Menu

 

A+ A A-

SURAH AL-NISA’ MEMARTABATKAN WANITA

SOALAN : Hari ini masih ada yang memperkatakan tentang Islam tidak menjaga hak wanita. Adakah isyarat-isyarat dalam al-Quran yang menunjukkan kedudukan wanita dalam Islam

JAWAPAN :

Ada dan sangat jelas. Kita semua sedia maklum bahawa al-Quran ialah buku panduan dan pegangan umat Islam. Justeru tidak ada kompromi dengan semua perkara yang telah termaktub dalam al-Quran.

Kita semua maklum bahawa isu yang diangkat dalam al-Quran merupakan persoalan besar. Contohnya Nabi Ibrahim termaktub namanya kerana impak besar perjuangannya. Begitu juga Nabi Nuh dengan bahtera besar yang merubah perjalanan tamadun manusia.

Tidak hanya lelaki, beberapa personaliti wanita turut diangkat dalam al-Quran. Perhatikan kisah Maryam yang melahirkan anak tanpa suami. Bagaimana ketabahannya berhadapan dengan masyarakat yang tidak dapat menerima dakwaannya bahawa anak itu kurniaan tuhan. Malaikat yang datang mengkhabarkannya. Maryam menjadi saksi.

Tetapi, bagaimana untuk berhadapan? Itu satu perkara yang besar dan memerlukan kesabaran yang besar.

Tidak kurang juga isteri Firaun, Asiah. Bagaimana hidupnya yang dikongsi bersama lelaki yang dilaknat Allah s.w.t. Itu satu cerita yang besar. Firaun sendiri, bagaimana besarnya ego dan sombongnya dengan Allah.

Pendek kata, semua yang dirakamkan dalam al-Quran itu isu besar. Namun yang menariknya, dicelah-celah kebesaran dan kehebatan nama, cerita dan peristiwa yang besar itu, muncul satu surah yang diberi nama al-Nisa’ yang bermaksud wanita. Hal ini menunjukkan betapa besarnya kedudukan wanita itu dalam hokum Islam.

Wanita bukannya boleh untuk dijual beli, ditiduri, dipisahkan dan diabaikan sesuka hati. Ada hukumnya di sisi Allah. Allah yang menjaga hal ehwal wanita,dan lelaki hanya melaksanakan sahaja hukumnya. Maka tidak wujud lagi diskriminasi dan perbezaan gender.

Tafsir

SOALAN : Merujuk kepada ayat 1 surah al-Nisa’, apakah yang dimaksudkan dengan ayat yang bermaksud “Dan daripadanya Allah ciptakan isterinya”?

JAWAPAN :

Petikan ayat itu menjelaskan tentang Hawa yang diciptakan daripada tulang rusuk bahagian sebelah kiri Nabi Adam. Pada satu ketika, sedar-sedarnya Nabi Adam daripada tidur terus beliau melihat Hawa. Pada pandangannya Hawa cukup menakjubkan hingga berputik rasa cinta dan kasih sayang antara kedua-duanya. Perincian kisahnya ada dirakamkan dalam Tafsir Ibn Kathir.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita diciptakan daripada tulang rusuk. Dan tulang rusuk yang paling bengkok ialah bahagian yang paling atas. Jika engkau memaksakan untuk meluruskannya, maka engkau akan mematahkannya. Tetapi jika engkau membiarkannya, maka ia akan terus bengkok. ”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa setiap suami isteri perlu bersedia untuk menasihati antara satu sama lain dengan cara yang paling terbaik dan lemah lembut. Terutamanya kepada suami, isteri ialah tanggungjawab dan amanah yang wajib pikul.

Jika bukan demikian, mengapa Allah mentakdirkan penciptaan isteri daripada tulang rusuk kita? Adakah mustahil bagi Allah untuk menciptakan dia dengan bentuk penciptaan baru sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tiada kepada ada?

Isteri ialah tempat untuk kita bersenang-senang dengannya. Maka bersenang senanglah dengannya kerana di situ ada pahala sekalipun padanya ada kekurangan. Jangan mencari yang lain dengan cara yang tidak halal selain daripada isteri dek kekurangan dan kelemahannya. Sepatutnya sama-sama kita atasi dan hadapi bersama.

Wallahu a‘lam.

1

 

Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08

 


 

Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Lulusan Maahad Qiraat Syubro, Mesir. Kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau aktif berdakwah terutamanya dalam TV al-Hijrah. Antara program TV yang dikendalikan olehnya iaitu 30 minit Ustaz Don.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi produk penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas