Menu

 

A+ A A-

BAKAL PENGANTIN “MATI PUCUK”

Ditulis oleh 

SOALAN :Saya telah pun bertunang selama tiga tahun. Kini keluarga pihak perempuan kian mendesak saya agar segera melangsungkan perkahwinan. Namun, saya belum bersedia kerana masih berusaha untuk mengubati penyakit “mati pucuk” saya. Apakah hukum jika saya berkahwin?

RINGKASNYA: Haram melangsungkan majlis perkahwinan dalam keadaan saudara berpenyakit seperti yang dinyatakan.

HURAIAN: Hal ini kerana saudara akan berlaku zalim ke atas isteri kerana tidak mampu untuk memberi nafkah batin kepadanya. Selain itu, perkahwinan ini juga akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan seperti fitnah keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, saudara perlu mendapatkan rawatan daripada pakar sakit tuan terlebih dahulu sebelum melangsungkan majlis perkahwinan. Sekiranya pakar telah mengesahkan bahawa saudara telah pulih sepenuhnya daripada penyakit tersebut,barulah saudara dibenarkan untuk melangsungkan perkahwinan.

Seperkara lagi nikmat perkahwinan bukan hanya pada seks semata-mata, bahkan lebih dari itu. Tanpa seks ada pasangan yang bahagia, maka apa yang perlu ialah, bakal isteri diberitahu.

Pengantin Berpakaian Ketat

SOALAN :

Bolehkah bakal pengantin perempuan memakai pakaian ketat ketika majlis perkahwinan?

JAWAPAN :

RINGKASNYA: Terima kasih atas soalan yang sangat baik dan penting untuk difahami oleh semua Muslimah. Kesemua fuqaha sepakat berpendapat bahawa haram bagi wanita untuk berpakaian ketat kecuali dalam dua keadaan sahaja:

  1. Di hadapan suami.
  2. Bukan di hadapan lelaki yang bukan mahram.

HURAIAN: Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada golongan lelaki yang beriman supaya memelihara pandangan mereka (daripada melihat perkara haram) dan memelihara kehormatan mereka.” (Surah al-Nur: 30)

Menurut al-Qurtubi, ayat ini jelas mengharamkan golongan lelaki untuk sengaja melihat aurat wanita. Bermula dengan tabiat melihat kepada perkara ditegah syarak, akhirnya membawa kepada perbuatan zina.

Dalam masa yang sama, Allah mengarahkan wanita supaya memelihara aurat mereka daripada dilihat oleh golongan lelaki yang bukan mahram. Firman Allah yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada kaum wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka, janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, hendaklah mereka menutup bahagian dada dengan tudung kepala dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka.” (Surah al-Nur: 31)

Ayat ini sangat jelas melarang golongan wanita mempertontonkan susuk tubuh kepada kaum lelaki. Ini kerana perbuatan tersebut boleh mendatangkan fitnah kepada golongan lelaki selain menjadi punca kepada zina, rogol, gangguan seksual dan sebagainya.

Atas dasar itu, para ulama khususnya mazhab Syafi‘i telah mewajibkan golongan wanita yang telah baligh agar menutup keseluruhan tubuh mereka dengan pakaian yang mampu menghalang daripada dilihat oleh lelaki bukan mahram. Namun begitu, kawasan muka dan pergelangan tangan mereka adalah dikecualikan daripada arahan.

Pengantin Bertudung Singkat

restSOALAN :

Tidak lama lagi saya akan melangsungkan perkahwinan.  Masalah yang saya hadapi ialah mak andam menyuruh saya memakai tudung yang sangat singkat sehingga menampakkan bahagian dada saya. Dia ialah emak saudara saya. Jadi, saya berasa agak payah untuk menolak permintaannya. Apa nasihat ustaz?

JAWAPAN :

RINGKASNYA: Saudari, memakai tudung di bahagian kepala hingga ke paras dada ialah satu kewajipan ke atas wanita Islam dalam semua keadaan. Allah berfirman dengan jelas dalam surah al-Nur ayat 31yang telah disebutkan di atas. Menurut Imam al-Qurtubi, setiap wanita Islam wajib menutup kepala mereka hingga hingga menutupi bahagian dada.

Sehubungan dengan itu, saudari diharamkan mematuhi kehendak mak andam tersebut yang sememangnya bercanggah dengan kehendak Islam. Setiap arahan atau pandangan yang bercanggah dengan Islam wajib ditolak. Sabda Nabi yang bermaksud: “Tidak boleh mentaati makhluk dalam mengingkari Pencipta.” (Riwayat Ahmad)

Demi Menjunjung Keindahan Syariat

TAMBAHAN: Memang tidak dinafikan bahawa dalam mashaf alQuran terjemahan bahasa Melayu pada hari ini menterjemahkan “jaib” nya sebagai “belahan leher”. Namun hakikatnya, “jaib” yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah bahagian payudara.

Ia dapat dibuktikan menerusi kajian terhadap budaya pakaian wanita Arab jahiliah yang dilakukan oleh Prof.Dr.Muhammad Baltaji dalam bukunya al-Fiqh alMar’ahfi al-Islam. Beliau menegaskan bahawa belahan yang terdapat dibahagian leher baju wanita Arab zaman jahiliah itu bermula dari leher hingga keparas payudara. Belahan tersebut sebenarnya bertujuan untuk memudahkan para ibupada waktu itu untuk menyusukan bayi-bayi mereka.

Atas dasar itulah ayat 31 surah al-Nur telah mengarahkan agar para Muslimah menutup kepala mereka hingga ke bawah dengan meliputi belahan leher baju mereka.

Pentafsiran ini secara tidak langsung menjadi garis panduan ulama dalam menentukan had labuh tudung Muslimah iaitu hendak menutupi hingga ke paras bawah dada.

Dengan itu, para wanita dapat menutup bentuk payudara mereka daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahram. Kenyataan ini turut disokong oleh ramai ulama kontemporari antaranya Prof. Dr.Wahbah al-Zuhayli, Prof. Dr. Said Muhammad al-Tantawi dan Prof.Dr. Yusof al-Qaradawi.

Ustaz  Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Read 5622 times
Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, UKM. Kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam isu fiqah makanan dan kepenggunaan semasa bagi produk halal. Pernah menetap di Syiria antara tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh itu, beliau sempat berguru dengan ramai ulama Syiria antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty dan Dr. Mustafa al-Bugha. Kini
pensyarah UKM.