Menu

 

A+ A A-

MENGHINDARI TIPU DAYA SYAITAN

Ditulis oleh 

Syirik Senjata Utama Syaitan

Boleh ustaz jelaskan cara dan kaedah yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia?

Jawapan:

Syaitan menggunakan pelbagai cara dan kaedah untuk menyesatkan manusia. Allah s.w.t. telah menjelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdaya mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata. “Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdaya mereka dengan angan-angan kosong; dan apa-apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.” (Surah al-Nisa’ 4: 119-120)

Justeru, pertama sekali syaitan akan cuba menyesatkan manusia dengan mengajak ke arah kekufuran dan syirik kepada Allah s.w.t. Hal ini kerana syirik merupakan kebinasaan dan kezaliman yang paling besar. Bahkan sesiapa yang mati dalam keadaan syirik, maka ia tidak akan mendapat pengampunan Allah, sebaliknya akan dihumbankan ke dalam neraka untuk selama-lamanya. Syaitan sudah tentu gembira sekiranya manusia dapat mengikut jejak langkahnya ke neraka.

Dosa Kecil Dosa Besar

Bagaimana sekiranya syaitan tidak berjaya menjatuhkan manusia kepada dosa syirik?

Jawapan:

Sekiranya usaha syaitan untuk mensyirikkan manusia tidak berjaya, ia akan menghasut manusia dengan perkara yang lebih ringan sedikit berbanding syirik iaitu dosa besar. Syaitan akan berpuas hati apabila manusia ingkar kepada arahan Allah dan melakukan dosa-dosa besar yang dilarang oleh Allah. Sekiranya seseorang itu masih kental imannya dan tidak mudah tergoda dengan godaan dan hasutan syaitan untuk melakukan dosa besar, maka syaitan akan berusaha menghasut supaya melakukan dosa kecil dan terus berusaha memperdaya agar dapat berkekalan dalam melakukannya. Hal ini kerana berkekalan dalam melakukan dosa kecil akan menatijahkannya kepada dosa besar.

Bagaimana sekiranya usaha syaitan untuk menjatuhkan manusia kepada dosa besar atau berterusan melakukan dosa kecil tetap tidak berjaya?

Jawapan:

Sekiranya syaitan masih tidak berjaya, maka ia akan cuba memporak-perandakan kehidupan manusia dengan menimbulkan pergaduhan, kebencian dan permusuhan mereka. Selain itu, syaitan dengan segala tipu dayanya juga kadangkala memperdaya manusia dengan kaedah yang kononnya mengajak manusia menjadi orang yang “baik”. Apabila sampai satu ketika, ia akan cuba menyelewengkan manusia daripada jalan kebenaran.

Dalam sebuah hadis sahih, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Akan datang syaitan kepada kamu, lalu bertanya: ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Lalu manusia menjawab: ‘Allah yang mencipta.’ Lalu syaitan bertanya lagi: ‘Allah yang menciptakan segala makhluk. Namun siapa pula yang mencipta Allah?’ Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): ‘Apabila didapati sedemikian, hendaklah seseorang itu berkata: ‘Aku beriman kepada Allah.’” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain, Nabi s.a.w. menyatakan apabila syaitan mempersoalkan tentang pencipta Tuhanmu, maka hendaklah seseorang itu berlindung dengan Allah (daripada tipu daya syaitan itu) dan berhenti berfikir tentang perkara itu. Hadis ini memberikan suatu pengajaran yang amat bermakna kepada orang Muslim. Kita perlu mengetahui segala helah dan tipu daya yang dilakukan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia. Tipu daya mereka boleh datang dalam bentuk kebaikan seperti mengingatkan manusia kepada Allah, namun pada masa yang sama ia menyuntik rasa was-was dalam hati manusia agar mempersoalkan keesaan Allah s.w.t.

hindari-tipu-daya-syaitan-1

Bagaimanakah cara terbaik untuk mengubati manusia yang sudah terjebak dengan tipu daya syaitan?

Jawapan:

Terdapat banyak cara untuk mengubati mereka yang terjebak dengan hasutan dan was-was syaitan. Antaranya adalah dengan mengamalkan zikrullah iaitu mengingati Allah dan tadabbur ayat-ayat suci al-Quran. Kita juga boleh membaca surah dan ayat tertentu untuk menghindari gangguan syaitan seperti “al-mu‘awwizatayn” (surah al-Falaq dan al-Nas), surah al-Baqarah, ayat Kursi, penghujung surah al-Baqarah dan permulaan surah al-Ghafir.

Selain daripada cara di atas, apakah lagi yang perlu dilakukan untuk menghindari tipu daya syaitan?

Jawapan:

Kita hendaklah mempunyai sifat tawakal yang tinggi dalam memohon perlindungan Allah daripada syaitan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Oleh sebab itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam. Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang yang beriman dan orang yang berserah bulat-bulat (bertawakal) kepada Tuhan mereka.” (Surah al-Nahl 16:98-99)

Begitu juga, kita hendaklah memohon perlindungan daripada Allah dengan memperbanyakkan ucapan isti‘azah iaitu اعوذ بالله منالشيطان الرجيم sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut dengan satu hasutan daripada syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Fussilat 41: 6)

 

Dr. Mohd Sukki Othman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Read 22664 times
Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.