Menu

 

A+ A A-

MENYUSUKAN ANAK: ANTARA TANGGUNGJAWAB SUAMI DAN HAK ISTERI

Suami Paksa Isteri Menyusukan Anak

Saya seorang wanita berkerjaya dan mengalami kesulitan untuk menyusukan anak sepenuhnya. Namun suami saya menyuruh saya agar menyusu sepenuhnya dengan cara menyimpan susu untuk bekalan anak pada waktu saya bekerja. Saya agak keberatan untuk memenuhinya apabila memikirkan soal masa dan kepenatan. Adakah salah jika saya tidak memenuhi kehendak suami saya itu?

Jawapan

Ringkasan: Seorang isteri tidak wajib memenuhi kehendak suami untuk menyusukan anak.

Huraian: Menurut mazhab Syafi‘i, menyusukan anak bukannya kewajipan ke atas si ibu, bahkan ia adalah hak. Maka si ibu boleh memilih sama ada mahu menyusukan atau tidak. Sebaliknya soal menyediakan makanan untuk anak ialah tanggungjawab si bapa. Jika isteri tidak menyusukan anak dengan susu badan, maka suami bertanggungjawab untuk memenuhi keperluan makanan anak tersebut. Caranya sama ada dengan mendapatkan seorang wanita yang dapat menyusukan anaknya atau menyediakan makanan ganti yang sesuai seperti susu formula atau sebagainya. Oleh sebab itu, seorang suami tidak boleh memaksa isterinya menyusukan anak mereka. Seorang isteri tidak dianggap menderhakai suaminya jika dia enggan menyusukan anak.

Hujah: Prinsip ini disandarkan kepada tafsiran ayat 6 surah al-Talaq yang bermaksud: “Dan sebaliknya jika kamu (daripada kedua-dua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.” Ayat ini menunjukkan bahawa penyusuan boleh diserahkan kepada perempuan lain. Oleh sebab itu, ia juga membawa maksud bahawa penyusuan bukanlah satu kewajipan ke atas ibu. Inilah pandangan dalam mazhab Syafi‘i.

Tambahan: Namun begitu terdapat beberapa keadaan yang menjadikan penyusuan badan daripada seorang ibu menjadi wajib:

1. Sekiranya si anak tidak mahu menyusu atau makan daripada sumber yang lain melainkan susu badan ibunya sahaja.

2. Sekiranya tidak ada orang lain yang ingin menyusukan si anak atau makanan gantian seperti susu formula tidak serasi dengan anak itu. Kedua-dua keadaan ini menjadikan penyusuan wajib ke atas ibu. Dia boleh dipaksa oleh suaminya untuk menyusukan anak demi menyelamatkan nyawa dan menjamin kesihatan anak itu. Soal menyusukan anak dengan susu ibu adalah soal yang penting bagi memastikan anak mendapat sumber makanan yang berkat, bersih dan menyihatkan. Susu ibu juga mempunyai kelebihan yang jauh lebih baik berbanding susu formula. Tambahan pula ia dapat mengukuhkan ikatan kasih saying antara anak dan ibunya.

Walau bagaimanapun tidak dinafikan bahawa penyusuan penuh memang satu cabaran yang besar bagi seorang ibu yang berkerjaya. Justeru, apa yang penting di sini ialah sikap kedua-dua suami dan isteri dalam merancang dan menguruskan perkara ini. Binalah kesedaran bersama, amalan kerjasama, saling memahami, mengutamakan perbincangan, bertimbang rasa dan bantumembantu dalam menjalani kehidupan rumah tangga.

 SUSU ANAK

Menyusukan Anak Semasa Berjunub

Saya inginkan kepastian, apa hukumnya jika seorang ibu menyusukan anak ketika dia dalam keadaan berjunub? Saya terfikir, boleh jadi hukumnya makruh.

Jawapan

Ringkasan :Menyusukan anak ketika dalam keadaan berjunub adalah harus.

Huraian : Orang yang berjunub ialah orang yang tidak suci akibat keluar mani atau persetubuhan. Namun begitu, dia tidak perlu menganggap dirinya kotor dari sudut fizikal. Maksud “tidak suci” dalam konteks ini adalah dari sudut ibadat. Jadi dia tidak boleh melakukan ibadat-ibadat tertentu sahaja. Justeru, seseorang itu tidak dikira kotor dari sudut fizikal semata-mata kerana dia berjunub atau berhadas besar.

Hujah : Kefahaman ini bersandarkan petunjuk Rasulullah. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa dia ternampak Rasulullah ketika dia sedang berjalan di satu lorong di Madinah. Beliau terus mengelakkan diri daripada pandangan Baginda. Beliau segera pergi untuk mandi wajib dan kemudiannya datang kembali kepada Rasulullah. Rasulullah bertanya: “Ke mana kamu telah pergi wahai Abu Hurairah?” “Tadi saya berada dalam keadaan berjunub. Jadi saya tidak suka untuk duduk bersamamu dalam keadaan demikian.” “Subhanallah! Orang yang beriman tidaklah najis”, jelas Baginda. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tambahan : Perkara-perkara larangan bagi orang yang berjunub ditetapkan oleh nas al-Quran dan sunnah. Persoalan ini telah disebut secara jelas dalam perbahasan fiqah taharah. Justeru tidak wajar bagi sesiapa termasuk ibu yang ingin menyusukan anak menambahkan pantang larang apabila berada dalam keadaan berjunub. Hadis Abu Hurairah di atas menjadi dalil bahawa peluh orang yang junub itu tidak najis. Demikian juga susu yang keluar dari badan ibu adalah suci dan bersih walaupun dia dalam keadaan junub.

 

 

Ustaz Fathi Yusof

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas