Menu

 

A+ A A-

PUJUK DIRI JADI BAIK

Maqamat

APAKAH yang dimaksudkan dengan maqamat? Bagaimana mencapainya?

Jawapan:

Menurut al-Imam Abu Hamid al-Ghazali setiap tingkatan kerohanian (maqamat) seperti taubat, sabar, syukur, reda, tawakal dan sebagainya terdiri daripada tiga perkara iaitu ilmu, amal dan hal. Dengan ketiga-tiga perkara inilah tercapainya kesempurnaan maqamat itu. Ilmu dicapai menerusi pengkajian dan pembelajaran dan ilmu itu pula menghendak pengamalan. Amalan yang jujur, bersungguh-sungguh, istiqamah dan berdasarkan ilmu itulah yang akan membuahkan hal.

Hal atau nur dititipkan oleh Allah s.w.t. ke dalam amalan atau ibadat taqarrub seseorang hamba yang benar-benar ikhlas sehingga ibadat itu dijadikan medan untuk menghampirkan dirinya kepada Allah. Hal inilah merupakan inti pati ilmu tasawuf. Oleh sebab itu, tasawuf dicapai menerusi ilmu dan amal. Ilmu dan amal boleh kita katakan sebagai kurikulum umum tasawuf. Dari sini pula timbul perihal pengamal ilmu dan contoh amalan yang mewujudkan istilah pendidikannya iaitu guru. Guru dalam tasawuf, sering kali diungkapkan sebagai syeikh, mursyid ataupun murabbi. Daripada gurulah kita boleh fahami dan tahu cara untuk mencapai maqamat seperti di atas. Keterikatan seorang murid dengan guru yang berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis pula akan membantu mencapai makna dan memahami praktikal maqamat tersebut.

Semakin Ramai Tidak Berakhlak

Realiti pada hari, ramai manusia sama ada yang berpendidikan tinggi atau orang biasa tidak memiliki sifat-sifat terpuji. Malah masing-masing ingin tonjolkan keburukan yang ada pada diri. Mengapa ini berlaku?

Apabila kita berbicara tentang sifat manusia, boleh juga kita kaitkan dengan perbincangan maqamat seperti di atas. Manusia berkeperluan untuk memiliki sifat yang baik. Ini kerana fitrah kemanusiaan ingin memiliki sesuatu yang baik, Cuma pentafsirannya kadang kala yang menjadi perbezaan yang ketara. Sebelum berbicara tentang keperluan diri untuk memiliki sifat baik dan terpuji, perkara asas yang berkait rapat dengan sifat manusia perlu diketahui terlebih dahulu. Sifat manusia pula adalah terkait dengan sifat nafsu yang ada padanya. Sifat nafsu sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Samad Palembang dalam Sair al-Salikin ada empat jenis:

pujuk diri jadi baik

1. Sifat sabu‘iyyah: Sifat ganas, liar dan buas.

2. Sifat bahimiyyah: Sifat binatang peliharaan yang ingin makan, minum, kenyang, tidur, berpasangan dan lain-lain.

3. Sifat shaitaniyyah: Contohnya iri hati, berdendam, mudah marah, degil dan sebagainya.

4. Sifat rabbaniyyah: Sifat ingin bertuhan.

Menurut syeikh, dua daripadanya perlu dihindari, satu perlu dikawal dan satu lagi perlu dimiliki selama-lamanya. Sifat yang perlu dihindari ialah sifat sabu‘iyyah dan shaitaniyyah. Sifat yang perlu dikawal pula ialah sifat bahimiyyah. Manakala sifat yang perlu dimiliki selagi nyawa masih disubsidikan ialah sifat rabbaniyyah. Antara faktor yang menyebabkan seseorang itu berperangai buruk adalah disebabkan dua sifat nafsu itu masih bersarang dalam diri,  satu nafsu yang perlu dikawal tidak dihiraukan manakala sifat ingin bertuhan tidak pula dimiliki. Inilah keadaan kebanyakan manusia pada hari ini. 

Justeru sucikan diri sebagaimana Hasan al-Basri pernah berkata: “Maut itu tiada kutahu hadirnya,  justeru aku tidak bertangguhtangguh untuk beramal salih membersihkan jiwaku.” Jika hati anda enggan menerima disebabkan nafsu masih buas mengganas, pujuklah diri anda jadi baik!

Menghayati Maqam

Bagaimana ingin menghayati maqam-maqam terpuji dalam agama secara lebih praktikal?

Jawapan:

Dalam kitab Hujjat Allah al-Balighah karangan Mawlana Syah Waliyullah al-Kandahlawi ada menyentuh tentang maqammaqam terpuji dalam agama. Lebih menarik ia dikupas dalam segmen-segmen ibadat secara lebih praktikal. Contohnya dalam pensyariatan haji. Praktikal haji boleh dilihat sebagai satu program ibadat yang amat praktikal berkaitan perbincangan maqamat dalam tasawuf. Ia merupakan ibadat yang amat mencabar dan ia berkait rapat dengan sifat-sifat taubat, sabar, syukur, reda, tawakal dan sebagainya. Ibadat haji sebagaimana dimaklumi berkait dengan masa. Paling kurang tiga peringkat masa yang perlu kita sedari iaitu sebelum, semasa dan selepas haji.

Sebelum mengerjakan haji seseorang bakal haji perlu secara rohaniahnya untuk muhasabah diri sendiri sebelum menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci nanti dengan taubat. Taubat dari segala kesalahan, kealpaan, kejahilan, keegoan adalah antara siri-siri taubat yang perlu didahulukan oleh bakal haji sehingga sampai ke martabat tawwabin ataupun awwabin iaitu etnik-etnik kerohanian yang kuat bertaubat setiap masa dan akhirnya dapat mendamaikan hati. Selagi mana diri tidak patuh pada prinsip taubat, kesannya mudah sahaja, hati tidak akan tenang. Kemudian, setelah menyelesaikan maqam taubat, bilamana seseorang itu berada di Tanah Suci, perkara penting mengiringi setiap ibadat ialah sabar. Sabar berbuat taat memerlukan reda dengan maksud yang khusus. Reda menurut Sayyidi al-Junayd adalah bersikap akur dengan apa yang disuruh disebabkan tiada pilihan.

Dalam rangka menunaikan ibadat, perkara yang perlu terlintas ialah buat apa yang disuruh, tinggal yang terlarang. Dalam pada itu, tawakal perlu mengiringi. Tawakal ialah menyerahkan nasib sesuatu pekerjaan kepada Maha Yang Esa dengan menzahirkan apa-apa yang disuruh. Setelah mengerjakan ibadat zahir dan batin itu, perkara terakhir yang paling penting ialah bersyukur. Bersyukur ialah satu maqam yang mana seseorang perlu lahirkan lintasan berterima kasih kepada Allah atas peluang baik (dalam kes ini; haji) yang telah diberikan. Dengan ingatan inilah maka Allah Taala boleh sahaja menukar sikapnya daripada buruk kepada baik berbanding sebelumnya.

Demikian huraian ringkas tentang praktikal maqamat dalam ibadat. Namun perlu kita sedar bahawa perjalanan rohaniah itu sebenarnya tidak berakhir begitu sahaja kerana ia suatu pengembaraan yang tidak bernoktah. Allah al-Muwaffiq.

 

Ustaz Abdul Muhsien Sulaiman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.6


Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman

Felo Akademik di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Mendapat pendidikan di Ma’had Muhammadi Lilbanin, Madrasah Rahmaniyyah Pasir Mas dan Universiti Malaya. Tumpuan penulisan beliau kebanyakannya dalam bidang Pendidikan Islam dan Tasawwuf Islam.

Kembali ke atas