Menu

 

A+ A A-

PELAJAR CEMERLANG PERLU JADI ULAMA

Ingin Jadi Seperti al-Qaradawi

Saya dimaklumkan bahawa ustaz pernah berguru dengan ulama terkenal Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Saya dan kawan-kawan saya sangat mengagumi beliau. Mungkin ustaz boleh kongsikan pengalaman dan cetusan fikiran yang ustaz dapat hasil bersama beliau.

Menghadiri pengajian intensif bersama Syeikh al-Imam Dr. Yusuf al-Qaradhawi di Doha, Qatar memberi seribu satu macam kesan dan semangat buat diri saya. Tercapai juga hasrat untuk mengaji secara berdepan bersama syeikh yang telah lama tersimpan di hati. Kebijaksanaan Syeikh Yusuf al-Qaradawi terserlah sejak di peringkat sekolah rendah lagi.

Saya dimaklumkan bahawa Syeikh tergolong dalam 100 pelajar terbaik seluruh Mesir sejak di peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti. Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuwan Islam itu dipilih daripada kalangan pelajar-pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi. Malah sudah sekian lama, saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam agar membuat satu perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama Malaysia yang berwibawa, menembusi peringkat global dan berperanan besar.

Kebiasaannya, ibu bapa yang mempunyai anak-anak bijak dan rajin serta memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang sering menjuruskan mereka ke arah menjadi doktor perubatan dan kerjaya profesional lain. Amat jarang sekali pelajar berminda cerdas dan rajin disalurkan untuk menjadi seorang ilmuwan dan pemikir Islam yang hebat.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi merupakan cream of the cream sejak kecil. Dipadankan pula dengan pengajian bersungguh-sungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi seorang ilmuwan Islam dan dai yang terulung di dunia. Saya amat berharap kepada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini agar cubalah membentuk anak tuan dan puan yang terbukti berminat, rajin dan cerdas akal fikirannya untuk menjadi seorang alim besar.

pelajar-cemerlang-jadi-ulama-1 

Mentor Ulama

Apa tindakan dan proses yang perlu dilakukan oleh ibu bapa yang ingin menyahut saranan ustaz itu?

Secara asasnya, proses melahirkan ulama besar memerlukan ibu bapa yang sudah sedia alim dalam bidang agama. Jika tidak pun, ia boleh dilakukan secara kolektif. Bahkan lebih ideal, proses tersebut lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi yang mempunyai dana khusus dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.

Saya teringat perbincangan saya bersama seorang pelajar Melayu yang menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan bahawa proses untuk beliau sampai ke tahap itu banyak bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia yang selalu menasihatinya. Mereka sering memberikan bimbingan kepada beliau agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal mana yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland selama hampir 15 tahun.

Demikianlah juga proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan seorang ulama bertaraf lima bintang di Malaysia. Kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan agar pengajian yang dilalui benar-benar terarah dan berjaya sampai ke sasarannya. Kita tidak mahu mereka tersalah memilih guru. Akhirnya dia menjadi seorang yang ekstrem yang bersifat pemecah berbanding penyatu umat dalam masalah yang bukan pokok.

Aliran yang Lebih Benar

Berkaitan soal memilih guru, saya dapati ada beberapa aliran dalam pengajian Islam itu sendiri antaranya Salafi, tradisional dan sebagainya. Apa nasihat ustaz dalam hal ini?

Sebagaimana diketahui, agak banyak juga pecahan-pecahan aliran pemikiran dalam kalangan ulama Islam dalam memahami teks-teks al-Quran dan sunnah di Malaysia. Masing-masing merasakan bahawa merekalah aliran yang paling benar.

Contohnya ada aliran yang disebut sebagai Salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana, Salafi lembut, Khalafi keras (digelar Ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga ada aliran sufi tarekat, hadis, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya. Keadaan ini diparahkan lagi dengan fenomena lepasan pengajian Islam yang taasub dan terlalu berbangga dengan universiti dan syeikh masing-masing hinggakan ada yang sampai memperlekehkan kumpulan dan syeikh lain.

Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujah sesama sendiri serta mengabaikan akhlak mulia dan masalah lebih besar lagi nyata yang terjadi dalam masyarakat awam. Tambah memburukkan keadaan, majoriti masyarakat awam masih malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara ilmiah. Kesannya, mereka sering terikut-ikut cara “pemalas” lalu mempakejkan kebenaran dan kesalahan kepada hanya satu-satu kumpulan. Apabila seseorang individu sudah dilabel sebagai tidak bersama kumpulan dan alirannya, maka semua ilmu dari sebelah sana tidak boleh dibaca atau difikirkan sama sekali.

Padahal kebenaran dalam isu yang boleh berijtihad, boleh sahaja berpihak kepada banyak pihak. Hanya Allah yang Maha Mengetahui kesemuanya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara khususnya dalam hal cabang fiqah dan bidang agama yang lain.

Demikianlah Syeikh al-Qaradawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain. Penilaian perlu dibuat secara adil dan bebas prejudis dalam apa jua topik keagamaan.

pelajar-cemerlang-jadi-ulama-2

Universiti yang Lebih Hebat

Saya memerhatikan memang ada ustaz-ustaz yang saling mendakwa bahawa pengajian di universiti atau tempat merekalah yang terbaik sambil dalam masa yang sama menjajakan cerita buruk berkaitan pengajian di tempat lain. Apa pandangan ustaz?

Sedihnya melihat ada sebahagian lulusan Timur Tengah yang memandang rendah kepada lulusan tempatan hanya kerana mereka dapat belajar dengan guru berbangsa Arab. Graduan universiti tempatan pula ada yang menafikan kebijaksanaan graduan Timur Tengah, khususnya apabila mengetahui bahawa majoritinya pergi bukan dengan biasiswa kerajaan yang biasanya diberikan berdasarkan keputusan akademik cemerlang.

Kebanyakan mereka pergi atas belanja sendiri atau dermasiswa kerajaan negeri setelah tidak mampu memperoleh biasiswa JPA dek keputusan SPM yang tidak melayakkan. Haru sungguh melihat gejala saling memperlekehkan ini. Namun itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan.

Dalam kalangan lulusan Timur Tengah pun tidak kurang menyedihkan perangainya. Ada segelintir lulusan Mesir memandang rendah lulusan Jordan, Maghribi, Syiria dan lain-lain. Maklumlah mereka mengaji di institusi tertua pengajian Islam yang dipenuhi ulama sejak seribu tahun yang lalu.

Segelintir lulusan Jordan pula menganggap majoriti lulusan Mesir sebagai graduan kurang kualiti disebabkan pengajian mereka yang tidak bersistem, tiada kelas diwajibkan serta majoritinya lemah dalam bahasa Arab fushah (baku) dan pelbagai justifikasi lain. Sementara itu, sebahagian lulusan Makkah dan Madinah pula merasakan diri mereka paling hebat kerana mengaji di tanah air Rasul tercinta. Tambahan pula mereka merasakan diri begitu istimewa kerana menjadi hanya yang terpilih daripada proses temu duga dan menikmati biasiswa mewah kerajaan Arab Saudi.

Tidak kurang juga, sebahagian lulusan Yaman merasa mereka lebih faqih dan faham, manakala sebahagian lulusan Pakistan merasakan mereka lebih pakar bidang hadis. Senarai ini berterusan hingga sukar mencari penghujung. Padahal guru dan tempat belajar hanyalah faktor luaran dalam proses menuntut ilmu. Apa yang lebih penting ialah diri sendiri, keberkatan pengajian dan keikhlasan dalam menuntutnya.

Hakikatnya hal ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan ustaz dan ustazah kecil di tanah air kita sahaja. Malah antara syeikh-syeikh Arab yang dilihat alim juga ada sikap memandang rendah kepada satu sama lain. Malah beberapa ilmuwan di Syiria dan Arab Saudi sering mendakwa Syeikh al-Qaradawi sebagai seorang tiada ilmu dan pelbagai lagi tohmahan.

Natijah Buruk

Sekiranya gejala seperti ini berlarutan, apakah kesan yang akan berlaku kepada masyarakat?

Hasil daripada sikap merasakan diri lebih hebat, maka berlakulah pertembungan hujah. Pada mulanya, ia terjadi secara perlahan-lahan, kemudiannya berubah menjadi keras, beremosi dan tidak menghiraukan akhlak lagi. Di mana sahaja masjid dan surau untuk ceramah dan kuliah agama dijadikan medan dan peluang untuk membantai individu lain.

Malang sekali, ukhuwah antara golongan ustaz dan ustazah yang diharapkan menjadi model kepada masyarakat untuk dicontohi menjadi sebaliknya. Akibatnya, masyarakat awam yang masih kegersangan ilmu menjadi semakin jauh, keliru dan ragu-ragu. Akhirnya ada yang memilih untuk memasuki salah satu kem dan memeriahkan lagi permusuhan tersebut.

Gejala label melabel menjadi senjata antara satu sama lain. Label “Wahabi” dan “Ahbash” dan selainnya sering kali dilaungkan. Adakah ini fungsi para lulusan agama? Kelihatannya seolah-olah tiada siapa yang boleh melunakkan

pihak-pihak ini kecuali jika dapat ditampilkan seseorang yang mereka semua hormati. Menurut pengamatan saya yang sederhana, baik para ustaz lulusan Mesir, Madinah, Jordan dan sebagainya, mereka hanya akan hormat kepada seseorang yang pernah menangguk ilmu di tempat pengajian yang sama dengan mereka sahaja.

Dr. Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas