Menu

 

A+ A A-

PRODUK PALING LARIS DI INTERNET

ORANG sering bertanya kepada saya, apakah produk paling laris sekiranya dijual di Internet? Untuk mengetahui jawapannya, kita perlu lihat terlebih dahulu, apakah kegunaan Internet yang paling tinggi sekali.

Orang ramai menggunakan Internet untuk mendapatkan informasi. Pada zaman ini, zaman informasi, informasi ialah produk yang paling laris sekiranya dijual di Internet. Produk informasi yang dimaksudkan boleh jadi dalam bentuk buku, video, audio, repot, manual, e-book, persembahan multimedia dan sebagainya.

Sekiranya anda ingin memulakan perniagaan Internet dengan menjual informasi, pertama sekali, anda perlu tetapkan bentuk atau produk informasi yang anda ingin perdagangkan. Oleh sebab tiada had pada informasi, maka berbagai-bagai perkara boleh menjadi produk informasi.

USAHAJAYA - PRODUK PALING LARIS DI INTERNET Dr. Irfan Khairi - SOLUSI 6

Teringat saya satu ketika dulu ketika mengendalikan workshop perniagaan Internet saya, seorang peserta mengaku bahawa beliau tidak mempunyai idea untuk menjual apa di Internet. Apabila ditanya, beliau terlibat dalam industri apa, jawapannya ialahs industry membuang sampah.

Agak tersentak juga saya kerana sering kali saya sarankan peserta untuk lakukan perniagaan berkaitan dengan industri atau minat masing-masing. Apabila mendengar jawapan “industry membuang sampah”, saya sendiri tidak dapat sebarang idea apakah yang beliau boleh jual di Internet!

Namun saya minta beliau duduk terlebih dahulu dan terus ikuti segmen yang saya akan ceritakan tentang menjual produk informasi di Internet. Saya mengambil langkah demikian dengan harapan beliau mendapat idea.

Sejurus selepas saya menceritakan bahawa informasi ialah produk terlaris dijual di Internet dan memberi kebaikan-kebaikan lain menjual produk informasi, peserta tersebut bangun semula dan berkata, “Saya mempunyai idea apa nak saya jual di Internet. Saya akan menulis buku mengenai cara-cara kita boleh menambahkan pendapatan daripada sampah-sampah yang kita ada!”

Wah, idea yang amat baik! Walaupun industri “buang sampah”, ia masih boleh menjana idea untuk menghasilkan produk informasi.

Sejak itu, saya amat yakin bahawa tidak kira apa pun industri seseorang itu, pastinya terdapat “informasi” yang boleh dijual berkaitan dengan industri tersebut. Apa yang diperlukan ialah kreativiti dalam menghasilkan idea!

Kisah tersebut sering menjadi peringatan kepada saya bahawa tidak kira apa jua industri atau minat, pastinya terdapat “produk informasi” yang boleh dihasilkan. Lihat dalam diri anda sendiri, industri anda dan minat anda, apakah informasi yang anda boleh jual di Internet?

Selepas mengetahui topik informasi yang anda ingin hasilkan, langkah seterusnya ialah anda pilih kaedah penghantaran informasi tersebut. Sama ada ingin menjualnya dalam bentuk buku, video, audio, repot, manual, e-book, persembahan multimedia dan sebagainya.

Di sini saya juga ingin menyentuh tentang e-book atau e-buku yang merupakan kaedah penghantaran informasi yang kian popular pada zaman ini.

E-buku merujuk kepada informasi yang dikumpulkan dalam bentuk digital, mirip sebuah buku. Ia merupakan fail digital yang boleh dihantar kepada pembeli melalui e-mel, atau pembeli boleh muat turunkan daripada Internet. Contoh sebuah e-buku boleh didapati di www.irfankhairi.com/mentor.

Apa yang menariknya mengenai e-buku, oleh sebab ia berbentuk fail digital, kaedah penghantarannya kepada pembeli secara online menjimatkan wang (tidak perlu mencetak), masa (pembeli menerimanya secara segera) serta boleh mengandungi link/audio atau video supaya menjadikan e-buku anda interaktif.

Melihat potensi keuntungan e-buku juga boleh menarik minat ramai pihak. Sebagai contoh, oleh sebab e-buku ialah fail digital yang dijual oleh penjual terus kepada pembeli, sekiranya e-buku tersebut berharga RM40, penjual (atau usahawan e-buku) tersebut akan memperolehi keuntungan penuh RM40!

Tidak seperti menjual buku biasa secara tradisional, sekiranya penulis buku menulis buku melalui penerbit dan buku tersebut dijual pada harga RM40, penulis menerima royalty atas setiap jualan contohnya, sebanyak RM2 sahaja. Bandingkan keuntungan RM40 dan RM2 atas setiap jualan! Itulah antara kekuatan menjual informasi melalui digital di Internet.

Apabila anda mempunyai produk informasi untuk dijual, langkah seterusnya adalah dengan memiliki laman web sebagai tempat mempamerkan produk informasi anda. Sekiranya pelawat laman web ingin membeli, mereka boleh membuat bayaran menggunakan kad kredit atau membuat bayaran terus ke bank usahawan informasi tersebut.

Satu ketika dulu, zaman pertanian melahirkan ramai usahawan-usahawan tani. Kemudian zaman perindustrian pula menghasilkan ramai usahawan-usahawan perindustrian. Kini, kita memasuki era informasi dan waktu inilah akan terlahirnya ramai usahawan-usahawan informasi yang menjual produk paling laris di Internet!

Dr. Irfan Khairi

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Dr Noor Irfan Khairi Noor Azmi

Selepas tamat pengajian tinggi di United Kingdom (U.K.), beliau berkhidmat dengan Netmedia (UK) Ltd., Birmingham, U.K. sebagai pereka sistem multimedia dan perunding internet. Beliau memulakan perniagaan di internet pada 1999, dan dalam masa 3 tahun telah memperoleh untung bersih RM1 juta, ketika berusia 25 tahun. Beliau menulis buku Rahsia Internet.com: Rahsia Jutawan Internet Terbongkar dan Secrets of Internet Millionaires Revealed. Pada 2006, beliau dianugerah kan Young Innovation Award daripada Oxford Association of Management, U.K. Beliau juga sebagai kolumnis majalah, mengendalikan seminar, ceramah dan sering muncul di tv dan radio. Layari laman web beliau di www.irfankhairi.com/blog.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas