Menu

 

A+ A A-

MENIKMATI KURNIAAN ALLAH

FIRMAN Allah s.w.t. dalam surah Quraisy Yang bermaksud: “Betapa aman tenteramnya Quraisy(Penduduk Mekah). (Iaitu) aman tenteram mereka dalam perjalanan (Menjalankan perniagaaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam). Maka hendaklah mereka menyembah tuhan yang menguasai ruman (Kaabah) ini. Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan.

Surah yang diturunkan di Makkah ini menghuraikan tentang nikmat anugerah Allah kepada bangsa Arab khasnya Quraisy dan kesan daripada nikmat itu. Tujuannya adalah untuk mengingatkan bangsa Quraisy tentang nikmat itu supaya mereka menghentikan penentangan terhadap Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. membawa perutusan berupa perintah Allah s.w.t. setelah mereka diberikan nikmat yang pelbagai. Mereka diingatkan tentang tanda-tanda mensyukuri nikmat-nikmat Allah s.w.t. adalah dengan mentaati-Nya,beribadah kepada-Nya dan tidak melakukan sebarang perbuatan syirik kepada-Nya. Apabila umat manusia itu mentaati perintah Allah s.w.t., mereka akan didorongkan ke arah memperoleh pelbagai perkara lain.

Dua musim berbeza

Menurut ibn Kathir dalam sahih Tafsir ibn Kathir, surah ini diturunkan bagi menerangkan tradisi perniagaan bangsa Quraisy. Kebiasaannya ketika musim panas mereka akan menuju ke Syam yang terletak di utara. Ini disebabkan di Syam mempunyai suasana yang lebih nyaman sewaktu musim panas dan memberi keselesaan kepada mereka untuk berniaga di sana.

Sebaliknya apabila tiba musim sejuk pula,  mereka akan ke Yaman yang terletak di selatan bagi menghindar diri daripada kesejukan musim itu.

Selain itu, golongan Quraisy ini juga dipandang mulia dan dihormati sehingga sesiapa sahaja yang berteman dengan mereka akan memperoleh ketinggian sama seperti mereka dan akan berasa aman apabila berada bersama mereka. Dalam satu riwayat daripada sa’id bin Jubair, daripada ibn Abbas r.a., beliau mengatakan bahawa orang Arab Quraisy mampu menikmati cuaca sederhana yang tidak terlalu panas atau sejuk kerana mereka mempunyai pilihan untuk berada di Taif pada musim panas atau berada di Makkah sepanjang musim sejuk. Keadaan cuaca Taif yang dingin membolehkan mereka terhindar daripada kepanasan dan cuaca yang sejuk pada musim sejuk tidak memudaratkan apabila mereka berada di Makkah.

Gelaran yang dimuliakan

Jika dilihat, gelaran Quraisy itu sendiri merupakan suatu kemuliaan kerana dalam riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “sesungguhnya Allah s.w.t. telah memilih Kinanah daripada keturunan Ismail a.s. dan memilih daripada Kinanah itu Quraisy dan memilih daripada Quraisy itu Bani Hashim.”

Di sini jelas mengapa Allah s.w.t. memerintahkan golongan Quraisy supaya bersyukur atas nikmat keamanan yang dianugerahkan.

Ketetapan ini juga diwajibkan ke atas Quraisy selepas Allah s.w.t. memuliakan mereka dengan hancurnya tentera bergajah (surah al-Fil). ini bagi memberikan keselesaan kepada Quraisy untuk mengendalikan perniagaan mereka dengan aman. Kemudian mereka dinobatkan dengan peranan pembela rumah Allah. Kesemua bertanggungjawab membalas nikmat yang dianugerahkan dengan mengabdikan diri secara mutlak kepada Allah s.w.t.

Hargai nikmat Allah

Dua perkara yang disenaraikan dalam ayat terakhir berkaitan dengan anugerah rezeki dan jaminan kestabilan keamanan. Inilah dua rukun utama bagi ketenteraman dalam masyarakat. Ini juga kita baca dalam surah Quraisy ini, dapatlah kita ambil mesej yang disampaikan walaupun ayat ini khas ditujukan kepada bangsa Quraisy.

ini jelas dikaitkan dengan kehidupan seharian kita yang mana setiap nikmat yang dianugerahkan, menjadi kemestian bagi kita untuk mensyukurinya tanpa terlibat dalam melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. Wallahuaklam.

Oleh Ust Dr Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Gen Q 7


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas