Menu

 

A+ A A-

MENGAPA PENALTI DI BANK ISLAM HALAL?

DALAM praktis perbankan Islam, ada dikenakan sejumlah wang sebagai ganti rugi atau seperti denda, jumlah ini sebenarnya dianggap sebagai bayaran kos rugi (ta’wid atau compensation) yang dialami oleh bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dijanjikan.

Pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh bank-bank Islam dengan penalti oleh bank konvensional.  Ganti rugi atau compensation yang dikenakan oleh bank Islam terhasil daripada proses jual beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional ialah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata.

Para ulama kontemporari terbahagi kepada tiga kumpulan dalam hal penalti ini. Ringkasnya seperti berikut:

Kumpulan Pertama: Harus dikenakan penalti dalam bentuk wang

Kumpulan ini terdiri daripada mereka seperti Syeikh Mustafa al-Zarqa Syeikh Muhammad Sadiq al-Dharir, Syeikh Abdullah Bin Mani’, Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan, dan Fatwa Persidangan Dallah al-Barakah (di International Syariah Dialogue, November 2006) dan majoriti Majlis Syariah di bank-bank Islam di Malaysia.

Menurut kumpulan ini wang penalti itu pula boleh dimanfaatkan oleh bank Islam. Keharusan ini berdasarkan beberapa hujah antaranya:

Maslahat mursalat dan tindakan mengenakan ganti rugi ini adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang. Ia dinamakan mumatil yang disebut oleh Nabi s.a.w. bermaksud:

“Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2167, jil. 2, hlm. 799)

Sabda Baginda lagi yang bermaksud: “Bagi orang berkemampuan dan melewatkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka hukuman.” (Riwayat Abu Daud, al-Nasai’ dan Ibn Hibban. Hadis sahih)

Kedua-dua hadis ini menunjukkan haram hukumnya melewatkan pembayaran hutang bagi mereka yang ada kemampuan.

Qiyas kepada hukuman terhadap perampas harta orang lain. Sekiranya seorang mencuri atau merampas atau enggan memulangkan harta mangsa yang disimpannya, mangsa diberi hak untuk mengambil mana-mana harta pencuri, perampas atau penyimpan bagi mengembalikan haknya yang dicabuli. Mereka juga bertanggungjawab atas harta mangsa sepanjang tempoh tersebut, justeru sebarang kerugian yang ditanggung oleh mangsa turut akan dituntut daripada pencuri, perampas dan penyimpan.

Hal ini dikira sama dengan pelanggan yang berjanji membayar hutang kepada bank Islam pada tempoh tertentu, tetapi melanggar janjinya. sebagai tindakan susulan, bank dibenarkan bertindak dengan mengenakan penalti seperti hukuman merampas.

Hukuman takzir (denda) ke atas pesalah seperti orang berduit tetapi sengaja melewatkan bayaran hutang terpulang kepada ijtihad hakim atau pemerintah, tanpa terhad kepada hukuman dalam bentuk tertentu sahaja, hukuman boleh datang dalam bentuk denda kewangan dan juga lain-lainnya.

Malah terdapat riwayat silam yang menunjukkan pemerintah Islam pernah mengurung individu sebegini sehinggalah ia membayar hutangnya. Ringkasnya, hukuman seperti disenaraihitamkan nama, dirampas pasportnya, dirampas hartanya dan dijual untuk menyelesaikan hutang dibenarkan oleh Islam.

Kumpulan Kedua: Mengharuskan penalti bentuk wang tetapi disalurkan kepada kebajikan

Kumpulan ini seperti kumpulan pertama dari sudut mengharuskan penalti bentuk wang dikenakan ke atas pelanggan yang lewat membayar hutangnya, namun semua jumlah yang terkumpul daripada penalti ini tidak boleh dimanfaatkan oleh pihak bank. Semua jumlah tersebut mestilah diberikan kepada kebajikan awam atau fakir miskin.

Antara yang berpegang dengan fatwa ini ialah Dr. Abd Sattar Abu Ghuddah, dan ia turut diputuskan oleh Majlis Syariah AAOIFI bagi produk murabahah. Fatwa AOOIFI menyatakan:

“Harus dimasukkan dalam mana-mana kontrak yang bersifat hutang seperti murabahah, bahawa orang yang berhutang ketika berlaku kelewatan bayaran hutang sedangkan ia mampu, dia akan menyedekahkan satu jumlah atau nisbah tertentu dengan syarat jumlah tersebut diserahkan kepada kebajikan.”

Pandangan ini dipegang oleh majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqah Sedunia. Hujah bagi kumpulan ini ialah: Konsep sedekah duit (ta’wid atau compensation) kepada badan kebajikan atau fakir miskin dibuat atas konsep iltizam al-tabarru’ yang disebut dalam kitab fiqah mazhab Maliki. Sebagaimana kata Imam Malik:

“Dan perkara yang baik (makruf) sesiapa yang mewajibkan (berjanji) untuk ditunaikannya, wajib (lazim) untuknya menunaikannya.” Ia bermakna semua pelanggan memberikan komitmen jika ia gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dipersetujui. Ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya. Riba hanya akan berlaku apabila pemberi pinjam (atau dalam konteks kontrak jual beli) penjual sendiri yang mengambil wang penalty tadi, yang hutang pelanggan bertambah kerana lewat bayar. Iaitu Riba al-Jahiliyah dan juga al-Nasi’ah.

Namun demikian jika jumlah penalty diserahkan kepada pihak ketiga dan kebajikan, ia tidak lagi menjadi riba menurut kumpulan ulama ini. Di kebanyakan bank Islam yang mengamalkan fatwa ini, jabatan syariah dan majlis penasihat syariah yang akan memantau. Malah keputusan majlis penasihat syariah juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan ini. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta’wid akan terus masuk ke akaun khas seperti charity contohnya. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada charity kecuali setelah disahkan layak oleh majlis penasihat syariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa buah bank Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak mengehadkan penggunaan wang ta’wid (compensation) kepada fakir miskin sahaja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka sebagaimana kumpulan pertama. Perkara ini mungkin telah disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing.

Kumpulan Ketiga: Penalti tidak harus sama sekali

Antara ulama yang terkuat berkempen pandangan ini ialah Dr. Nazih Hammad, Dr. Md. Ali al-Gari dan lain-lain dengan pelbagai hujah. Hujahnya:
Penalti disebabkan lewat bayar adalah riba.

Menolak konsep rampasan tadi kerana hujah yang mengatakan pihak mangsa boleh mendapat untung dan manfaat sekiranya ia mendapat hartanya kembali dalam waktu yang sepatutnya hanyalah andaian semata-mata. Terdapat kemungkinan besar juga dia tidak langsung memanfaatinya atau mungkin berpotensi untuk rugi jika diperoleh hartanya. Justeru menggunakan hujah ini tidak kukuh.

Kesimpulan

Setelah membaca dan merujuk hujah-hujah setiap kumpulan serta melihat kepada keadaan dan konteks semasa, saya cenderung kepada pandangan kumpulan kedua.

Pandangan kumpulan ketiga juga amat baik, namun untuk bertindak sedemikian dalam konteks semasa, sudah tentu ada antaranya yang sesuai manakala sebahagian lain tidak.

Memandangkan lemahnya sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dewasa ini dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, ta’wid (ganti rugi) akan dikenakan.

Ia telah selesai dengan ijtihad majlis penasihat syariah masing-masing. Bagi fatwa di Malaysia, isu ini dibawa ke persidangan ilmuwan syariah di peringkat Malaysia khususnya Bank Negara Malaysia. Hasilnya keputusan menyebut, bagi menyekat kecuaian sengaja ini, maka diharuskan mengenakan denda ta’wid dengan syarat ia kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Penentuan kadar rugi ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. Selain itu kadarnya hanya 1 peratus sahaja dan ia tidak bersifat compounding.

Pembaca perlu faham bahawa penalty yang dikenakan oleh bank konvensional adalah compounding iaitu penalti ini akan dimasukkan dalam jumlah pinjaman dan jika kena penalti lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal yang ditambahkan dengan penalti. Ini zalim dan amat menindas. ¤

                 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5


Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas