Menu

 

A+ A A-

JUJURLAH KERANA KITA ORANG BERIMAN

PERKATAAN seperti jujur dan amanah selalu muncul dalam percakapan dan perbuatan kita setiap hari. Mudah untuk diucapkan tetapi sukar untuk dilakukan. ringan di lidah, tetapi berat untuk direalisasikan.

Soal kejujuran dan amanah ini sebenarnya bukan masalah boleh ataupun tidak. Tetapi soalnya mahu ataupun tidak mahu, kerana sebagai seorang Muslim, iman dan islam kita sepatutnya bersatu dengan kejujuran itu. Bagi orang yang beriman, sifat jujur dan amanah ini menjadi jati diri dan cara hidup seharian. Rasulullah ketika ditanya: “Adakah seorang yang Mukmin itu boleh menjadi pengecut?” Baginda s.a.w. menjawab, maksudnya: “Ya.”

Tetapi ketika ditanya: “Adakah seorang Mukmin itu juga berbohong?” Dengan tegas Baginda s.a.w. menjawab, maksudnya: “Tidak, orang Mukmin tidak berbohong.” Hadis ini menegaskan bahawa jujur itu sepatutnya menjadi prinsip yang bersatu dengan jiwa dan mendarah daging dalam diri seseorang Mukmin itu.

Jujur adalah persoalan memilih antara kebenaran yang diyakini dengan pendustaan yang akan sentiasa membelenggu dan membuatkan kita tidak tenang. Tugas dan tanggungjawab kita setiap hari sering kali melibatkan soal jujur dan amanah ini sama ada kita sedar ataupun tidak. Sering kali kejujuran ini hilang dek godaan, sama ada untuk kepentingan diri atau mencari keuntungan.

Ramai pekerja yang menyeleweng, rasuah di sana sini, mengguna harta syarikat untuk kepentingan peribadi, curi tulang dan sebagainya. Mungkin kerana godaan yang menggiurkan di depan mata mampu mematikan kejujuran kita

Darjat diangkat kerana Jujur

Mubarak ialah ayah kepada Abdullah bin Mubarak, ulama yang terkenal. Beliau penah bekerja di sebuah kebun pokok delima milik seorang saudagar dari negeri Hamdzan. Pada satu hari majikannya datang kepadanya dan berkata: “Wahai Mubarak, aku ingin rasa buah delima yang manis.” Mubarak lantas bergegas menghampiri sebatang pohon delima dan memetik buahnya. Majikannya pun membelah dan memakan buah delima itu, tetapi memarahinya kerana rasa buah tersebut sangat masam. “Aku meminta yang manis, tetapi kamu ambil yang masam. Ambilkan aku yang manis!” bentaknya.

Mubarak pun segera berlari memetik buah delima dari pohon yang lain. Setelah dimakan ternyata rasanya sama, masam juga. Majikannya semakin marah. Dengan rasa takut, beliau lantas memetik lagi buah delima untuk kali ketiga. Setelah itu majikannya bertanya: “Apakah engkau tidak tahu membezakan mana yang manis dan mana yang masam?”

Mubarak menjawab: “Tidak.” “Mengapa?” majikannya bertanya hairan. “Aku tidak pernah memakan buah dari kebun ini sehingga aku benar-benar pasti ia halal untukku,” jawabnya. “Mengapa begitu?” tanya majikannya lagi.

Jawab Mubarak: “Kerana aku hanya disuruh menjaganya, bukan disuruh memakannya.” Pemilik kebun itu terkesima mendengar jawapan Mubarak itu. Dia hanya seorang penjaga kebun tetapi sangat jujur dan amanah. Diri Mubarak begitu mulia di matanya, sehingga anak perempuannya yang sering dilamar orang ditawarkan untuk berkahwin dengan Mubarak.

Majikannya berkata: “Wahai Mubarak, pada pandanganmu siapakah yang layak untuk memperisterikan puteriku ini?” Mubarak menjawab: “Orang jahiliah dahulu menikahkan puteri-puteri mereka mengikut keturunan. Orang Yahudi pula berkahwin kerana harta, orang Nasrani kerana kecantikan rupa parasnya. Dan umat ini berkahwin kerana agama.” Majikan semakin takjub dengan jawapan Mubarak.

Lalu dia berbincang dengan isterinya dan berkata: “Pada pandanganku tiada yang lebih layak untuk dijodohkan dengan puteri kita ini selain daripada Mubarak.” Mubarak pun dinikahkan dengan puterinya. Dahulu majikan, kini menjadi mertuanya dan mewarisi harta yang melimpah ruah. Daripada perkahwinan ini, lahirlah Abdullah bin Mubarak, seorang alim dan ahli hadis yang zuhud.

Pada hari ini, penipuan dan pembohongan sudah semakin berleluasa dalam kehidupan kita. Sukar untuk mencari orang yang benar-benar jujur dan amanah dalam masyarakat. Terlalu ramai orang yang tahu perlunya berlaku jujur, tetapi sangat sedikit daripadanya yang mahu bersifat jujur.

Kejujuran itu sepatutnya bersatu dalam keimanan seorang Muslim yang menjadikan dia seorang yang beriman.


Oleh Mahfuzah Omar
Sumber artikel daripada majalah Gen Q 7

 


 

Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas