Menu

 

A+ A A-

KETAGIHAN

“SATU rumah, satu komputer.” Begitulah konsep yang diuar-uarkan kerajaan bagi memajukan setiap individu supaya berteknologi beberapa tahun dahulu. Maka sebagai ibu bapa tentunya kita tidak mahu anak-anak ketinggalan menikmati perkembangan teknologi tersebut.

Justeru, ramai dalam kalangan ibu bapa telah membenarkan anak-anak seawal usia lima tahun belajar menggunakan komputer dan melayari Internet. Tambahan pula, teknologi broadband mendorong semakin ramai yang menggunakannya.

Namun kita juga perlu membuka mata, apakah teknologi tersebut benar-benar telah dimanfaatkan oleh anak-anak kita? Atau hanya menjadikan anak-anak semakin tersasar daripada tujuan asal iaitu memperkayakan diri dengan ilmu dan kematangan?

Bercakap mengenai ketagihan, ia membawa maksud “keinginan kepada sesuatu yang tidak dapat ditahan-tahan”. Jika keinginan tersebut gagal diisi, akibatnya boleh membawa kepada hilang pertimbangan diri. Hidup rasa membosankan.

Ramai orang sedar akan ketagihan kepada dadah membawa padah bahaya. Namun kini kita juga perlu sedar, permainan komputer dan Internet boleh membawa ketagihan kepada anak-anak, dan tidak kurang juga bahayanya.

Antara kesan daripada pengaruh permainan komputer dan Internet:

  • Hilang fokus kepada pelajaran
  • Ramai anak remaja tercicir dalam pelajaran kerana hilang tumpuan kepada pelajaran.
  • Belajar dan kerja sekolah yang banyak dianggap membosankan. Mereka sanggup membuang masa berjam-jam demi bermain game daripada menelaah buku-buku atau membuat tugasan sekolah. Mereka menjadi ketagih tanpa sedar. Sekiranya ini yang berlaku, ibu bapa mesti peka mengesannya untuk tindakan selanjutnya.
  • Meniru tindak-tanduk atau lagak kasar dan ganas

 ketagihan

Kebanyakan game yang dijual dalam bentuk cakera padat mempunyai unsur-unsur ganas dan kejam. Misalnya permainan tembak-menembak, bergusti, membunuh pihak lawan dan sebagainya. Sifat anak-anak pula ialah mereka cepat terpengaruh sesuatu yang mencabar. Jangan hairan jika kekerapan bermain kelak memberi kesan pada jiwa anak-anak. Tindakan jadi kasar, sama ada sesama adik-beradik atau rakan-rakan. Kajian pakar psikologi membuktikan pengaruh keganasan paling mudah didapati menerusi televisyen, video, playstation dan Internet.

Anak-anak terdedah kepada unsur-unsur negatif dan “hilang maruah diri”. Ramai juga anak-anak remaja mempunyai kenalan menerusi Internet. Kita perlu pantau dengan siapakah mereka berhubung. Pastikan anak-anak tidak mudah percaya atau mengambil sikap berhati-hati dalam memberi sebarang maklumat diri. Kejadian buruk terkini di mana gambar anak-anak Melayu terpampang dalam keadaan bogel atau terlibat dengan permainan lucah sangat membimbangkan kita. Ada yang melibatkan pelajarpelajar yang masih bersekolah. Apa yang menyedihkan ada dalam kalangan mereka yang sengaja atau sukarela menjual maruah diri melalui Internet atau cakera padat. ¤

 

Rashidah Mustafa

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 

Kembali ke atas