Menu

 

A+ A A-

KEMBARA HATI MENUJU ILAHI

1 Pergilah tetamu Allah…

Pergilah menuju Allah…

Pergilah membawa hatimu yang pasrah

Tiada lain yang kau cari

Kecuali kasih sayang Ilahi

Haji ertinya menuju…

menuju Allah yang satu

 

 

Namun jalan cinta itu penuh sembilu

Kan bertandang ujian beribu liku

Merintang diri dan hati

Kerna setiap cinta itu pasti diuji…

Apakah sejati atau ilusi

2 Sebelum melangkah mulakan muhasabah

Bagaimana belanja kita ke sana?

Apakah keringat sendiri yang mengalir?

Adakah daripada sumber yang bersih?

Adakah daripada pekerjaan yang baik?

Tanpa penipuan, tanpa penzaliman

Hasil usaha “halalan taiyiban”?

Kemudian muhasabah pula diri kita seikhlasnya

Leburkan mazmumah semampunya

Hasad, dengki, marah, bakhil ditekan sekuatnya

Mensucikan hati di pohon keampunan

Minta kemaafan daripada manusia

Mohon taubat segala dosa…

Barulah nanti terlerai rantai di hati

Terasa ringan melangkah kaki!

3 Pakaikan kain ihram di tubuh

Serah diri seluruh…

Pangkat, darjat, bintang dan gelaran meluruh

Kini kita hanya seorang hamba

Yang benar-benar hina di hadapan-Nya

Datanglah bagaikan hamba tawanan

Yang bertelut gementar…

menanti hukuman

Labaikallah humma labaik!

Hambamu datang ya Allah…

Dengan hias rohani

Di cermin mata hati katakan pada diri:

aku tidak punya apa-apa

harta, keluarga dan milik-Mu jua

asalku hanya daripada titisan air

yang hina …

jahil, miskin, lemah dan tidak berdaya…

namun hamba-Mu datang jua ya Allah…

Labaikallah humma labaik

Aku datang wahai Tuhan

Aku datang… menyahut panggilan

4 Tuluskan niat kita ketika memulakan

Haji ini, ibadah ini…

Bukan untuk ihsan manusia

Bukan lanjutan urus niaga

Pun bukan kerana riak dan bangga

Tetapi benar-benar kerana kita hamba

Yang mengharap wajah dan keredhaan-Nya

Niat yang suci itu perisai hati

Menangkis kelalaian sepanjang destinasi

Ikhlas itu sangat maknawi

Namun kesannya zahir pada diri

Ikhlas melahirkan sabar…

Sabar kita dengan kerenah insan

Demi mengharapkan rahmat Tuhan

Ikhlas melahirkan syukur…

Syukur dengan ruang yang sempit

Demi mengharap keampunan yang melangit

5 9 Zulhijah…wukuf di Arafah

Dalam himpunan terbesar gambaran Mahsyar

Tiada bezanya derjat dan pangkat

Yang kaya atau melarat

Semuanya tenggelam dalam zikir dan munajat

10 Zulhijah… bermalam di Mudzalifah

Talbiah, tasbih dan selawat

Bangsawan, hartawan, marhein dan miskin

Segalanya sama seputih kain

Moga-moga perrhimpunan ini menginsafkan

Hanya takwa… nilaian Tuhan

Tuhan tidak menilai rupa

Tuhan tidak menilai harta

Tuhan hanya menilai hati

....hati yang bertakwa kepada-Nya

11, 12, 13 Zulhijah

bermalam di Mina melontar 3 Jamrah

Genggam butiran batu itu dengan tangan kita

Tapi lontarkan ia dengan satu rasa

Di Jamrah itu kita perangi musuh Allah

Simbolik satu kebencian

Melawan syaitan dalam kehidupan

Nyahkan ia jauh-jauh…

Perangi ia sungguh-sungguh…

Usah berpaling lagi pada bujukannya… kita tak sudi!

6 Nun di sana kelibat Kaabah mula menyapa

Rindu tiba-tiba semakin membara

Hati hiba tanpa diminta

Tanda disedari mengalir air mata kita

Oh! Di situ pernah melutut Ibrahim

Di situ pernah sujud Ismail

Dan di situ pernah menangis Muhammad s.a.w.

Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali…

Bagaikan “melihat” wajah Allah

Di hitam warnanya ada nur kesucian

Langkah kian cepat… kian mendekat

Tawaf, tawaf, tawaf tujuh pusingan

Tiga pertama bagaikan lari daripada dosa…

menuju pahala

Empat yang kedua lepas daripada kesalahan…

menuju pengampunan

Lambaian istilam tanda kerinduan

Dikucup tangan tanda kecintaan

Tuhan cintaku hanya pada-Mu…

Walaupun cinta itu sering terganggu!

7 Bawalah hati yang lara di Safa dan Marwah

Saie ke sini ke sana bagai seorang sandera

Cemas bila dirasuk azab…

Tenang seketika dibujuk harap…

Ke sana khauf… ke sini raja’

Bimbang tenang berulang datang

Bagai gelombang tanpa tepian

Oh! Tuhan siapakah diriku

pada pandangan-Mu?

8 Kepalamu kau cukur

Helaian rambutmu pun gugur

Luruh bersama simbolik dirimu yang lalu

Kini bangun dirimu yang baru

Bukan sekadar membuang setipis rambut…

tetapi mengungkai fi kiran yang berkabut

Bukan sekadar membersih kepala…

tetapi hakikatnya menjernih minda

Itulah rahsia tahallul

Meninggalkan diri yang kotor

Hijrah ke dunia yang luhur!

9 Di Madinah… di Masjid Nabawi

Hati kita kan tersentuh oleh imbauan azannya

Terbayang sejarah anak yatim yang kesepian

Terbayang gembala kecil di padang pasir

Luka kakinya di Taif

Hilang kesayangannya di Badar

Gugur giginya di Uhud

Atap rumahnya dicecah jari

Alas tidurnya berbekas di badan

Sujudlah, bertelekulah di situ

Tunduk malu di makam Nabi

Di sana tersimpan jasadnya yang mulia

Rasul yang tak pernah jera berkorban…

Demi umatnya

Tega Baginda pada semua derita

Hayatilah betapa malunya Rasul di Masjid Qiblatain

Ingin merayu tapi lidahnya kelu

Qiblat itu hak Tuhan…

Tak layak dirinya memohon pertukaran

Namun Tuhan Maha Mengetahui resah di hati Rasulullah

Lalu beralihlah qiblat dari Masjidil Aqsa… ke Baitullah

Rintihan Rasul-Nya terjawab sudah

Di Badar kita diajar bertawakkal

Betapa golongan sedikit bisa mengalahkan golongan yang

ramai

Tetapi bila disiplin robek godaan harta

Uhud mengingatkan kita pada sebuah alpa

Pada batu-batu yang terdampar di kuburan Baqie

Terimbau jasa para sahabat bagaikan bintang di langit

10 Terlalu banyak hikmah dalam kembara ini

Jika segalanya dilihat dengan mata hati

Jiwa akan kukuh disepuh iman

Akal akan bersih disuluh iktibar

Fizikal akan kuat menempuh kesusahan

Haji kemuncak ajaran Islam

Haji kemuncak mehnah dan ujian

Padanya tersimpan rahsia kekuatan

Sudahkah terserlah apa yang tersimpan?

Bertamu tak jemu…

Berpisah tak gelisah…

Kenangan di Makkah dan Madinah

Adalah bekal safar abadimu…

bertemu Allah! ¤

 

     (Solusi)

(Majalah Solusi Isu No.2)


 

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas