Menu

 

A+ A A-

MENYOKONG DAN MENDUKUNG PERBANKAN ISLAM

KEWUJUDAN sistem perbankan Islam di negara kita begitu menggembirakan masyarakat Islam. Namun jika dilihat secara kasarnya, ia masih lagi tidak dapat menandingi bank-bank konvensional yang sedia ada. Sebagai masyarakat awam, apa yang boleh dilakukan untuk menyokong usaha memantapkan perbankan Islam pada hari ini?

Sebenarnya, banyak cara yang boleh dilakukan oleh masyarakat Islam di luar sana dalam usaha murni ini, antaranya:

1. Membuka akaun-akaun simpanan, semasa dan pelaburan di bank-bank Islam

Hasil wang terkumpul daripada akaun-akaun tersebut, insya-Allah bank Islam tidak akan lagi menghadapi masalah kekurangan dana. Rentetan itu ia dapat menyediakan kemudahan pembiayaan kepada masyarakat yang berhajatkan kepadanya. Di samping itu, akaun kita juga diyakini bebas daripada unsur riba.

2. Melanggan produk-produk kemudahan pembiayaan yang telah ditawarkan

Pelbagai produk yang ditawarkan seperti produk perumahan, pembiayaan dan pembiayaan peribadi. Dari satu sudut, boleh diyakini bahawa perolehan dan pemilikan harta kita seperti rumah dan kereta mengikut kehendak Allah s.w.t. Manakala dari sudut yang lain pula, kita membantu menyumbangkan keuntungan kepada institusi-institusi Islam tersebut. Tambahan pula, agihan keuntungan itu sebahagiannya akan kembali kepada para pemegang akaun tadi dan juga sebahagian masyarakat yang berhajat.

Bank-bank Islam sebenarnya begitu aktif dan komited melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan, tajaan dan sumbangan kepada pihak-pihak yang memerlukan. Semakin meningkat keuntungan, semakin banyak perancangan tersebut boleh dilaksanakan.

perbankan-islam-1

3. Melakukan usaha sama dengan mana-mana bank Islam Islam bagi yang mempunyai syarikat dan perniagaan sendiri

Sebagaimana di Bank Muamalat, produk-produk jalinan usaha sama yang berdasarkan konsep perkongsian untung rugi (musyarakah) dan pengurusan aset pelaburan (mudarabah) sedang giat dipertingkatkan. Sebenarnya, atau terlalu banyak produk Islam dalam pasaran yang kompetitif yang boleh kita langgan.

4. Menyebarkan kesedaran tentang kewajipan berurusan dengan bank-bank Islam kepada ahli keluarga, sahabat handai dan masyarakat sekeliling

Ini juga satu bentuk dakwah. Besar ganjaran yang akan diterima. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu sunnah (kebiasaan) yang baik dalam Islam, maka baginya pahala sunnah itu dan pahala orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala-pahala mereka (orang yang mengikutinya). Dan sesiapa mengadakan satu sunnah (kebiasaan) yang buruk dalam Islam, maka baginya dosa itu dan dosa orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan sedikit pun daripada dosa-dosa mereka.” (Riwayat Muslim)

5. Memberi cadangan penambahbaikan dan membantu memperbaiki kelemahan-kelemahan yang sedia ada

Bukan hanya tahu mengkritik dan menyalahkan. Sebaliknya kita mengharapkan teguran membina, cadangan bermanfaat dan saling menasihati berlandaskan ukhuwah islamiah, insya-Allah.

perbankan-islam-2

Mohd Hafiz Fauzi
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi

Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lulusan Sarjana Muda Undang-undang (Sivil dan Syariah) UIA dan Sarjana Undang-undang Perbandingan (Bidang Perbankan dan Kewangan Islam) UIA. Beliau pernah menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan penceramah Radio IKIM.FM.

Kembali ke atas