WAHAI PUTERIKU
PUTERIKU tercinta! Aku seorang yang telah berusia hampir
lima puluh tahun. Hilang sudah masa remaja, impian dan
khayalan. Aku telah mengunjungi banyak negeri, dan
berjumpa dengan banyak orang.
Aku juga telah merasakan pahit getirnya dunia. Oleh kerana itu
dengarkan nasihat-nasihat yang benar lagi jelas, berdasarkan
pengalamanku, yang mana engkau mungkin belum pernah
mendengarnya daripada orang lain.
Puteriku..
Dengarlah bicara dari hatiku...
Benar bahawa lelakilah yang memulai langkah pertama dalam
lorong dosa, tetapi bila engkau tidak setuju, lelaki itu tidak akan
berani, dan andai kata bukan lantaran lemah gemalaimu, lelaki
tidak akan bertambah parah. Wanitalah yang membuka pintu,
seolah kau katakan kepada si pencuri itu: silakan masuk, silakan...
Apabila ia telah mencuri, engkau berteriak: Pencuri! Tolong
tolong...! Saya dicuri!
Demi Allah, dalam khayalan seorang pemuda tak melihat gadis
kecuali gadis itu ditelanjangi pakaiannya.
Demi Allah begitulah, jangan engkau mudah percaya apa yang
dikatakan lelaki, kebanyakan mereka tidak akan melihat gadis
kecuali akhlak dan budi bahasanya. Ia akan berbicara kepadamu
sebagai seorang sahabat. Demi Allah ia telah berbohong!
Senyuman yang diberikan pemuda kepadamu, kehalusan
budi bahasa dan perhatiannya, semua itu tidak lain hanyalah
merupakan perangkap rayuan. Setelah itu apa yang terjadi?
Kalian berdua sesaat berada dalam kenikmatan, kemudian
engkau ditinggalkan dan selepas itu selamanya akan merasakan
penderitaan akibat kenikmatan itu. Si lelaki akan mencari
mangsa lain untuk diterkam kehormatannya, dan engkaulah yang
menanggung beban kehamilan. Jiwamu menangis, keningmu
tercoreng, hidupmu berkubang dalam kehinaan dan keaiban,
masyarakat tidak akan mengampunimu.
Puteriku….
Cita-cita wanita tertinggi adalah perkahwinan. Bagaimana tinggi
pun status sosial kekayaan, karier, populariti, prestasinya, namun
sesuatu yang paling agung dan sangat diinginkannya adalah
menjadi isteri dan ibu yang baik kepada sebuah rumah tangga
yang bahagia.
Tidak ada seorang pun lelaki yang mahu menikahi pelacur,
sekalipun ia lelaki hidung belang. Apabila akan berumah tangga ia
tetapi ia akan memilih wanita yang baik, kerana ia tidak rela suri
rumah tangganya dan ibu kepada putera puterinya adalah seorang
wanita yang tidak baik.
Sesungguhnya krisis perkahwinan terjadi disebabkan kelalaian
kaum wanita! Krisis perkahwinan terjadi disebabkan kelapaan
wanita-wanita, sehingga para pemuda tidak mahukannya sebagai
isteri. Akibatnya ramai para gadis yang sudah berusia tidak
mendapat suami.
Ayuh wanita-wanita yang baik, kalian perlu sedar! Mengapa kalian
tidak berusaha membanteras malapetaka ini?
Kalianlah yang lebih patut dan lebih mampu daripada kaum lelaki
untuk melakukan usaha itu kerana kalian lebih mengerti bahasa
wanita. Dan kalian lebih rapat dengan sesama mereka.
Dan justeru yang sering menjadi korban kerosakan ini adalah
wanita, maka kalian para wanita mulia dan beragama, hendaklah
kalian mengajak wanita lain agar bertaqwa kepada Allah.
Peringatkanlah mereka akan akibat yang buruk daripada pergaulan
bebas, perzinaan dan seribu satu penyakit yang berlarutan
daripadanya.
Beritahu mereka kenyataan yang ada:
Gadis-gadis remaja puteri
yang cantik, akan ramai pemuda mendatangi kalian dan berebut
di sekitaran kalian, namun apakah kecantikan itu akan kekal?
Tiada makhluk di dunia ini yang kekal. Bagaimana kelanjutannya,
bila kalian sudah menjadi tua nanti, dengan pinggang bongkok
dan wajah kerepot? Pada waktu itu siapakah yang akan
memperhatikan? Siapa yang akan simpati?
Siapakah nanti yang memerhati, menghormati dan mencintai
seorang nenek? Mungkin hanya anak-anak dan cucu-cucunya,
waktu itulah nenek bagai seorang ratu di tengah-tengah rakyat.
Namun bagaimana bisa kalian menjadi nenek yang mulia, nenek
bagai ratu di kalangan anak-anak dan cucu-cucu, kalau kalian tidak
membinanya dari rumah tangga yang terhormat dan bahagia?
Dan berilah nasihat-nasihat yang baik, saya yakin kalian tidak perlu
petunjuk orang lain serta tidak kehabisan cara untuk menasihati
saudari-saudari yang patut dikasihani dan dibimbing. Berusahalah
untuk menjadi wanita-wanita yang baik, sebagai contoh teladan
kepada anak-anak gadis yang sedang remaja, agar mereka dapat
menempuh jalan yang benar.
Puteriku……
Demi untuk berubah mengem bali kan wanita kini menjadi
keperibadian Muslimah yang benar, kembalilah ke jalan yang benar
walau setapak demi setapak, sebagaimana mereka telah berusaha
membina kerosakan ini sedikit demi sedikit.
Perbaikan tersebut tidak dapat diatasi hanya dalam waktu sehari
atau dalam waktu singkat, melainkan dengan kembali ke jalan yang
benar walaupun jalan itu sekarang nampaknya amat jauh, namun
ianya tidak menjadi soal. Orang yang tidak mahu menempuh jalan
yang hanya satu-satunya ini, tidak mungkin akan sampai.
Kita mulai dengan membanteras pergaulan bebas. Ingatlah,
seorang wanita menutup aurat tidak bererti ia sudah selamat dan
boleh bergaul dengan lelaki yang bukan mahramnya dengan bebas,
kecuali semuanya itu ada batas dan sempadannya.
Jangan lupa bahawa Allah menjadikannya seorang
wanita dan pasangannya adalah lelaki, yang mana satu
dengan lainnya amat saling terangsang. Baik wanita,
lelaki, atau seluruh penduduk dunia tidak akan mampu
mengubah keindahan ciptaan Allah ini, menafikannya
atau menghapus tarikan dari dalam jiwa mereka. Ianya
adalah keperluan bagi semua manusia, namun disalurkan
pada jalan yang betul menurut syariat Allah.
Mereka yang menggembar-gemburkan kebebasan
dan pergaulan bebas atas dasar kemajuan adalah
pembohong, dilihat pada dua sebab:
Pertama: Kerana mereka lakukannya untuk kepuasan
diri sendiri, memberikan kenikmatan melihat anggota
badan yang terbuka dan kenikmatan-kenikmatan lain
yang mereka bayangkan. Akan tetapi mereka tidak berani
berterus terang, oleh kerana itu mereka berselindung di
sebalik kalimat kemajuan, modernisasi, hak asasi dan
pelbagai lagi ungkapan lain.
Kedua: Kerana mereka berpaksi kepada Barat, bagaikan
kiblat, seolah-olah kebenaran adalah apa yang datang
dari sana, dari Paris, London dan New York, yang berupa
tari menari, pergaulan bebas di pusat-pusat pengajian,
mendedah aurat dalam khalayak, di pantai, di kolam
renang. Kebatilan menurut mereka adalah segala sesuatu
yang datangnya dari Timur, sekolah-sekolah Islam dan
masjid-masjid, walaupun berupa kehormatan, kemuliaan,
kesucian dan keamanan. Kata mereka, pergaulan bebas
itu dapat mengurangi nafsu berahi, mendidik watak dan
dapat menekan libido seksual.
Puteriku……
Puteriku yang beriman dan beragama! Puteriku yang
terhormat dan terpelihara, ketahuilah bahawa yang
menjadi korban semua ini bukan orang lain terkecuali
engkau.
Oleh kerana itu jangan berikan diri kalian semudah
itu, hanya dengan ucapan mereka yang menghalalkan
pergaulan atas alasan hak asasi, modernisme dan
emansipasi. Sedangkan daku adalah seorang ayah
kepada empat orang gadis. Bila daku membela kalian
bererti daku membela puteri-puteriku sendiri. Kuingin
kalian bahagia seperti yang kuinginkan untuk puteriputeriku.
Sesungguhnya kemuliaan yang tercela tidak akan
kembali, martabat yang hilang tidak akan dapat ditemui
kembali.
Bila anak puteri jatuh, tiada yang mahu menyingsingkan
lengan untuk membangunkannya dari lembah kehinaan,
yang engkau dapati mereka hanya merebut kecantikan,
apabila telah berubah dan hilang, mereka pun lalu pergi,
persisnya seperti anjing meninggalkan bangkai yang
sudah tersisa.
Inilah nasihatku padamu, puteriku. Inilah kebenaran.
Sedarilah bahawa di tanganmulah, kunci pintu perbaikan.
Bila diri kalian diperbaiki, dengan demikian umat pun kan
menjadi baik.
(Solusi)
(Majalah Solusi Isu 2)
Solusi
Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.
Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!