukan dengan dirinya, tetapi dengan orang lain. Ketika itu timbullah bermacam-macam tohmahan  “orang tua gatal”, “miang keladi” dan sebagainya. Malang sekali, satu masalah kerap diselesaikan dengan masalah yang lain, hubungan cinta yang seharusnya terus bertapak dengan kedewasaan anak-anak, menjadi retak menanti belah.

bila cinta hanya suamsuam kuku2

Rasa tidak dicintai lagi

Dan inilah salah satu daripada banyak punca-punca berlaku perceraian di senja perkahwinan. Semuanya bermula apabila suami merasai tidak lagi dicintai oleh isteri, yang kemudiannya menjangkit pula si isteri terasa tidak dicintai suami, padahal kedua-duanya pada hakikatnya sama-sama cinta! Cara mudah membuat orang lain mencintai kita ialah dengan kita terlebih dahulu mencintai orang tersebut. Jika kita lebih cinta, maka dia pun akan lebih cinta. Insya-Allah.

Masalah yang dihadapi ini adalah masalah yang biasa dalam rumah tangga yang berusia 10–25 tahun. Ketika ini anak-anak sudah semakin membesar dan perlu perhatian yang lebih daripada kedua-dua ibu bapa. Sering terjadi, oleh sebab terlalu ”absorbed” dengan tugasan masing-masing, suami atau isteri ‘terlupakan’ pasangannya. Isteri cenderung menumpukan tugas kepada rumah tangga (khususnya anak-anak) hingga terlupa suami masih malah lebih inginkan perhatian dan belaiannya. Manakala di pihak suami pula cenderung menumpukan pada karier, kerjaya dan juga kawan-kawannya, hingga melupakan bahawa isteri inginkan belaian dan kemesraan. Salah satu daripada dua keadaan ini sering terjadi. Sama ada berlaku di pihak isteri atau berlaku di pihak suami.

Dan lebih malang lagi jika kedua-duanya sudah terlupa! Kita tidak boleh mengharapkan keadaan berlaku terlalu ideal. Jangan menunggu untuk mendapat kembali perhatian isteri tanpa berbuat sesuatu. Jangan menunggu peluang, tetapi ciptalah peluang. Ertinya, anda mesti mengambil langkah pertama yakni dengan bertindak ”lebih” mencintai isteri anda. Bagaimana ya? Untuk mendapat perhatian, berilah perhatian. Untuk mendapat belaian, berilah belaian. Ingat cinta itu bukan kata-kata tetapi cinta itu perbuatan atau tindakan. Kenapa tidak anda lakukan langkah-langkah romantik atau cinta seperti dulu-dulu?

Jika anda dulu seorang yang suka menulis surat cinta, sajak atau kata-kata manis, maka mulakan ia sekali lagi. Tulislah surat berisikan harapan, pesanan, peringatan, luahan dan apa jua kepada isteri anda. Jika dulu anda berdua “kaki” jalan bersama, mengapa tidak sekarang anda lakukan ekspedisi singkat sekadar berjalan-jalan di sekitar kampung atau kawasan perumahan anda? Apa yang perlu dibualkan? Berbuallah sesuatu yang lebih intim dan bermanfaat.

Tentang usia yang bertambah, tanggungjawab yang kian memberat dan perkongsian rasa dalam menghadapi tugas dan tanggungjawab. Kalau dulu perbualan mungkin intim, seronok dan ringan, tetapi kini mungkin ia menjadi lebih serius, berat tetapi terus akrab. Secara berseloroh atau bergurau, ingatkan isteri bahawa sebenarnya semakin berusia, suami semakin “manja”. Justeru, syariat mengingatkan bahawa seorang isteri mesti “melebihkan” layanan kepada suami berbanding kepada anak-anak.

bila cinta hanya suamsuam kuku 1

Hadiah terbaik

Dan tuan pula bagaimana? Ingatlah, bahawa hadiah terbaik seorang bapa kepada anak-anaknya ialah mencintai ibu mereka (isteri kita). Janganlah hendaknya berebut kasih sayang dengan anak-anak. Ingat selalu hukum kasih sayang: Sesiapa yang banyak memberi dia akan lebih banyak menerima. Di samping itu muhasabahlah selalu, bagaimana hubungan tuan dengan Allah? Ini penting kerana modal kita mencintai isteri, anak-anak dan sesiapa sahaja ialah cinta kita terhadap Allah. Sesiapa yang mencintai Allah, akan mendapat kelebihan untuk mencintai orang lain. Dan sesiapa yang mencintai orang lain, maka orang lain akan mencintainya. Ingat itu Cinta Allah modal kita untuk mencintai manusia. Justeru, iman dan kasih sayang itu sangat sinonim hubungannya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.”Jadi, jangan cinta tuan, cinta isteri, cinta anak-anak sahaja yang diperkirakan. Muhasabahlah juga sejauh mana cinta Allah. Adakah cinta itu terus menjadi asas dan teras dalam rumah tangga kita? ¤

 

Pahrol Mohd Juoi

Sumber artikel daripada Majalah Solusi Isu No. 2


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Artikel berkaitan: MULIAKAH LELAKI ITU? »
Kembali ke atas