Menu

 

A+ A A-

BERANI UNTUK JUJUR

SUDAH menjadi lumrah dunia apabila seseorang itu melakukan kesalahan atau kesilapan sama ada kecil atau besar, seseorang itu sukar untuk mengakuinya jika pengakuannya itu akan dikenakan hukuman. Hanya melainkan seandainya kesalahannya itu mendapat imbuhan keuntungan yang berlipat kali ganda, itupun kalau dapat lepas daripada pertuduhan.

Mengapa begitu sukar untuk berkata benar? Bagaimanakah untuk mengatasi keadaan sukar untuk berkata benar dan berlaku jujur? Apakah perasaan seseorang yang tidak berlaku jujur dan tidak berbuat baik itu? Bilakah akan pulih bagi orang yang tidak mahu berbuat baik?

Semua jawapan adalah kembali kepada panduan al-Quran. Tidak sukar untuk berkata benar dan berlaku jujur jika keberanian mengawal diri. Untuk lebih jelas dan berani, ayuh kita fahamkan apa yang diperkatakan dalam al-Quran.

1 Jujurlah apabila diberi tanggungjawab:

Firman Allah s.w.t. dalam surah an Nuur ayat 54 yang bermaksud: “Katakanlah lagi: Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar,maka sesungguhnya atas Rasulullah apa yang ditugaskan kepadanya, dan atas kamu pula apa yang ditugaskan kepada kamu.

Dan jika kamu taat kepadanya kamu akan beroleh hidayah; dan Rasulullah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang nyata.”

2 Jujurlah apabila beramal:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al An‘amayat 70 yang bermaksud: “Dan jauhkanlah diri daripada orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan,dan mereka telah diperdayakan oleh kehidupan dunia; dan peringatkanlah dengan al-Quran itu supaya setiap diri tidak terjerumus (ke dalam neraka) dengan sebab apa yang ia usahakan.

Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus dengan segala jenis tebusan,nescaya tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang yang dijerumuskan ke dalam neraka dengan sebab apa yang mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur.”

3 Jujurlah apabila berkata-kata:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Israa’ ayat 53 yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik; sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka; sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”

4 Jujurlah apabila berjuang:

FIRMAN Allah s.w.t. dalam surah al-Maaidah ayat 35 yang bermaksud: “Hai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan (diri) kepada-Nya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.”

5 Jujurlah apabila menyampaikan ilmu:

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imraan ayat 187 yang bermaksud: “Dan(ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang yang telah diberi Kitab(iaitu): Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada manusia dan jangan kamu menyembunyikannya. Lalu mereka membuang (perjanjian) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukatan itu”    

6 Jujurlah apabila mengadili:

Firman Allah s.w.t. dalam surah an Nisa’ ayat 135 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalau orang itu kaya atau miskin maka Allah lebih tahu keduanya.

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu untuk berbuat tidak adil. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan(menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

7 Jujurlah apabila berdakwah:

Firman Allah s.w.t. dalam surah an Nahl ayat 125 yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat dan nasihat pengajaran yang baik, dan bahaskanlah mereka secara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.”

Wallahuaklam.

JUJUR

 

Azzam Supardi

Sumber artikel daripada QEN-Q 10

 


 

Azzam Supardi

Pernah mengikuti pengajian di Maahad Buhuth di Kaherah, Mesir. Kini bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. sebagai editor majalah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas