Menu

 

A+ A A-

MENGAKUI KEAGUNGAN ALLAH DALAM DOA

Lagi Doa daripada Surah Ali ‘Imran

USTAZ ada membawakan ayat dalam surah Ali-‘Imran yang boleh dijadikan doa. Selain daripada itu, adakah lagi ayat-ayatnya yang boleh dijadikan doa?

Jawapan:

Ada. Antara rangkaian ayatnya yang patut dijadikan doa ialah ayat 191, 192, 193 dan 194:

mengakui-keagungan-ALLAH-dalam-doa-2

Maksudnya: “Orang yang mengingati Allah sambil berdiri, atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata), “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka. Ya Rab kami, sesungguhnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sesungguhnya telah Engkau telah hinanya, dan tidak ada bagi orang yang zalim seorang penolong pun. (191)

“Ya Rab kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman (iaitu): ‘Berimanlah kamu kepada Rab-mu’ maka kami pun beriman. (192)

“Ya Rab kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang yang berbakti. (193)

“Ya Rab kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan Rasul-rasul-Mu. Dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji.” (194)

Ada sebuah hadis, Ibn Abbas pernah menginap di rumah Maimunah isteri Nabi. Beliau berkata: “Aku membaringkan diri di bahagian pinggir tempat tidur sedangkan Rasulullah dan keluarga Baginda membaringkan diri di bahagian tengah. Maka Baginda pun tidur.

“Pada pertengahan malam, Rasulullah bangun daripada tidurnya, lalu mengusap wajahnya dengan tangannya. Kemudiannya Baginda membaca sepuluh ayat terakhir surah Ali-‘Imran. (Iaitu ayat-ayat di atas hingga akhir surah)

“Selepas itu Baginda menuju ke tempat air yang digantungkan di dinding dan berwuduk dan menyempurnakan wuduknya. Setelah itu, Baginda menunaikan solat.” (Riwayat al-Bukhari)

mengakui-keagungan-ALLAH-dalam-doa-1

Galakan Berfikir

Dalam doa tersebut ada ditekankan berkenaan orang memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. Mohon ustaz huraikan lebih lanjut.

Jawapan:

Kata Imam Ibn Kathir: “Mereka memahami bahawa apa yang terdapat pada kedua-duanya merupakan kandungan hikmah yang menunjukkan keagungan Tuhan yang Maha Pencipta, kekuasaan, keluasan ilmu, hikmah, pilihan dan juga Rahmat-Nya.

Imam Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azim ada merakamkan beberapa pandangan ulama berkenaan budaya berfikir antaranya:

Syaikh Abu Sulaiman al-Darani berkata: “Sesungguhnya aku keluar dari rumahku lalu setiap sesuatu yang aku lihat merupakan nikmat Allah dan ada pelajaran bagi diriku.” Kisah ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Dunia dalam Kitab al-Tawakkul wa al-I‘tibar.

Al-Hasan al-Basri pula berkata: “Berfikir sejenak lebih baik berbanding bangun solat malam.”

Al-Fudail mengatakan bahawa al-Hasan berkata: “Berfikir ialah cermin yang menunjukkan kebaikan dan keburukanmu.”

Luqman al-Hakim berkata: “Sesungguhnya lama menyendiri akan mengilhamkan untuk berfikir, dan lama berfikir (tentang kekuasaan Allah) ialan jalan-jalan menuju syurga.”

Sesungguhnya Allah mencela orang yang tidak mengambil pelajaran daripada makhluk-makhluk-Nya yang mengisyaratkan kepada kehebatan dan keagungan zat, sifat dan syariat Allah.

Wallahu a‘lam.

mengakui-keagungan-ALLAH-dalam-doa-3

Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Lulusan Maahad Qiraat Syubro, Mesir. Kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau aktif berdakwah terutamanya dalam TV al-Hijrah. Antara program TV yang dikendalikan olehnya iaitu 30 minit Ustaz Don.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi produk penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas