Menu

 

A+ A A-

SEPINGGAN DOSA BERULAM PAHALA

SAYA telah menerima emel dari seorang muslimah dan saya menggunakan istilah muslimah untuk mengistilahkan dirinya di alam realiti. Namun masalah yang muslimah ini hadapi menjadikan saya sugul. Percaya atau tidak, kes sepertinya sudah amat banyak yang sampai kepada emel saya secara anonimus. Supaya warga kampus bangun mencelikkan mata, saya perturunkan salinan emel jawapan saya kepada muslimah tersebut (secara anonimus), untuk muhasabah pembaca sekalian.

Kes-Kes Dosa Yang Semakin Menular Dalam Masyarakat Kita

"Assalamualaikum. Kepada Allah juga saya mohon petunjuk dan perlindungan. Terdiam ustaz membaca emel saudari. Kerana ini adalah emel yang entah ke berapa menceritakan kes yang sama. Percaya atau tidak, kes seperti ini semakin menular di kalangan generasi sebaya saudari, sekurang-kurangnya pada apa yang sampai ke pengetahuan saya.

Ustaz perlukan banyak masa untuk merenung dan berfikir, di manakah silapnya. Antara kes sebelum ini, seorang muslimah berjubah dan bertudung labuh, sangat mengasihi teman lelakinya. Jam 4 pagi, beliau menghantar SMS mengingatkan teman lelakinya agar bangun bertahajjud - tetapi kemudian rahsianya terbongkar bahawa muslimah itu sebenarnya adalah ISTERI ORANG.

pinggandosa-2

Jangan Berani Buat Hukum Sendiri

Semakin ramai siswa dan siswi serta muda-mudi hari ini berani membuat hukum sendiri bahawa kononnya cinta mereka adalah suci kerana mereka ber‘SMS’ hal-hal iman dan amal serta nasihat-nasihat yang baik. Namun, hakikatnya yang terangsang bukanlah keinginan untuk beribadah dan beramal, tetapi gelodak nafsu dan tipuan yang licik daripada syaitan.

Ustaz tak tahu nak mula dari mana. Tetapi subjek utama dalam masalah ini adalah diri saudari sendiri. Bukan soal teman lelaki saudari, bukan soal apa yang Allah qadha dan qadarkan ke atas diri saudari, bukan bakal anak yang nanti terkesan oleh dosa yang anda berdua sedang lakukan hari ini. Semuanya adalah persoalan diri saudari sendiri. Sama ada saudari mahu mengubah keadaan ini atau tidak. Itu sahaja.

Jika saudari benar-benar mahu bertaubat, taubat dari belenggu dosa seperti ini harus disertakan dengan hijrah. Jika setiap kali bertemu atau ber’SMS’ dengan si dia mengingatkan saudari kepada dosa yang ‘manis’ itu, maka saudari mesti jujur dalam menilai buruk dan baik. Apatah lagi ia bukan hanya soal perasaan. Ia adalah perasaan yang sudah direalisasikan oleh zina kecil sebelum zina besar sebagaimana yang saudari jelaskan. Maka ia bukan lagi soal mainan perasaan. Anda berdua sebenarnya telah saling menjadi punca maksiat kepada satu sama lain.

Jika hubungan ini diteruskan, saudari dan teman itu akan memikul kesannya di kemudian hari, di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Rumahtangga yang dibina di atas tapak maksiat kelak akan dihukum oleh Allah dengan krisis yang tak kunjung padam. Rumahtangga yang dibina selepas banyak kemaksiatan dan keterlanjuran, akan dihukum oleh Allah dengan perasaan syak wasangka yang bakal menyelubungi perkahwinan itu.

pinggandosa-1

Masing-masing telah berjaya membuktikan bahawa Allah ‘telah kalah’ dalam perhubungan antara kedua-dua anda. Maka, di masa depan nanti, suami akan sentiasa berfikir, jika saudari berani melawan Allah bersamanya, apa lagi yang mampu menyekat saudari dari melakukan perkara yang sama dengan lelaki lain. Saudari juga akan berfikir, jika dia pernah berani beberapa kali membelakangkan Allah dalam perhubungan ini bersama saudari, apa yang boleh menghalangnya dari melakukan perkara yang sama dengan perempuan lain. Itulah antara bala yang mungkin Allah datangkan.

Inilah yang ustaz temui di sepanjang pengalaman hidup, bertemu dengan pasangan yang pernah berdosa sebelum berumahtangga. Amat berat hukuman Allah apabila sebuah rumahtangga dibina tanpa kepercayaan di antara satu sama lain. Ia adalah hukuman dunia sebelum hukuman Akhirat. Bahkan, hukuman di akhirat lebih dahsyat lagi dan bila sampai pada hukuman di akhirat, tidak ada lagi jalan taubat dan seksaannya selama-lamanya.

Bertindak Segera Sebelum Terus-Menerus Terlanjur

Jika saudari dan si dia masih bertarung dengan perasaan, maka ustaz boleh menasihati agar kalian berdua saling berusaha untuk menjaga diri dan mempercepatkan perkahwinan. Tetapi saudari dan si dia sudah saling bersentuhan, maka sama ada segeralah berkahwin, jika berani berdepan dengan risiko itu (mudah-mudahan terhindar dengan taubat bersama yang benar-benar tulen) atau saling berhijrahlah dengan berpisah dan meninggalkan satu sama lain, sejauh mungkin serta tidak lagi mengadakan apa-apa hubungan walaupun dengan SMS.

Mulakan hidup baru dan mohonlah petunjuk dariNya. Ustaz bersimpati dengan gelora yang saudari hadapi, tetapi ustaz enggan menghulurkan simpati itu andai ia menyebabkan saudari mendapat ketenangan (yang palsu sahaja) kerana tidak ada sumber penyelesaian kepada konflik ini kecuali taubat dan hijrah. Itulah sumber penyelesaian dan ketenangan yang hakiki.

pinggandosa-3

Jangan Kotori Kesucian Dengan Maksiat

Lelaki dan perempuan yang baik bukanlah yang memakai kosmetik Islam pada SMS berbau Islam atau pakaian berwarna Islam, tetapi pada kekuatan menghalang diri dari saling mengotorkan pasangan dengan maksiat. Betulkan kembali penilaian saudari terhadap si dia yang saudari katakan ‘baik’ itu. Kerana orang yang sanggup bersama-sama berkongsi maksiat dan dosa dengan saudari tanpa mengajak bersama-sama pulang ke pangkal jalan kebenaran (Islam) dan menjaga maruah, bukanlah jenis orang yang boleh dianggap ‘BAIK’. Sebenarnya dia ialah syaitan yang bertopengkan manusia yang sedang menipu saudari dengan janji-janji manis.

Sesungguhnya cabaran selepas berkahwin adalah jauh lebih berat berbanding dengan sekadar cabaran mengelak dari zina sebelum kahwin. Jika ini pun gagal, muhasabahlah diri segera sebelum melangkah ke usia dewasa yang lebih mencabar itu. Ustaz doakan saudari beroleh kekuatan dan petunjuk dari Allah untuk menyusun kembali kehidupan. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya.

Tiada siapa yang mampu membantu saudari kecuali saudari sendiri sebagai tuan empunya kepada diri dan kehidupan. Peratus besar perubahan berada di dalam diri sendiri, nasihat ustaz tidak memberi erti seandainya saudari tidak mahu ikuti dengan kesedaran untuk bertaubat dan membaiki diri." ¤

Hasrizal Abdul Jamil
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu Perdana

 


 

Hasrizal Abdul Jamil

Lahir di Ipoh, Perak dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Hons) Syariah dan Pengajian Islamic, dari Universiti Mu’tah, Jordan. Berpengalaman sebagai guru, pengetua dan imam sambilan di Northen Ireland, dan pernah menjadi Pen. Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Sedang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana, Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Tamadun) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Di samping sebagai kolumnis beberapa majalah, beliau kini beliau sebagai kaunselor pesakit di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Beliau aktif di dalam laman web beliau, www.saifulislam.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

gb0043 gb0043

Kembali ke atas