Menu

 

A+ A A-

DAJJAL MATA SATU

Rasulullah s.a.w. berkali-kali mengingatkan umatnya tentang Dajal, seperti juga yang dilakukan nabi-nabi sebelum ini.

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya aku memperingatkan kalian tentangnya. Tidak ada seorang nabi melainkan ia memperingatkan kaumnya tentang Dajal. Akan tetapi aku akan memberitahu kalian sesuatu yang tidak disampaikan nabi sebelumku. Sesungguhnya Dajal itu bermata satu; dan Allah tidak bermata satu.” (Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. kemudian menceritakan sifat fizikal Dajal secara terperinci hingga setiap Muslim sepanjang zaman akan dapat mengenalinya dengan mudah.
 
Secara mudahnya digambarkan bahawa dia adalah seorang lelaki berbangsa Yahudi, bertubuh besar, berkulit merah, kakinya renggang ketika berjalan, rambutnya keriting, mata kanannya cacat bagai sebuah anggur yang mengapung di air, dan tertulis di atas dahinya “kafir”. Setiap Muslim yang dapat menundukkan kepalanya pasti dapat membaca tulisan ini dengan jelas, meskipun ia buta huruf.

Al-Hafiz Ibn Katsir dalam Al-Nihayah berkata, “Dajal tampil pertama kali sebagai seorang penguasa yang kejam, ia kemudian mengaku nabi, lalu mengaku tuhan.”
 
Kenyataan ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Sunan Ibn Majah dari Abu Umamah Al-Bahili dalam sebuah hadis panjang. Selain itu Rasulullah s.a.w. juga menceritakan bahawa Dajal keluar dari arah Timur, tempatnya dari kota Isbahan, lalu diikuti oleh 70 ribu Yahudi bersenjata lengkap dan berserban hijau. Jumlah pengikutnya bertambah ramai setelah 70 ribu tentera Mongol (Tatar) dan penduduk Khurasan bergabung dalam barisannya.

Dajal berjalan dengan mulus dan cepat hingga kota-kota besar di seluruh dunia jatuh ke tangannya hanya dalam waktu singkat. Tidak ada yang terlindungi daripada ketakutan yang disebarkan tentera Dajal selain Makkah dan Madinah. Seluruh dunia pada saat itu diliputi ketakutan sehingga Rasulullah s.a.w. bersabda, “Semua manusia akan melarikan diri daripada Dajal dan bersembunyi di puncak-puncak gunung.” (Riwayat Muslim)

Kehadiran Dajal hanya 40 hari saja namun hari-hari ini dirasakan lama sama seperti satu tahun dua bulan setengah. Sebab hari pertama Dajal panjangnya seperti satu tahun. Hari yang kedua bagai satu bulan. Dan hari ketiga bagai satu minggu. Hari-hari berikutnya sama dengan hari-hari biasa.

Dajal: Penutup Para Pendusta

Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban meriwayatkan daripada Samurah bin Jundab bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Demi Allah, tidak akan terjadi kiamat sebelum keluar tiga puluh orang pendusta. Yang terakhir ialah dajal yang bermata satu (a’war), terhapus mata kirinya seperti mata Abu Yahya (atau Abu Tahya, seorang tua daripada Ansar). Apabila keluar, ia akan mengaku sebagai Tuhan. Barang siapa yang mempercayai dan mengikutinya, maka tidak berguna amal ibadah yang telah ia lakukan sebelum itu. Dan barang siapa yang mendustakannya, maka ia tidak akan diseksa dengan amal perbuatan yang telah dilakukannya sebelum itu.”

Hadis ini menunjukkan bahawa Dajal merupakan penutup para pendusta dalam sejarah kemanusiaan. Ia juga merupakan pembohong terbesar yang pernah lahir di muka bumi sejak Allah s.w.t. menciptakan alam semesta. Dalam Musnad al-Harits bin Abi Usamah, terdapat sebuah riwayat daripada Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda tentang Dajal, “Ia bermata satu dan ia pendusta terbesar (asyaddul kazzabin).”

Fitnah yang dibawanya juga merupakan fitnah yang terbesar. Imam Ahmad meriwayatkan dari Hisyam bin ‘Amir Al-Anshari bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sejak Allah menciptakan Nabi Adam hingga terjadinya kiamat, tidak ada fitnah yang lebih besar daripada (fitnah) Dajal.”

Dajal dikatakan mampu memperlihatkan seolah-olah ia dapat menghidupkan orang mati, menurunkan hujan, menumbuhkan tanam-tanaman dan membawa segunung makanan ketika manusia sedang kelaparan. Orang yang menyambut seruannya akan hidup bergelimang dengan kenikmatan, sementara yang menolaknya akan terseksa dalam kesengsaraan. Semua ini merupakan fitnah yang sangat berat bagi manusia pada saat itu.

Oleh sebab besarnya fitnah Dajal, Rasulullah s.a.w. mengajarkan kita supaya berdoa minta diselamatkan daripada fitnah itu. Sabdanya: “Sesiapa antara kamu yang mendengar berita keluarnya Dajal, maka jauhkanlah darinya kerana orang menemui Dajal akan menyangka bahawa dia seorang Mukmin, lalu menjadi pengikutnya akibat terpengaruh dengan apa yang dilihat.” (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

Walau bagaimanapun Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita bahawa semua itu adalah tipu daya belaka. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Huzaifah bin Al-Yaman bahawa Nabi s.a.w. bersabda tentang Dajal, “dia membawa bersamanya air dan api. Hakikat apinya adalah air yang sejuk dan airnya adalah api.” Jadi seorang mukmin yang kebetulan tidak mampu menghindar dari Dajal harus tegas mengambil keputusan melompat ke dalam apinya.

Kejahilan ilmu

Ketika membaca pelbagai riwayat yang menceritakan kejayaan Dajal menarik pengikut di seluruh dunia, timbul persoalan di hati saya, bagaimana mungkin seseorang yang mengaku menjadi Tuhan dapat menarik pengikut yang sangat ramai? Tidakkah mereka memiliki kemampuan untuk membezakan sifat-sifat tuhan dengan makhluk?

Namun hasil pembacaan lanjut, akhirnya saya menemui satu kesimpulan bahawa kejayaan Dajal banyak dibantu oleh keadaan masyarakat dunia pada saat itu sangat miskin dengan ilmu. Saya tidak bermaksud ilmu sains dan teknologi, akan tetapi ilmu yang membahaskan tentang sifat yang wajib dan mustahil bagi Allah s.w.t, Tuhan alam semesta.

Bagi mereka yang mendalami ilmu tauhid pasti tahu bahawa Allah s.w.t. berbeza sama sekali dengan makhluk (mukhalafah lil hawadith) sama ada dalam sifat, zat atau perbuatan-Nya. Jadi, jika Tuhan itu sama dengan makhluk dalam salah satu daripada tiga itu, maka ia bukanlah Allah tetapi ialah makhluk, yang memerlukan khaliq (pencipta).

Dalil naqli berkenaan hal ini sangat banyak, misalnya firman Allah, ”Tidak ada yang seperti-Nya sesuatupun.” Dan dalam surah al-Ikhlas ayat 4 Allah menyebut, ”Tidak ada seorang pun yang setara dengan diri-Nya.” Setiap teks al-Quran atau hadis yang menyebut beberapa penyerupaan Allah dengan makhluk, seperti nisbah tangan dan muka kepada zat Allah s.w.t., para ulama salaf dan khalaf mempunyai kefahaman yang tegas.

Jadi, sangat mustahil bagi orang yang memiliki akidah tauhid seperti ini boleh terpengaruh dan menjadi pengikut Dajal apalagi mengakuinya sebagai Tuhan. Namun ilmu tentang ketuhanan ini semakin lama semakin pupus sehingga ketika Dajal keluar di akhir zaman sebahagian besar manusia berbondong-bondong beriman dan menjadi pengikutnya. Barangkali ketika itu sudah tidak ada orang yang beriman.

Al-Hakim dan al-Thahawi meriwayatkan dari Jabir bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Dajal keluar ketika agama sudah sangat sedikit dan ilmu telah ditinggalkan...”

Abdurazaq dan al-Hakim juga meriwayatkan bahawa ketika orang ramai mengatakan Dajal telah keluar di Kufah, seorang sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Huzaifah bin Usaid dengan tegas berkata, “Jika Dajal keluar pada hari ini, nescaya anak-anak akan melemparinya dengan batu. Tetapi dia akan keluar ketika manusia telah berkurang, pada saat makanan sangat sedikit, ikatan sesama manusia juga rosak, agama telah lemah dan ahli (agama) sangat kurang...”

dajjai

Nabi s.a.w. Sering Mengingatkan Sifat Dajal

Rasulullah s.a.w. selalunya akan mengingatkan sifat Allah s.w.t. setiap kali beliau menyebut Dajal. Misalnya Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak samar terhadap kalian, sesungguhnya Allah tidak bermata satu (a’war), Baginda lalu menunjuk matanya, sesungguhnya al-Masih Dajal bermata satu.” (Riwayat al-Bukhari)

Bermata satu melambangkan kecacatan yang sangat ketara dan jelas bagi manusia. Kecacatan itu menjadi bukti bahawa dia bukan Tuhan. Sebaliknya Allah s.w.t. memiliki sifat-sifat kesempurnaan yang sesuai dengan keagungan-Nya.

Rasulullah juga bersabda, “Kalian tahu bahawa tiada siapa yang dapat melihat Tuhannya sebelum mati.” (Riwayat Muslim)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan, “Hadis ini mengandungi peringatan bahawa pengakuan Dajal sebagai Tuhan merupakan suatu pembohongan. Sebab melihat Allah hanya selepas kematian, namun Dajal mengaku sebagai Tuhan, padahal para manusia mampu melihatnya sebelum mati.”

Jelas, tidak ada benteng yang paling kukuh bagi melindungi diri seseorang daripada tipu daya Dajal melainkan ilmu dan keteguhan hati. Bahkan banyak riwayat yang menceritakan bahawa orang yang berilmu akan tampil sebagai pejuang yang gagah berani menentang Dajal. Manakala Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Sekelompok daripada umatku akan selalu (berpegang kepada) kebenaran dan mengalahkan musuh mereka hingga generasi terakhir dari mereka akan memerangi Dajal.” Menurut Imam al-Bukhari mereka adalah ahli ilmu.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketika Dajal keluar, seorang lelaki Mukmin datang untuk menghadapinya. Dia terus berjumpa dengan pasukan Dajjal, lalu dia ditanya: “Kamu hendak pergi ke mana?” Dia menjawab, “Aku ingin mendatangi orang yang keluar ini.” Mereka bertanya lagi, “Tidakkah kau beriman dengan tuhan kami?” Ia menjawab, “Tuhanku sangat jelas.” Mereka lalu berkata, ”Bunuh dia.” Namun sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, “Bukankah tuhanmu melarang untuk membunuh seseorang tanpa kehadirannya?” Mereka lalu menangkap dan membawanya kepada Dajal. Ketika lelaki Mukmin ini melihat Dajal, ia berkata, “Wahai manusia, inilah Dajal yang telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w.”

Kematian Dajal

Pasukan Muslim yang menentang Dajal sangat sedikit jumlahnya dan mereka tidak cukup kuat untuk mengalahkan pasukan Dajal yang menguasai seluruh dunia Ketika itu. Mereka sangat terdesak hingga akhirnya terkepung di sekitar Baitul Maqdis. Ketika keadaan semakin genting, Nabi Isa putera Maryam a.s. diturunkan Allah dari langit dengan diiringi oleh dua malaikat di kanan dan kirinya. Beliau turun di Menara Timur kota Damsyik lalu memimpin pasukan Muslimin melawan pasukan Dajal.
 
Sejurus melihat Nabi Isa a.s., Dajal berasa amat takut. Tidak lama kemudian, pasukannya kalah dan Nabi Isa berjaya membunuhnya di Bab Ludd, Palestin.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, ”Ketika musuh Allah melihat Nabi Isa, ia mencair bagaikan cairnya garam di dalam air. Jika dibiarkan dia akan terus mencair hingga binasa. Namun Allah (telah menentukan) untuk Nabi Isa membunuhnya. Dia lalu memperlihatkan kepada mereka darah Dajal di hujung tombaknya.”

Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas