Menu

 

A+ A A-

YAHUDI: WATAK ANTAGONIS DALAM AL-QURAN

Umat yang paling banyak disebut dalam al-Quran

Soalan: Sejak kebelakangan ini saya sudah mula membaca al-Quran berserta dengan terjemahannya. Saya perasan bahawa al-Quran begitu banyak sekali menyebut tentang kisah Nabi Musa dan Bani Israel. Boleh ustaz ulas hal ini?

Alhamdulillah. Tahniah buat saudara yang diberikan taufik oleh Allah ke arah memahami al-Quran. Begitulah sepatutnya setiap orang Islam. Al-Quran itu buku manual kehidupan yang mesti difahami, bukannya ungkapan mantera yang sekadar dituturkan.

Ya, dalam senarai umat terdahulu yang disebutkan dalam al-Quran, Bani Israel ialah umat yang paling banyak diangkat ceritanya. Mengapa bukan kaum Ad, Thamud, Madyan dan sebagainya? Pasti ada rahsianya. Ringkasnya, mereka ialah kaum terdahulu yang masih wujud dan paling merbahaya. Kaum-kaum lain kesemuanya umat sebelum Bani Israel lagi. Mereka telah pupus lebih awal. Bani Israel ialah kaum terakhir yang diutuskan nabi daripada kalangan mereka sebelum kerasulan Nabi Muhammad yang diangkat daripada kalangan bangsa Arab.

Bahkan mereka ialah kaum yang paling banyak diutuskan nabi. Kalau kaum sebelum mereka seperti kaum Nabi Nuh, Lut, Yunus dan lain-lain hanya berpada dengan seorang nabi sahaja. Namun kepada mereka, banyak nabi yang diutuskan, antaranya Nabi Yaakob, Yusuf, Daud, Sulaiman, Musa, Harun dan yang terakhir Nabi Isa. Ada juga nabi-nabi lain yang tidak disebutkan namanya dalam al-Quran. Jadi banyaklah ceritanya.

yahudi-watak-antagonis-1

Wahai Bani Israel

Soalan: Al-Quran diturunkan untuk orang Islam umat Nabi Muhammad. Jadi mengapa pula ada banyak ayat al-Quran yang menyeru orang Yahudi?

Hal ini menambahkan lagi kewajaran tentang persoalan bangsa Yahudi yang banyak disebut dalam al-Quran. Seperti yang disebutkan sebelum ini, bangsa Yahudi merupakan satu-satunya bangsa yang pernah diutus nabi yang masih wujud ketika al-Quran diturunkan. Bahkan apa yang menariknya, sebahagian suku mereka ada bersama Nabi ketika wahyu diturunkan. Bukankah pada ketika itu ada beberapa suku bangsa Yahudi antaranya Bani Quraizah dan Nadhir?

Kita semua maklum bahawa kesemua kabilah Yahudi tersebut akhirnya menentang Nabi Muhammad. Walhal mereka pernah diutuskan nabi sebelum itu dan sudah berpengalaman hidup bersama para nabi. Sepatutnya merekalah kaum yang paling terkedepan membela Nabi. Justeru, ayat demi ayat yang menyeru mereka sebagai peringatan atas perangai buruk mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Ramai daripada ahli kitab berharap agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana kedengkian yang ada dalam diri mereka sendiri setelah nyata bagi mereka kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 109)

Dari aspek yang lain pula, situasi ini menjadi perhatian buat umat Islam pada zaman Nabi berkenaan bangsa Yahudi. Betapa bahayanya mereka. Seterusnya ia menjadi perhatian dan panduan buat umat Islam terkemudian dalam berinteraksi dengan mereka.

Allah mengingatkan dengan mafhumnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin. Sebahagian mereka ialah pemimpin bagi sebahagian yang lain.

“Sesiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah al-Ma’idah: 51)

Muhammad Luqman Makhtar

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Muhammad Luqman Makhtar

Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Fiqh dan Usul al-Fiqh), UIAM. Pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Selayang. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

special-4157 special-4099special-3928

 

Kembali ke atas