Menu

 

A+ A A-

HIDUP MESTI BERSAHABAT

Assalamualaikum adik abang,

UNTUK keluaran kali ini, Abang Long tak mahu mengomel banyak-banyak. Abang Long cuma nak bagi tip-tip bagaimana nak cari sahabat yang baik-baik. Adakah mesti yang kena dengan jiwa? Adakah mesti yang kaya dan banyak harta? Adakah mesti yang tampan bergaya atau yang cantik jelita? Adakah mesti yang mempunyi minat yang sama? Baik. Tanpa membuang tenaga membaca celoteh Abang Long, mari kita menyelami panduan yang tertulis di bawah. Jom baca…

PERTAMA, CARILAH SAHABAT YANG BERILMU:

Bukan bermakna orang yang tak banyak ilmunya kita tak boleh jadikan sahabat. Begini, pilih orang yang suka mempelajari sesuatu yang baik-baik. Lazimnya, orang yang ada keinginan dan suka menuntut ilmu ini adalah orang yang terdedah kepada kejayaan.

Jadi, apa salahnya kita bersahabat dengannya dan sekurang-kurangnya tempias ilmunya itu kena kita. Dengan sendirinya kita juga akan jadi pandai, tak banyak… sikit pun jadilah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim.” (Riwayat ibn Majah dan Abu Ya‘la)

hidup-mesti-bersahabat-1

KEDUA, CARILAH SAHABAT YANG BENCI KEZALIMAN:

Orang yang tak suka pada kezaliman adalah orang yang tak suka bergaduh atau cari gaduh. Kalau orang ini bersahabat dengan kita, maka kita akan selamat sebab kita tak akan bergaduh punya. Tapi jangan ambil kesempatan padanya.

Orang begini sebenarnya dalam hatinya ada taman… cinta dan kasih sayang. Kalau bersahabat dengannya jiwa kita tak kacau, jiwa kita tenang setenang air kolam Mak Bedah sebelah rumah Abang Long.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

hidup-mesti-bersahabat-2

KETIGA, CARILAH SAHABAT YANG TIDAK SUKA MENGADU DOMBA:

Adik abang tahu maksud mengadu domba? Maksud terdekatnya ialah suka ‘report’, jaga tepi kain orang lepas itu bercerita tentang keburukan kain orang itu.

Mana boleh macam itu, kan?

Tak pandai simpan rahsia dan tak amanah. Kalau kita ada panau belakang telinga pun dia nak bercerita kepada Teacher Ruby. Mana aci… kan? Orang yang baik ialah orang yang pandai menutup keaiban sahabatnya dan tak cakap banyak. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang mengacum (menyebar fitnah).” (Riwayat Muslim)

hidup-mesti-bersahabat-3

KEEMPAT, CARILAH SAHABAT YANG BERSIFAT MALU:

Maksud malu di sini ialah malu untuk membuat perkara-perkara mungkar sebab orang begini sentiasa beringat bahawa Allah s.w.t. sentiasa memerhati tindak tanduknya. Macam letak CCTV di dalam kelas… berani tak murid terjal nak terbalikkan kerusi? Tak, kan… sebab dia tahu pengetua sedang memerhatikannya. Namun begitu, malu itu berpada-pada dan bertempat, jangan sampai semua benda nak malu… haru nanti.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Malu adalah sebahagian daripada iman, dan iman adalah di syurga.” (Riwayat al-Tirmizi)

hidup-mesti-bersahabat-4

KELIMA, CARILAH SAHABAT YANG BERPEGANG PADA JANJI:

Ini adalah satu sifat yang sukar dilakukan kebanyakan manusia… berpegang pada janji. Paling mudah untuk menilainya, begini, jika seseorang itu tidak memegang manusia, maka apatah lagi terhadap agama dan Allah s.w.t. boleh tak orang begini membimbing sahabatnya untuk mengikut perintah dan bertakwa kepada Allah s.w.t.? Sendiri mahu ingatlah, kan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tiada keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji.” (Riwayat Ahmad dan ibn Hibban)

Wahai adik abang,

Sebenarnya banyak lagi ciri-ciri sahabat yang baik untuk Abang Long sampaikan. Tapi… berpada-padalah dulu ye. Abang Long harap adik abang ambil tip mencari sahabat yang ada di sini dulu, kemudian-kemudian nanti Abang Long bagi lagi. Sebagai mengakhiri warkah Abang Long untuk kali ini, Abang Long nak ucapkan selamat hari lahir kepada semua pembaca. Kenapa selamat hari lahir? Sebab setiap hari kita melahirkan sesuatu yang baru dalam diri kita… dan pastikan sesuatu yang baru itu adalah sesuatu yang menambahkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t.

Wassalam.

Azzam Supardi
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Azzam Supardi

Pernah mengikuti pengajian di Maahad Buhuth di Kaherah, Mesir. Kini bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. sebagai editor majalah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas