Menu

 

A+ A A-

LATIHAN YANG BERTERUSAN

KAEDAH melatih anak-anak dengan latihan berterusan merupakan kaedah yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagi kan kepada beberapa ciri, antaranya:

(a) Jantina

Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya. Anak lelaki diagihkan dengan kerja-kerja luar yang berat dan kasar. Sementara anak-anak perempuan diagihkan kerja-kerja dalaman yang ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun anak lelaki boleh diajar dan diasuh dengan melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti:

  • Membasuh pakaian sendiri.
  • Menyidai pakaian seisi keluarga.
  • Mengangkat pakaian daripada ampaian.
  • Melipat pakaian seisi keluarga.
  • Menggosok pakaian
  • Memasak atau menyiapkan meja hidangan untuk keluarga.
  • Membasuh pinggan mangkuk.
  • Mengemas rumah.
  • Menyiram pokok bunga.

(b) Usia

Perlulah diingati bahawa ibu bapa hendaklah memberikan tugas kepada anak-anak mengikut usia. Anak-anak yang di bawah usia enam tahun boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat. Bagaimanapun kemampuan anak-anak memikul tanggungjawab berbeza-beza mengikut latar belakang dan didikan yang mereka terima. Anak perempuan selalunya matang lebih awal daripada anak lelaki kerana mereka mencapai baligh lebih awal. Sebenarnya anak-anak mampu untuk menerima arahan dan tanggungjawab yang lebih serius jika diberi kepercayaan kepada mereka untuk melakukannya.

(c) Bertahap

Mendidik anak perlu bertahap iaitu daripada tugas yang senang kepada tugas yang lebih berat dan rumit. Sebahagian anak perlu dibiasakan dengan kerja yang senang sebelum mampu memikul tugas yang lebih berat. Sedangkan anak yang lain pula mampu meningkatkan tahap tanggungjawab yang diagihkan kepada mereka dengan begitu cepat sekali.

(d) Waktu

Beri tugas pada anak-anak mengikut kesesuaian waktu. Jangan ganggu jadual waktu mereka yang telah ditetapkan seperti waktu belajar, mengulang kaji, bermain, berehat dan sebagainya. Sebaiknya masukkan tugas untuk membantu ibu dan bapa di rumah dalam jadual waktu harian mereka. Ibu bapa jangan teragak-agak untuk mendisiplinkan anak-anak tentang waktu seperti waktu solat wajib, waktu bangun pagi, waktu pergi sekolah, waktu kelas tuisyen dan sebagainya.

(e) Pujian

Jangan lupa untuk memberi pujian dan penghargaan kepada anak-anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan baik. Tetapi haruslah diingat, ibu bapa tidak boleh memuji secara berlebihan kerana bimbang akan timbul pula sifat takabbur. Pujian berlebihan juga dilarang dilakukan di hadapan anak-anak yang lain kerana akan menimbulkan rasa cemburu yang buruk.

Sebaliknya ibu bapa dilarang keras mengutuk anak-anak walaupun mereka melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan adalah sifat kanak-kanak. Tetapi mereka harus belajar daripada kesalahan itu dengan cepat. Mereka tidak wajar melakukan kesalahan berulang kali.¤

 

                

 

Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2


                                                                                          

Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Pakar motivasi yang tidak asing lagi, sering muncul di tv dan radio ini adalah anak kelahiran Sg. Pinang, Klang. Mendapat Ijazah Pertama di Universiti Malaya dalam bidang Agricultural Sciences, kemudian menyambung pengajian Sarjana dan Ph.D. di Wisconsin, USA dalam bidang Organizational Communication. Berpengalaman mengendalikan lebih 6,000 kursus dalam bidang motivasi. Kini beliau adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. dan Ketua Pengarah ETC Communications Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  


 

Kembali ke atas