Menu

 

A+ A A-

BERSAHABAT SAMPAI KE SYURGA

ADA orang berkata, “Bercinta sampai ke syurga.” Untuk itu, sama juga maksudnya dengan kata-kata, “Bersahabat sampai ke syurga.” Persamaan itu jelas apabila diambil daripada sifat amanah dalam ayat itu. Apakah yang dikatakan ‘amanah’ dalam ayat tersebut? Amanah yang dimaksudkan ialah berjanji mengamalkan perbuatan yang baik hingga dianugerahkan dengan syurga.

Kita ambil contoh ayat, “jalan ke syurga” yang dengan sendirinya membawa maksud melakukan perkara yang baik mengikut syariat islam. Dengan sebab perlakuan tersebut, maka sudah tentu orang yang mengamalkannya nanti pada hari akhirat akan berjalan ke syurga, bukan neraka.

bersahabat-sampai-syurga-1

Begitu juga dengan amalan bersahabat, untuk mencapai tahap ‘sampai ke syurga’, persahabatan itu mestilah mengikut apa yang digariskan atau berpandukan syariat islam. Biar sedikit kita bersahabat, tetapi semua sahabat kita itu berkualiti dan sentiasa saling mengingati. Ayuh! Mari bersahabat sampai ke syurga. Faham-fahamkanlah ayat-ayat dalam kitab agung al-Quran:

[1] Ikhlas dalam persahabatan:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Syura ayat 23 yang bermaksud: “Itulah yang Allah gembirakan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu upah untuk ajaran islam yang aku sampaikan itu, melainkan kasih mesra disebabkan pertalian kerabat. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu yang baik, Kami tambahkan kebaikan baginya kebaikannya itu. sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya.”

[2] Tidak bersangka buruk dalam persahabatan:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

Adakah kamu suka makan saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

bersahabat-sampai-syurga-2

[3] Saling menasihati dalam persahabatan:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’ ayat 114 yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka Kami akan memberi pahala yang besar.”

[4] Sentiasa memaafkan dalam persahabatan:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’ ayat 148 yang bermaksud: “Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau sembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf, lagi Maha Kuasa.”

bersahabat-sampai-syurga-3

[5] Menjaga suara dalam persahabatan:

Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 19 yang bermaksud: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

[6] Amal makruf dalam persahabatan:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

bersahabat-sampai-syurga-4

[7] Jujur dalam persahabatan:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 119 yang bermaksud: “Allah berfirman: Inilah hari yang padanya orang yang benar mendapat manfaat daripada kebenaran mereka; mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.”

 

Azzam Supardi
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Azzam Supardi

Pernah mengikuti pengajian di Maahad Buhuth di Kaherah, Mesir. Kini bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. sebagai editor majalah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas