Menu

 

A+ A A-

ADAKAH “PEMBUNUHAN RAHMAH” DALAM ISLAM?

Membunuh ialah dosa besar dalam Islam. Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir meletakkannya pada kedudukan kedua dalam senarai dosa besar selepas syirik.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan pewarisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu. Sesungguhnya ia mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak).” (Surah al-Isra’: 33)

Bahkan ada ulama yang berpendapat bahawa seseorang yang membunuh tidak ada taubat untuknya.

Pesakit Minta Dibunuh

Apakah hukum seseorang meminta orang lain membunuh dirinya kerana sakit atau alasan lain. Apa pula hukum ke atas orang yang memenuhi permintaan tersebut?

Hukum meminta orang lain membunuh dirinya adalah haram. Kaedahnya: “Sesuatu yang haram dilakukan, maka ia haram diminta.” Bahkan ia merupakan sesuatu tindakan yang mencabar ketetapan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu.

“Dan janganlah kamu saling berbunuhan. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan menganiaya, maka Kami akan masukkannya ke dalam api neraka. Dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah. (Surah al-Nisa’: 29 dan 30)

Orang yang memenuhi permintaan membunuh itu dikira sebagai pembunuh dan dihukum qisas mengikut pendapat yang terkuat dalam mazhab Syafi‘i.

adakah-pembunuhan-rahmah-1

Eutanasia di Barat

Apakah pandangan Islam berkenaan praktik eutanasia yang diterima oleh sebahagian masyarakat Barat?

Eutanasia ialah perbuatan mematikan seseorang yang menanggung azab penyakit yang tidak dapat disembuhkan lagi atas dasar perikemanusiaan kononnya supaya pesakit tersebut tidak berpanjangan mengalami azab. Islam berpendapat bahawa eutanasia merupakan perbuatan haram, dosa besar dan tidak boleh diluluskan oleh kerajaan.

Memang pada luarannya, tindakan itu dilihat atas dasar kasih sayang dan kasihan kepada pesakit. Namun hakikatnya, ia merupakan natijah budaya masyarakat yang tidak bertanggungjawab dalam memelihara dan menghargai golongan tua mereka yang sudah banyak berjasa. Apabila mereka sudah tidak mampu berkhidmat kepada masyarakat dan berputus asa untuk hidup, lalu mereka dibunuh secara rahmat kononnya, walhal masyarakat Barat ingin menutup kelemahan dan kegagalan mereka dalam memberi kasih sayang.

Mencabut Alat Bantu Pernafasan

Bagaimana pula dengan tindakan doktor di hospital yang mencabut alat bantuan pernafasan daripada pesakit yang sudah koma begitu lama. Adakah ia dikira sebagai satu bentuk pembunuhan?

Sekiranya pihak hospital atau dua orang doktor yang dipercayai sudah mengesahkan bahawa pesakit itu mengalami kematian otak dan jantungnya hanya berfungsi dengan bantuan alat tersebut, maka tidak ada masalah untuk mencabutnya.

Mencabut peralatan tersebut bukan bererti membunuh, sebaliknya ia sama seperti meninggalkan rawatan sepertimana yang dikatakan oleh Syeikh al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu‘asirah. Bahkan jumhur fuqaha berpendapat bahawa merawat hukumnya harus sahaja. Jadi tidak ada masalah dalam kes mencabut peralatan tersebut.

Mengharapkan Kematian

Kebanyakan pesakit Muslim mungkin tidak sampai kepada tahap meminta kematian. Namun dalam hatinya mungkin terdetik kata-kata: “Kalaulah aku mati cepat-cepat.” Apa hukumnya pula?

Ada dua pendapat daripada kalangan fuqaha:

1. Haram. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki, Zahiri dan Imam al-San‘ani. Antara hujah mereka ialah maksud zahir hadis yang bermaksud: “Wahai pak cik, janganlah kamu mengangankan kematian.” (Riwayat al-Hakim)

2. Makruh. Ini merupakan pendapat mazhab Syafi‘i dan Hanbali. Mereka berpendapat larangan tersebut bersifat makruh sahaja.

Guru saya Dr. Saadudin Hilali, seorang tokoh fiqah yang saya kagumi di Mesir memilih pendapat pertama. Hujahnya, orang yang mengharapkan kematian sebenarnya orang yang berputus asa daripada rahmat Allah dan ia bercanggah dengan konsep kehambaan.

adakah-pembunuhan-rahmah-2

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas