Menu

 

A+ A A-

TITIAN SIRAT ITU WUJUD

Titian Sirat Tidak Disebut dalam al-Quran?

SAYA terkejut membaca satu artikel di Internet yang mengatakan bahawa titian sirat sebenarnya tidak wujud. Buktinya ia tidak disebut dalam al-Quran. Benarkah begitu?

Jawapan:

Tidak benar sama sekali. Tidak bermakna sesuatu yang tidak disebut namanya dalam al-Quran, maka ia tidak wujud. Bahkan titian sirat dan segala perihalnya disebut dalam al-Quran dan sunnah dengan jelas sekali. Sebelum melangkah lebih jauh, perlu kita satukan kefahaman kita bahawa titian sirat ialah jambatan yang direntangkan atas neraka jahanam yang dilalui oleh semua umat terdahulu dan kemudian. (Al-Manhaj al-Sadid).

Hal ini disebut dalam al-Quran melalui firman Allah s.w.t. dalam surah Maryam ayat 71-72 yang bermaksud: “Dan tidak ada seorang pun daripada kamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian kami akan menyelamatkan orang yang bertakwa dan membiarkan orang yang zalim dalam neraka dalam keadaan berlutut.”

Al-Qurtubi berkata bahawa ayat ini menjadi hujah adanya lintasan atas sirat, namun bukannya melintasi bermakna masuk ke dalam neraka. (Mukhtasar Tafsir al-Qurtubi, jil. 3, hlm. 74) Manakala firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 12 yang bermaksud: “(Iaitu) pada hari ketika kamu melihat orang Mukmin lelaki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka.” Al-Mawardi menukilkan pendapat Ibn Mas‘ud yang berkata: “Cahaya mereka mengikut kadar amalan dan mereka melintasi titian sirat.” (Al-Nukat wa al-‘Uyun, jil. 5, hlm. 473)

Dalil tentang kewujudan titian sirat juga disebut dalam beberapa hadis sahih Rasulullah antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: “Dibentangkan titian dan dijadikan atas neraka jahanam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

titian-sirat-wujud-1

Bukan Hanya Bersifat Kiasan

Artikel itu juga mendakwa bahawa semua hadis yang berkaitan dengan titian sirat seperti hadis yang menggambarkannya tajam seperti mata pedang hanya bersifat majazi (perumpamaan) sahaja. Benarkah begitu?

Jawapan:

Tidak benar sama sekali. Para ulama Ahli Sunnah waljamaah sepakat bahawa titian sirat wujud dan wajib diimani oleh setiap Muslim tanpa sebarang takwil. Ia seperti yang ditegaskan oleh Syeikh Muhammad al-Hanifi al-Halabi dalam kitabnya al-Manhaj al-Sadid yang mengatakan wajib beriman dengan titian sirat kerana ia telah dikhabarkan oleh Rasulullah dan ia termasuk perkara yang mungkin (berlaku) dan wajib beriktikad dengannya tanpa sebarang takwil.

Antara hadis yang menggambarkan perihal berkaitan titian sirat adalah sepertimana sabda Baginda yang bermaksud: “Pada neraka jahanam terdapat jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang.” (Riwayat Ahmad)

Abu Said al-Khudri r.a. juga berkata: “Telah sampai kepadaku bahawa titian sirat lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang.” (Riwayat Muslim)

Justeru kita mendapati para ulama menegaskan hal ini. Imam al-Lalaka’i berkata: “Apa yang diriwayatkan berkenaan dengan titian sirat adalah wajib diyakini berdasarkan hadis di atas dan beberapa hadis yang lain.” (Shar Usul al-I‘tiqad, jil. 3. hlm. 1177)

Manakala Imam al-Ghaznawi al-Hanafi (wafat 593H) berkata: “Titian sirat itu benar. Ia jambatan yang terbentang diatas perut neraka jahanam. Ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang. Seluruh manusia melalui titian sirat mengikut kadar amalan mereka.” (Usul al-Din, hlm. 238-239)

Imam al-Ghazali pula berkata: “Dan hendaklah beriman bahawa titian sirat itu benar. Ia jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahanam. Ia lebih tajam daripada pedang, lebih halus daripada rambut. Ia menggelincirkan kaki-kaki orang kafir dengan ketentuan Allah, lalu menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Dan ia menetapkan kaki-kaki orang Mukmin dengan rahmat Allah, lalu mereka diiringi ke syurga.” (Qawa‘id al-‘Aqaid, hlm. 66)

Begitu juga pandangan Ibn Taimiyah: “Dan titian sirat itu terbentang di atas perut neraka jahanam. Ia jambatan yang terletak antara syurga dan neraka yang dilalui oleh manusia mengikut kadar amal perbuatan mereka Sebahagian mereka melaluinya sekelip mata, manakala sebahagian yang lain seperti kilat…” (al-’Aqidah al-Wasitiyyah, hlm. 33)

Menyeberangi Titian Sirat Tidak Logik?

Tetapi artikel itu juga menegaskan adalah tidak logik manusia berupaya melintasi satu titian yang lebih nipis daripada sehelai rambut dan lebih tajam daripada mata pedang. Justeru sudah pasti hadis-hadis tersebut lebih bersifat kiasan sahaja untuk menunjukkan kerumitan keadaan ketika itu. Apa pandangan ustaz?

Jawapan:

Di sini saya membawa jawapan Imam al-Ghazali “Adapun titian itu benar. Wajib mengimaninya kerana ia mungkin (boleh diterima akal). “Jika ditanya: ‘Telah diriwayatkan bahawa ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, maka bagaimana mungkin boleh melaluinya?’ “Kita menjawab: ‘...maka berjalan atasnya bukanlah lebih menghairankan berbanding terbang di udara. Jika Dia berkuasa melakukan ini (menggerakkan makhluk) di udara, maka sirat itu lebih tetap (sesuatu yang konkrit) daripada udara dalam apa jua keadaan.’” (Al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, hlm. 240)

Imam al-Taftazani juga pernah menjawab dakwaan ini: “Ia diingkari oleh Qadi Abdul Jabbar dan ramai ulama Muktazilah dengan dakwaan bahawa ia tidak mungkin diseberangi. Jika mampu sekalipun, tentulah ia menyeksakan sedangkan tiada azab terhadap golongan Mukmin dan orang soleh pada hari kiamat.

Maka dijawab bahawa kemungkinan menyeberangi sirat adalah jelas sepertimana belayar diatas air dan terbang di udara yang menyalahi kebiasaan. Kemudian Allah memudahkan jalan bagi sesiapa yang dikehendaki sebagaimana yang disebut dalam hadis. Ada golongan yang menyeberang seperti kilat menyambar. Ada sebahagian yang lain pula berjalan seperti angin kencang, manakala sebahagiannya seperti kuda…” (Sharh al-Maqasid fi ‘Ilm al-Kalam, jil. 2, hlm. 223)

Panduan

Mohon ustaz rumuskan prinsip atau panduan umum dalam memahami isu seperti ini.

Jawapan:

Tiada khilaf dalam kalangan para ulama Ahli Sunnah Waljamaah tentang kefahaman terhadap titian sirat. Sebaliknya khilaf hanya berlaku dalam kalangan mereka yang di luar Ahli Sunnah. Justeru, kewujudan “titian sirat” telah menjadi ijmak (disepakati) menurut Ahli Sunnah Waljamaah. Titian sirat ialah perkara yang kewujudannya diketahui daripada wahyu sahaja. Perinciannya hanya terbatas dengan apa yang terkandung dalam nas al-Quran dan sunnah semata-mata. Titian sirat wujud sebagaimana yang disifatkan oleh nas-nas syarak secara hakiki berdasarkan al-Quran,  hadis dan ijmak ulama.

Mohd Aizam Mas‘od

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

Kembali ke atas