Menu

 

A+ A A-

MINUM PUN ADA CARANYA

MINUM air merupakan satu amalan yang sangat penting untuk badan kita. Dalam satu hari kita minum air sebanyak 8 hingga 15 kali sehari, bergantung pada keperluan badan kita. Orang yang aktif bersukan akan minum air dengan lebih kerap berbanding orang yang tidak aktif.

Sesungguhnya Islam merupakan satu agama yang holistik (menyeluruh). Islam memberi panduan kepada setiap amalan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian. Jika amalan yang lebih jarang dilakukan seperti tidur diberi panduan oleh Islam, tentu sekali amalan yang lebih kerap dilakukan seperti minum air ini juga diberi panduan oleh Islam untuk kita amalkan.

minum-pun-ada-caranya-1

Etika ketika minum telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita. Antara hadis yang menyebut etika minum Rasulullah s.a.w. ialah:

1. Daripada ibn Abbas r.a., dia berkata: “Sesungguhnya Rasulullah melarang untuk bernafas atau meniup ke dalam bekas air minuman.” (Riwayat al-Tirmizi)

2. Daripada Abu Qatadah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika kamu minum, janganlah bernafas di dalam bekas air minumannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Daripada Anas bin Malik r.a, dia berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w. minum, Baginda mengambil nafas di luar bekas air minuman sebanyak tiga kali. Dan Baginda bersabda, maksudnya: ‘Hal itu lebih segar, lebih sedap dan lebih nikmat.’ Anas mengatakan: ‘Oleh sebab itu, ketika aku minum, aku meneguk sebanyak tiga kali.’” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

minum-pun-ada-caranya-2

Daripada hadis- hadis tersebut, Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada kita satu prinsip yang sangat penting ketika minum, iaitu tidak bernafas ketika minum, atau dalam kata lain tidak bernafas di dalam bekas minuman. Ini merupakan satu ajaran yang mengandungi nilai etika yang begitu tinggi. Apabila dikaji dengan teliti, adab minum yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. merupakan cara yang terbaik bagi menjaga kesihatan tubuh badan kita.

1. Para ulama berkata: “Larangan bernafas di dalam bekas minuman itu sama seperti larangan meniup makanan dan minuman (yang panas agar cepat sejuk). Hal ini dikhuatiri kerana air liur yang menitis masuk ke dalam minuman atau makanan tersebut membuatkan orang yang ingin menggunakan bekas yang sama menjadi jijik dan kotor.”

2. Imam al-Qurtubi menjelaskan: “Maksud larangan bernafas di dalam bekas minuman itu ialah supaya jangan sampai mengotorinya kerana air liur ataupun aroma tidak sedap yang melekat atau menempel pada bekas air tersebut.”

3. Nafas yang dihembus mengandungi gas karbon dioksida yang tinggi dan juga bakteria-bakteria atau virus-virus daripada rongga hidung dan kerongkong seseorang. Apatah lagi jika seseorang itu sedang menghidap selesema dan demam influenza. Kuman-kuman tersebut boleh membiak dengan cepat di dalam bekas minuman yang berisi air tersebut dan menyebabkan air itu tidak tahan lama. Jika diminum, ia boleh menyebabkan jangkitan kuman dan juga sakit perut.

4. Minum sambil bernafas (menyedut dan menghembus udara) menyebabkan salur air dan udara bercampur dan boleh menyebabkan seseorang tersedak dan air memasuki paru-parunya. Hal ini boleh menyebabkan sakit tekak dan juga jangkitan kuman pada paru-paru.

minum-pun-ada-caranya-3

Selain tidak bernafas semasa minum, masih terdapat banyak lagi etika yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika minum seperti membaca basmalah, minum menggunakan tangan kanan dan juga minum dalam keadaan duduk.

Sama-samalah kita mengamalkan sunnah ini untuk mendapatkan keberkatan daripada setiap titik air yang masuk ke dalam badan kita.

Wallahua’lam.

Dr. Farhan Hadi Mohd Taib
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Dr. Farhan Hadi Mohd Taib

Lulusan Perubatan UNIMAS dan merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah Hospital. Juga sebagai penulis dan editor bagi Syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas