Menu

 

A+ A A-

MANFAATKAN MASA CUTI

“LAMA kita cuti, ya? Agaknya apa yang kita boleh buat? Tapi, dah diberi cuti panjang begini, memang lepaklah jawabnya.” Itulah biasa yang kedengaran apabila musim cuti panjang tiba daripada para pelajar.

Itulah dilema yang dialami oleh para pelajar khususnya, kerana mereka diberikan tempoh cuti yang agak panjang dalam pengajian mereka. Dalam situasi pelajar sekolah, cuti yang diperuntukkan semestinya memberikan kegembiraan buat mereka kerana mereka boleh lakukan apa yang diingini. Tidak terkecuali juga mahasiswa di pengajian tinggi. Cuti semester yang lama seolah-olah ‘syurga’ sementara buat mereka kerana tidak perlu terkejar-kejar menyiapkan ‘assignment’ dan membuat persiapan ‘presentation’.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “Nescaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) beberapa darjat.”

Cuti bukan syurga hakiki

Apabila kalimah ‘syurga’ berada di fikiran dan bayangan setiap orang, sudah semestinya akan muncul sesuatu yang indah dan bahagia, yang mampu membuatkan setiap orang yang membayangkannya lalu tersenyum panjang, dan mula berangan-angan untuk menikmati setiap keindahan tersebut.

Namun, cuti itu bukan syurga. Masa lapang yang diperuntukkan buat setiap orang, lebih-lebih lagi kepada para pelajar, bukan keseluruhannya diperuntukkan untuk bersenang-lenang sebagaimana yang digambarkan oleh mereka. Cuti itu ada maknanya yang tersendiri.

Benar, komitmen untuk menghadiri kelas semasa cuti, tiada. Namun, komitmen sebagai seorang pelajar itu seharusnya kekal berada dalam setiap jiwa orang yang cintakan ilmu. Biarpun tiada kelas setiap hari seperti kebiasaannya, pastikan setiap hari akan ada ilmu baru yang masuk dalam diri.

Perkara wajib jangan terhenti

Dalam riwayat ibn Majah, rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib atas setiap orang islam.” Walaupun berada dalam ‘mood’ cuti, jangan pula perkara wajib juga bercuti daripada dilaksanakan. Amalan bangun pagi untuk ke kelas perlu dilaksanakan seperti biasa walaupun ketika masa cuti. ini kerana, solat subuh itu perlu ditunaikan. Usai solat subuh, pastikan waktu perdana pada awal pagi ini diisi dengan kerja yang bermanfaat, bukannya tidur sehingga petang! Begitu juga dengan waktu solat Zuhur, Asar, Maghrib dan isyak. Pastikan semua waktu solat tersebut sentiasa dipenuhkan dengan solat fardu.

Ada lagi perkara wajib yang perlu ditunaikan. Kewajipan terhadap ibu dan ayah. Ya, masa cuti beginilah yang sangat sesuai untuk berbakti kepada mereka. Hulurkan bantuan untuk meringankan kerja mereka, moga-moga dapat mengukuhkan hubungan sesama mereka dan mendapat reda Allah.

2

Bagi yang sudah kehilangan ibu atau ayah, kewajipan mendoakan mereka masih berada atas bahu setiap anak-anak. Doakan semoga mereka sentiasa mendapat perlindungan Allah s.w.t., juga boleh sedekahkan al-Fatihah.

Syurga itu, Allah s.w.t. kurniakan buat sesiapa sahaja, asalkan dia patuh kepada semua suruhan dan perintah Allah. Dan dalam masa yang sama juga, segala larangan dan tegahan daripada Allah tidak dilakukan dan dijauhi walau dengan apa cara sekalipun. Nah, inilah syurga yang sebenarnya!

Merancang masa cuti

Seharusnya, apabila mengetahui bahawa cuti makin hampir, satu senarai tugas yang boleh dilakukan sepanjang cuti. senarai tersebut sudah pastilah sesuatu yang kita suka untuk lakukan untuk mengisi masa lapang, dan jangan lupa untuk menilai perkara tersebut sebelum dilakukan. “Kalau aku suka, adakah Allah akan suka atau murka? Kalau aku terhibur, adakah ibu dan ayah akan turut terhibur atau bersedih?”

 

Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 04

 


 

Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Khadijah Khalilah Abdul Rashid dilahirkan pada 20 Mei 1987 di Serdang, Selangor. Kini menetap di Sepang, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Islam al-Amin Bangi, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Universiti Mohammed V, Rabat Maghribi, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kembali ke atas