Menu

 

A+ A A-

BULAN RINDU

Merindui Ramadan

Ramadan dinanti penuh kerinduan. Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, dihitung saban hari. Bulan rindu itu hadir jua. Segar di memori ini kenanganku di suatu Ramadan, di Taman Ilmu dan Budi, Universitic Islam Antarabangsa Malaysia. Ketika itu, kutitipkan puisi bagi menyambut ketibaan Ramadan yang kucintai.

 ”Ahlan Wasahlan, Ramadan!” Kau bulan kerinduan, Hadirmu dinantikan, Penyiram jiwa gersang, Membersih dosa bersarang. Apabila... Malam pertamamu menjengah, Bertiup al-mutsiiratu dari Arasy, Menggerakkan pohon-pohon syurga, Terdengar sayup-sayup merdu suara, Tak pernah terdengar oleh telinga, Berbisik si bidadari, Kahwinkanlah daku, Dengan hamba-Mu yang berpuasa.

Pintaku, Angin mutsiiratu yang dingin, Membelai segala kepayahan, Memujuk segala kesedihan, Menyejukkan dalam indahnya pengabdian. Oh, Ramadan... Hadirmu penuh keberkatan, Sarat rahsia keindahan, Melimpah nur kebaikan, Memancar cinta Al-Rahman.

Ramadanku, Kau bagaikan pesta ibadah, Mengajar nafsuku bermujahadah, Tiap saatmu terkandung hikmah, Memekar kuntuman hidayah.

Alangkah indahnya hidup, Andai malammu kuhiasi tahajud, Hayati al-Quran penuh takjub, Zakat dihulur bersama zuhud, Amal berganda setinggi Uhud. Ramadanku, Tawaran demi tawaran kau sajikan, Buat perindumu yang beriman, Membentang samudera keampunan, Bernaung kasih tiada tepian. Ramadan, Setahun ku merindu, Kau kini milikku, Hari-harimu pantas berlalu, Kuatkanlah aku ya Rahman, Mengaut segala ganjaran, Berpisah dengan keredaan.

Ramadan yang Kuingin

Jiwa remaja yang penuh idealistic bergelora membina azam dan cita-cita. Ketika itu, pelbagai azam dipasakkan. Kuingin menjadikan Ramadanku kali ini penuh makna. Kuingin khatam al-Quran. Kuingin hafaz dan tadabbur al-Quran. Kuingin bertahajud setiap malam. Kuingin iktikaf sepanjang Ramadan.

Kuingin gandakan amalan sunat. Kuingin… Wah, banyak sekali yang kuinginkan untuk mengisi Ramadanku kali ini! Aku sedar, keinginan tanpa usaha hanyalah suatu angan-angan. Angan-angan ibarat debu di jalanan.

Apabila bayu menerjah, ia terbang tanpa tujuan.

Peluang Iktikaf di Rumah Allah

Tekadku membara untuk beriktikaf di rumah Allah sejak awal Ramadan bagi merealisasikan setiap janji pertemuan cinta dalam pelukan ibadah terhadap-Nya. Suasana masjid di Taman Ilmu dan Budi aman dari fitnah dan agak terjaga bagi seorang wanita sepertiku.

Peluang ini takkan kulepaskan kerana suasana ini mungkin hanya kutemui di alam kampus sahaja. Di alam masyarakat, mungkin agak sukar untuk kulaksanakannya lagi. Harapnya tidak. Masjid Sultan Ahmad Syah menjadi rumah keduaku. Masjid empat tingkat yang terletak di tengah-tengah Taman Ilmu dan Budi itu tersergam indah. Binaannya unik. Seni ukirnya halus. Batu-batunya dikumpul dari pelbagai negara di seluruh dunia.

Aku berkampung di tingkat tiga. Beg yang lengkap dengan keperluan harian kusimpan kemas di dalam salah satu kotak merpati berdekatan tangga tingkat tiga.

Debaran Malam Pertama

Kusambut malam pertama penuh debaran. Impian terlalu tinggi yang kusemat untuk Ramadanku kali ini bimbang hanya tinggal khayalan. Malam yang syahdu. Air mataku berlinangan. Terkenang banyaknya kelalaian dalam musafi r hidup ini. Ramadan memelukku erat, menghadiahkanku ketenangan. Usai solat Isyak, aku berdebardebar menanti Tarawih.

Hatiku risau untuk memulakan tilawah dan tadabbur di dalam Tarawih, kalaukalau aku sekadar membaca namun gagal menghayatinya. Itulah petanda hatiku tidak terpilih oleh Allah. Nau’zubillah. Aku dimaklumkan seorang imam muda dari Algeria akan membaca satu juz alQuran setiap malam dalam solat Tarawih dengan bacaan warsh al-nafi ’. Setelah saf lurus beratur, aku membuka mushaf alQuran tercinta.

Aku ingin solat sambil membuka mushaf. Ganjil bagi masyarakatku tapi tidak di UIA kerana pelajarnya datang dari pelbagai pelosok dunia. Apatah lagi, perbuatan itu mempunyai hujah yang jelas daripada Aisyah r.a.

Masya Allah. Lunaknya suara imam itu mengalun kan kalamullah indah. Bergetar hatiku. Terpesona. Kucuba mengawal minda sedarku dengan melihat bait-bait terjemahan. Ingin kuhayati bacaannya dengan iman dan kefahaman. Satu rakaat bacaannya sepanjang satu muka surat. Tak terasa lenguh dan lama. Sekejap sahaja, 20 rakaat berlalu. Witir menyusul seterusnya. Terasa indah sekali malam pertama.

Fenomena Ramadan dan Masyarakat

Hari kedua, ketiga, saf masih panjang. Aku dan ramai pelajar saling duduk bersebelahan dalam satu barisan. Terasa amat erat pertalian. Harihari berikutnya saf makin lengang dan aku sendiri kadangkala makin kurang penghayatan terhadap bacaan imam. Musim peperiksaan yang menjengah ketika Ramadan kadangkadang bersaing mencuri fokus dan perhatian. Penting untuk muhasabah diri.

Di celah kelapangan waktu, aku tak ketinggalan menatap akhbar untuk mengikuti perkembangan semasa. Entah mengapa perhatianku banyak terfokus pada kisah perceraian. Kadar perceraian di Malaysia bagiku cukup tinggi. Kenapa sebegitu mudah untuk musnahnya sebuah institusi kekeluargaan? Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. itu bakal meninggalkan kesan buruk yang pelbagai kepada masyarakat.

Masuk sepuluh malam terakhir. Di rumah Allah, aku melihat sekeliling. Di mana pelajar yang melimpah di rumah suci ini sepertimana malam pertama? Mungkin mereka solat di mahallah, hatiku cuba berbaik sangka. Di mahallah, apa yang kusaksikan safnya tak sepanjang seperti yang aku bayangkan dengan nisbah pelajar yang cukup ramai. Sejenak, aku terpukul dengan persoalan. Kalau rumah Allah ini hanya indah di malam pertama, kemudian hambar dan makin hambar di malammalam seterusnya, adakah fenomena itu juga yang melanda rumah tangga masyarakatku hari ini?

Jika benar, tak hairanlah perceraian masyarakatku cukup tinggi. Sudah tentu banyak faktor dan puncanya dan ini mungkin salah satu daripadanya. Hidup berumah tangga yang bermula indah dan sempurna di malam pertama bertukar hambar dan dianggap sekadar rutin biasa pada hari demi hari seterusnya.

Hmm, tiba masanya aku dan para pelajar ini pula yang akan membina institusi rumah tangga.

Adakah bakal berulang fenomena yang sama? Akalku tak mampu menjangkaunya. Cukuplah buat masa ini, aku menyeru diriku dan diri semua pelajar agar mengindahkan setiap malam kita dengan Pencipta bukan pada malam pertama cuma. Jom, hidupkan semua malam Ramadan dengan roh, jasad dan akal disulam iman!

Oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas