Menu

 

A+ A A-

BERKENALAN DENGAN AL-MAIDAH

Boleh ustaz ceritakan tentang surah al-Maidah?

Pertama sekali, sama-sama kita fahami bahawa ada surah-surah dalam al-Quran yang diturunkan berdasarkan kepada peristiwa tertentu yang disebut sebagai asbab al-nuzul. Namun ada juga surah-surah yang diwahyukan tanpa berkaitan dengan sebarang peristiwa. Jadi ayat atau surah ini ada yang diwahyukan ketika Nabi s.a.w.dalam keadaan duduk, berdiri, tidur atau berbaring.

Dari sudut yang lain pula, ada surah yang diturunkan sekaligus kesemuanya dalam satu masa seperti surah al-Fatihah dan ada pula yang turun terputus-putus mengikut peristiwa seperti surah al-Baqarah. Al-Quran diwahyukan tidak mengira masa. Jadi semasa ada ayat atau surah yang turun dalam cuaca dingin atau sejuk, Nabi didapati berpeluh-peluh juga dek beratnya wahyu.

Kupasan lanjut hal ini boleh kita dapati dalam mana-mana kitab ulum al-Quran seperti kitab Itqan fi Ulum al-Qurankarangan Imam al-Suyuti, Burhan fii Ulum al-Quran, Manahil al-‘Irfan dan sebagainya. Berbalik kepada persoalan asal, surah al-Maidah adalah antara surah Madaniyyah kerana diturunkan selepas hijrah Nabi ke Madinah. Ada kisah menarik berkaitan penurunan surah ini. Asma’ Binti Yazid menceritakan: “Pada saat aku sedang memegang tali kekang unta Rasulullah, tiba-tiba turun kepada Baginda surah alMaaidah secara keseluruhannya. Lalu terduduk kaki depan unta itu kerana beratnya wahyu.” (Riwayat Ahmad)

Berdasarkan kepada hadis ini, maka kita dapat tahu bahawa surah al-Maidah ialah surah yang diturunkan secara sekaligus dalam satu masa. Bayangkan keadaan yang ditanggung oleh Rasulullah dalam menerima kesemua 120 ayat surah alMaidah. Bahkan unta yang sedang ditunggangi Nabi sampai terduduk dan tidak mampu berjalan.

Dari sudut yang lain, peristiwa ini menggambarkan kehebatan dan kesungguhan Rasulullah dalam menerima dan menghafal terus kesemuanya 120 ayat itu tanpa gugur sedikit pun dan tanpa pengulangan daripada Malaikat Jibrail. Subhanallah.

Pernah juga diceritakan oleh seorang sahabat bahawa Nabi mendapat wahyu yang ketika itu paha atau kaki Nabi berada di atas kakinya. Maka sahabat Nabi merasakan bahawa kakinya menjadi sangat berat kerana ditekan oleh kaki Baginda sehingga tidak dapat digerakkan langsung.

Maka marilah sama-sama kita menghargai al-Quran yang ada pada kita. Itulah satusatunya mukjizat Nabi yang kekal dan boleh dipegang dan disentuh.

Berkenaan dengan maksud nama surah, Maidah bererti hidangan. Dalam ayat yang ke-114 surah ini ada menceritakan tentang maidahyang dipohon oleh Nabi Isa. Insya-Allah ustaz akan huraikan pada keluaran al-Ustaz akan datang.

Tafsir Ayat ke-2

Antara ayat yang masyhur dalam surah al-Maidah ini ialah ayat yang ke-2. Apakah yang dimaksudkan dengan al-‘udwan?

Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azimmembawa ulasan daripada Imam Ibn Jarir al-Tabari:“Al-Ithmu (dosa) bererti meninggalkan apa yang Allah perintahkan untuk mengerjakannya. Al-‘udwaan (permusuhan) pula bererti melanggar apa yang telah ditetapkan oleh Allah dalam urusan agama dan melanggar apa yang telah diwajibkan Allah kepada kalian dan kepada orang lain.”

Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Tolonglah saudaramu, baik yang berbuat zalim atau dizalimi.” Seorang sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, aku akan menolong orang yang dizalimi itu. Namun bagaimana aku akan menolong orang yang berbuat zalim?”

Baginda menjawab: “Menghindarkan dan melarangnya daripada kezaliman. Itulah bentuk pertolongan baginya.” (Riwayat Ahmad)

Wallahu a‘lam.

 

body

 

Ustaz Don Daniyal Don Biyajid
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.9


Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Lulusan Maahad Qiraat Syubro, Mesir. Kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau aktif berdakwah terutamanya dalam TV al-Hijrah. Antara program TV yang dikendalikan olehnya iaitu 30 minit Ustaz Don.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi produk penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas