Menu

 

A+ A A-

SAMBUTAN HARI IBU

PANDANGAN islam mengenai hari ibu?

Manusia merupakan ciptaan Allah yang mulia, sehingga para malaikat bersujud kepadanya iaitu Nabi Adam a.s. selepas dia diciptakan. Seorang insan yang lahir ke dunia berasal daripada persenyawaan benih lelaki dan perempuan sebelum melalui peringkat penciptaan seterusnya yang akhirnya akan lahir ke dunia. Tempoh lebih kurang 9 bulan berada di dalam rahim membuktikan betapa besarnya pengorbanan ibu yang mengandungkannya sehingga ia bersedia untuk menuju keluar melihat alam.

Bukan itu sahaja, dia disusukan dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh sebelum mampu mempelajari sesuatu bagi meneruskan kehidupan sebagai seorang manusia.

Islam menggalakkan manusia menghormati sesama mereka tanpa mengira jenis, keadaan dan warna kulit. Tambahan pula, jika individu tersebut merupakan sebab kelahiran seorang manusia lain yang lebih perlu dihormati. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (sejak awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman 31: 14)

Ia merupakan suatu tuntutan yang cukup besar apabila Allah s.w.t. menyebutkan dalam ayat yang lain bahawa ia datang selepas perintah supaya beribadah, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan Tuhan mu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada- Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali sampai pada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakan kepada mereka dengan perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’ 17: 23)

Manakala Nabi Muhammad s.a.w. pula turut menyebutkan bahawa seorang ibu sangat wajar diberikan layanan yang baik sehingga mendahulukannya daripada seorang ayah. Sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:

“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya: ‘Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak untuk aku berbuat baik?’ Baginda bersabda: ‘Ibumu.’Dia berkata: ‘Kemudian siapa?’

Baginda menjawab: ‘Ibumu.’

Dia berkata: ‘Kemudian siapa?’

Baginda menjawab: ‘Ibumu.’

Dia berkata: ‘Kemudian siapa?’

Baginda menjawab: ‘Kemudian ayahmu.”

Perkataan ibu dalam bahasa Arab disebut sebagai alum dan ia mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Sebab itulah ia mempunyai banyak makna apabila digunakan dalam binaan ayat yang berbeza. Antaranya maksudnya ialah ibu, ketua, tempat tinggal, orang yang memberi khidmat kepada sesuatu kaum pada makanan mereka dan sebagainya. Contohnya ayat Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, Maka umm-nya (tempat kembalinya) ialah ‘Hawiyah’. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘hawiyah’ itu? (‘hawiyah’ itu ialah): Api yang panas membakar.” (Surah al-Qari‘ah 106: 8-11)

Begitu juga dengan Makkah yang turut digelar Umm al-Qura apabila ia diertikan dengan kawasan yang mempunyai kedudukan yang mulia iaitu menjadi kiblat umat Islam. Surah al-Fatihah pula digelar sebagai Umm al-Kitab kerana kandungannya yang merangkumi aspek-aspek penumpuan utama kandungan al-Quran.

Islam tidak membezakan penisbahan “ibu” kepada mereka yang melahirkan anak dengan cara yang betul iaitu nikah atau salah seperti zina. Apa yang penting, insan yang bersusah payah mengandungkan dan melahirkan manusia layak mendapat penghormatan sebagai seorang ibu. Banyak kaedah yang diajarkan Islam bagi menghormati seorang ibu seperti membantunya, mengasihinya, mendoakannya dan sebagainya.

Masyarakat pada hari ini sudah dikatakan sinonim dengan sambutan hari ibu yang dirayakan pada bulan Mei setiap tahun. Ia sebagai memperingati jasa ibu yang telah bersusah payah demi membesarkan dan memelihara anaknya. Pelbagai penghormatan dizahirkan daripada seorang anak kepada ibunya bersempena dengan tarikh ini. Namun, apakah pandangan Islam padanya? Sebuah hadis riwayat al-Hakim ada menyebutkan iaitu; daripada Sulaiman bin Buraidah, daripada ayahnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menziarahi kubur ibunya bersama sama 1000 pasukan berkuda yang lengkap bersenjata, dan Baginda tidak pernah dilihat menangis lebih banyak daripada hari itu (hari menziarahi kubur ibunya).”

Jika kita telah mengetahui kedudukan perkataan “ibu” yang tinggi pada segenap sudut, maksudnya, penggunaannya, dan peranannya maka seharusnya dia diberikan suatu keistimewaan yang khusus bagi meraikan pengorbanannya.

Oleh sebab itu, syarak mengharuskan sambutan perayaan ini bagi tujuan memuliakan dan meraikan mereka dengan sebaiknya tanpa dilaksanakan dengan cara yang bertentangan dengan agama. Tambahan pula, sikap menghormati ibu bapa sudah semakin luntur disebabkan keadaan masyarakat yang semakin hilang nilai-nilai murni di dalam diri masing-masing.

Apakah  hukum menyambut hari ibu?

Perlu diberi perhatian antara tanda sesuatu amalan itu ditolak dalam ajaran Islam disebabkan menyalahi syariat yang telah digariskan melihat kepada tujuan ia dilaksanakan. Jika ia dilaksanakan dengan tujuan yang betul dan mengikut landasan agama maka ia diberi keharusan. Samalah keadaannya seperti hari ibu yang diraikan saban tahun, apabila Islam melihatnya sebagai suatu acara yang dibenarkan. Baginda s.a.w. juga membenarkan masyarakat Arab meraikan hari kebangsaan mereka apabila ia diisi dengan nyanyian kabilah yang menaikkan semangat serta pada hari-hari kemenangan mereka.

Kesimpulannya, sambutan hari ibu dan seumpamanya seperti meraikan kemenangan, keamanan dan sebagainya adalah dibenarkan Islam berdasarkan tujuan yang terdapat padanya. Manakala perkara yang tertolak itu apabila ia dilaksanakan tanpa tujuan yang betul dan tidak dilaksanakan mengikut kehendak syarak.

 

Sumber: Laman web Dar al-Ifta’ al-Mishriyyah (www.daralifta.ogr)

 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 01


 

 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas