Menu

 

A+ A A-

IKHLASKAN DIRI SEBAB KITA ORANG ISLAM

BAGAIMANAKAH yang dikatakan melakukan ibadat dengan ikhlas?

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hajj ayat ke 37 , maksudnya : Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.

 

 

Menurut kebanyakan ulamak tafsir, sebagai contohnya Ibn Athiyyah dalam al-Muharrar dan Ibnul Jawzi dalam Zad al-Masir, menurut Ibn Abbas r.a, ayat diturunkan berikutan kecenderungan sesetengah kaum muslimin untuk mengikuti jejak langkah kaum musyrikin yang akan menghadapkan binatang sembelihan mereka ke arah Kaabah sambil merenjiskan darah yang melimpah dari sembelihan itu ke dinding Kaabah. Keadaan ini dilakukan bertujuan untuk mempamerkan keikhlasan dalam beramal kononnya. Lantas Allah s.w.t menurunkan ayat ini bagi menerangkan kepada mereka bahawa Allah s.w.t bukannya hendakkan kepada darah dan daging sembelihan, tetapi yang diterima olehNya hanyalah ketaqwaan kamu.

Ketaqwaan menurut sekalian para mufassirin seperti yang dinyatakan dalam tafsir al-Muharrar al-Wajiz dan al-Jalalain merupakan niat yang salihah iaitu benar, itu sahajalah yang menjadi syarat penerimaan amalan yang kamu lakukan. Walaupun ayat ini difokuskan dalam ibadah qurban tetapi ia juga berkaitan dengan pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.

Apakah hakikat ikhlas?

Dalam surah al-Bayyinah ayat ke 5 Allah s.w.t berfirman, maksudnya: Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.

Keikhlasan dalam melakukan ketaatan merupakan risalah asas yang menjadi seruan para nabi. Allah s.w.t tidak pernah memerintahkan kepada mereka kecuali untuk mengajarkan keikhlasan. Ikhlas ertinya murni. Segelas air dikatakan al maa’ul khalish ketika tidak ada setitis warna apa pun yang dicampurkan di dalamnya. Maka, seorang hamba dikatakan mukhlis ketika seluruh hidupnya murni untuk Allah s.w.t.

Maka bukan hamba yang mukhlish ketika dalam perbuatannya ada campur aduk: sebahagian untuk Allah, sebahagian untuk kepentingan yang lain. Ikhlas ertinya ketaatan secara menyeluruh kepada Allah dalam segala perbuatan.

ikhlaskan-diri-1

Bagaimana pula jika seseorang itu beramal tetapi tidak berapa ikhlas?

Ikhlas ini berada dalam hati. Justeru seseorang itu sendiri mengetahui hatinya apakah dia ikhlas dalam tindak tanduknya ataupun sebaliknya. Lawan kepada ikhlas seperti dinyatakan oleh al-Ghazali dalam Ihya` Ulumiddin adalah syirik. Rasulullah s.a.w pernah menceritakan bahawa Allah s.w.t bersifat cemburu. Cemburunya Allah s.w.t apabila seseorang hamba melakukan syirik terhadapNya. Syirik yang berlawanan dengan ikhlas ini juga menimpa seseorang apabila dia tidak bersungguh-sungguh menjalankan kewajipannya kepada Allah, kerana sesuatu kepentingan lain yang ada dalam fikirannya.

Salah satu sebab berlakunya kemurkaan Allah s.w.t kepada ummat yang terdahulu ialah kerana mereka tidak ikhlas mentaati Allah. Seringkali alasan yang digunakan oleh si penderhaka sebagaimana yang difirmankan olehNya menerusi surah az-Zumar , ayat ke 3 yang bermaksud : Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi Pelindung dan Penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”.

Bagaimana generasi Islam dahulu menghayati erti keikhlasan dalam hidup mereka?

Para ulama dalam karya-karya ‘masterpiece’ mereka sentiasa meletakkan bab ikhlas sebagai bab pertama. Silalah merujuk buku-buku hadis karya Imam al-Bukhari, al-Imam al-Nawawi, Ibn Rajab dan sebagainya, termasuk juga beberapa buku yang berkenaan dengan tazkiyatun nafs, kerap sekali anda akan menemui hadis yang pertama mereka sebutkan adalah mengenai keikhlasan.

Fahamnya para sahabat kepada asas ikhlas ini agar tidak timbul perasaan riyak dalam amalan menyebabkan seseorang mereka yang tersilap menceritakan pengalaman enam orang bergilir-gilir berkongsi menaiki seekor unta dalam suatu peperangan yang dinamakan Zatur Riqa’, menyebabkannya dengan nada kesal mengubah topik perbincangan itu kerana bimbang dirinya diserang rasa riyak ataupun ujub (takjub dengan diri sendiri).

Peperangan ini dipanggil sedemikian kerana mereka terpaksa membalut kaki masing-masing dengan kain kerana musim panas yang amat dahsyat sehingga menyakitkan kaki mereka. Sahabat ini meyakini bahawa kepentingan duniawi yang disenangi oleh nafsu, apabila mewarnai ibadah yang dilakukan maka akan menodai tahap keikhlasannya. Dia bimbang jika darjat keikhlasannya akan dicacatkan oleh pujian teman-teman yang mendengar pengorbanannya bersama dengan Nabi s.a.w pada awal Islam itu.

Jadi bolehlah dirumuskan bahawa asalkan sahaja ikhlas, maka perbuatan kita akan diterima Allah?

Tidak. Selain dari keikhlasan,para ulama turut menegaskan bahawa syarat yang kedua diterimanya amalan seseorang di sisi Allah adalah sihhatul amal (amal yang selari dengan amalan Nabi s.a.w). Ini bermakna sehebat mana sekalipun amalan seseorang manusia ia pasti ditolak oleh Allah, apabila tidak dikerjakan dengan ikhlas. Dan sebaliknya sehebat manapun ikhlas seseorang dalam beramal, Allah s.w.t tidak akan menerimanya jika ternyata amal tersebut tidak selari dengan sunnah nabiNya.

Oleh itu, dalam beramal jangan asal beramal melainkan mestilah benar seperti amalan nabi s.a.w dan mestilah memiliki ruh iaitu ikhlas. Ramai orang mengatakan, “Ah, yang penting, kan ikhlas!” Kata-kata ini sebenarnya menjadi racun dalam beramal. Berapa banyak amal khurafat yang mereka akui sebagai keikhlasan sedangkan Allah dan Rasul-Nya s.a.w tidak pernah mengajarkannya. Tegasnya tidak diakui oleh syarak sesuatu pekerjaan itu ikhlas apabila seseorang melanggar ajaran Allah.

Ikhlas bermaksud benar-benar murni, tanpa dicemari perasaan lain. Murni dalam niat iaitu dikerjakan semata-mata kerana Allah, dan murni dalam amal iaitu sesuai dengan tuntutan-Nya.

Dari sini para ulamak tazkiyatunnufus, contohnya dalam Ihya’ Ulumiddin, menganjurkan beberapa langkah penyucian jiwa antaranya iaitulah mujahadah (melawan nafsu ), muhasabah (menghisab dan memeriksa diri selalu) dan mu’aqabah (menghukum diri sendiri apabila melakukan kesilapan). 


Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas