Menu

 

A+ A A-

AMBIL PEDULI HALAL DAN HARAM

Kemudahan Pelanggan Muslim

Saya seorang yang sering mengembara. Namun saya sering mendapati hotel-hotel tidak memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang Islam seperti makanan halal dan kemudahan solat. Apa pandangan ustaz?

Jawapan

Industri halal kini semakin berkembang. Halal kini juga meliputi bidang pelancongan dan perjalanan. Sebagai Muslim, anda berhak untuk mendapatkan perkhidmatan yang sesuai bagi keperluan seseorang Muslim. Kini terdapat hotel-hotel yang mesra pelanggan Muslim dan memberikan kemudahan dan servis yang terbaik bagi seorang Muslim mengamalkan cara hidup Islam di hotel tersebut. Bahkan terdapat sesetengah hotel yang benar-benar memberikan servis secara Islamik seperti kemudahan solat Jumaat, bebas alkohol dan khinzir, dan pekerja-pekerjanya menutup aurat. Walaupun begitu, sebagai pengguna Muslim, anda boleh mengambil perhatian terhadap beberapa perkara seperti di bawah:

1. Makanan dan minuman yang halal. Jadi ia mestilah dimasak di dapur yang berasingan dan disediakan di restoran yang berasingan. Peralatan pinggan mangkuk, gelas dan cawan juga hendaklah berasingan dengan restoran yang tidak halal/tidak mendapat sijil halal.

2. Pengasingan waktu atau kemudahan berasingan antara lelaki dan perempuan bagi perkhidmatan kolam mandi, spa dan gimnasium.

3. Jadual waktu solat dan tempat solat.

4. Arah kiblat di setiap bilik dan dewan.

5.Peralatan beribadah seperti sejadah, telekung dan tempat khas mengambil wuduk.

6. Sabun, ubat gigi dan syampu halal sekiranya disediakan oleh pihak hotel.

7. Housekeeping lelaki (pekerja yang mengemas bilik) untuk bilik lelaki dan housekeeping perempuan bagi bilik perempuan manakala bagi bilik berkeluarga dengan housekeeping lelaki.

halal haram

Sembilan Perkara Haram Yang Disepakati Ulama

Saya dapati pelbagai pendapat tentang hokum najis dan perkara haram berkaitan dengan produk halal. Bolehkan ustaz jelaskan kedudukan perkara haram dan najis dalam Islam?

Jawapan

Menurut Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam kitab fiqahnya yang masyhur Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, beliau menyatakan terdapat sembilan perkara haram yang disepakati oleh para ulama sepertimana tersebut:

1. Daging babi

Daging babi haram dimakan walaupun ia disembelih secara syarak. Ia dihukum sebagai najis “ain” (zat) berdasarkan nas al- Quran. Maka dengan itu daging dan kesemua sekali bahagian badannya seperti bulu, tulang dan kulit dihukum najis biarpun disamak kulitnya.

2. Darah

Darah manusia dan darah binatang (selain daripada binatang laut) yang mengalir sama ada semasa hidupnya atau sesudah matinya. Walaupun begitu jantung, limpa dan hati tidak termasuk dalam hukum najis.

3. Air kencing, muntah dan najis manusia

Semuanya dihukum najis kecuali air kencing kanak-kanak yang menyusu. Menurut mazhab Syafi‘i dan Hanbali, penyuciannya memadai dengan membersihkannya dengan merenjiskan air ke atasnya sahaja. Begitu juga air kencing binatang yang tidak dimakan dagingnya, tahi dan muntahnya hukumnya najis.

4. Arak

Arak adalah najis menurut pendapat majoriti fuqaha kerana Allah berfirman dalam surah al- Maidah ayat 90 yang bermaksud: “Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan menilik nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan.”

5. Nanah

Nanah ialah sejenis darah yang rosak. Ia tidak bercampur dengan darah biasa yang tidak rosak. Nanah adalah najis kerana pada asalnya ia darah yang berubah.

6. Daging bangkai binatang darat yang darahnya mengalir

Binatang ini sama ada harus dimakan dagingnya ataupun tidak seperti anjing, kambing, kucing, burung-burung kecil dan seumpamanya. Hukumnya sama dengan kulit bangkai yang belum disamak.

7. Daging dan susu binatang yang tidak boleh dimakan.

Daging binatang yang tidak boleh dimakan, maka susunya dihukum najis. Ini kerana susunya berpunca daripada dagingnya. Maka hukumnya sama dengan hokum dagingnya iaitu haram.

8. Bahagian anggota yang terpisah

Bahagian anggota yang terpisah ataupun yang terputus daripada badan binatang semasa ia masih hidup seperti tangan, ekor atau punggungnya adalah haram dan najis kecuali bulunya. Sabda Nabi yang bermaksud: “Mana-mana bahagian daripada badan binatang yang terputus atau terpotong ketika ia masih hidup, maka dikira sebagai bangkai.”

9. Air mazi dan wadi

Air mazi ialah cecair putih yang keluar pada saat memuncaknya nafsu seseorang. Wadi pula ialah air putih pekat yang keluar selepas kencing atau ketika menanggung sesuatu yang berat atau dalam keadaan keletihan, keduanya dihukum najis.

halal haram1

 

 

Ustaz Fahrul Irfan Ishak

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

 

 

 

 

 

Fahrul Irfan bin Ishak

Lulusan B.A (Hons) Syariah Islamiah Universiti al-Azhar Mesir. Kemudian memperolehi Master of Comparative Laws, IIUM. Kini sedang mengikuti pengajian PhD in Halal Product Managemenet, UPM. Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur-MITEC

Kembali ke atas