Menu

 

A+ A A-

HUJAN BANYAK NAMUN TETAP KEMARAU

  • Ditulis oleh  Mohd Solleh Abd. Razak
  • Kategori Dosa Pahala
  • Read 9128 times

HUJAN turun ketika menjelangnya kiamat sebagaimana biasa. Memang hujan turun dengan lebat. Namun hujan tersebut tidak mampu untuk menumbuhkan tumbuhan dan kurang bermanfaat untuk kehidupan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Tidak akan tibanya hari kiamat sehinggalah manusia dihujani dengan hujan yang meliputi tempat. Namun bumi tidak menumbuhkan sesuatu pun.” (Riwayat Ahmad)

Daripada hadis ini, kita menyedari bahawa hujan merupakan salah satu faktor yang menyuburkan bumi. Dengan hujanlah tumbuhnya pelbagai tumbuhan yang menghijau. Namun Allah s.w.t. berkuasa untuk menahan sebab tersebut sehingga hujan tidak mampu untuk mempengaruhi keadaan bumi. Justeru, hadis ini mengajar kita bahawa Allahlah yang menciptakan sebab dan akibat, dan berkuasa menentukan setiap perkara mengikut kehendaknya.

Kemarau

Apakah dunia akan mengalami kemarau yang dahsyat?

Menjelang kiamat, bumi tidak mengalami kemarau yang dahsyat, malah hujan turun mencurah-curah. Cumanya, kemarau ketika itu mempunyai tafsiran yang berbeza. Perhatikan tafsiran Rasulullah, mafhumnya:

“Kemarau bukanlah kerana tidak turunnya hujan, tetapi kemarau sebenar ialah kami dihujani dan dihujani (hujan yang banyak), namun bumi tidak menumbuhkan apa-apa pun!” (Riwayat Muslim)

Imam Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih menjelaskan: “Hal ini kerana Allah menahan bumi daripada menumbuhkan sesuatu. Maknanya, jangan kamu menyangka bahawa rezeki dan keberkatan datangnya daripada hujan. Rezeki itu daripada Allah. Bahkan kemungkinan hujan tidak menumbuhkan sesuatu pun. Maka kemarau yang dahsyat bukanlah kerana tidak turunnya hujan.”

Oleh yang demikian, isu pokok yang melanda pada akhir zaman bukanlah isu hujan ataupun tidak. Namun isu pokoknya adalah hilangnya keberkatan dalam kehidupan. Sekalipun rezeki datang mencurah-curah, namun ia gagal untuk dimanfaatkan kerana tiadanya keberkatan.

Keberkatan dan Rezeki

Apakah yang dimaksudkan dengan keberkatan sebenarnya?

Antara ayat al-Quran yang menyebut tentang keberkatan ialah ayat ke-96 surah al-A‘raf. Syeikh Abu Bakar al-Jazairi dalam Aisar al-Tafasir menerangkan bahawa keberkatan dari langit dalam bentuk kebaikan yang berkekalan, berilmu, mendapat petunjuk dan hujan. Manakala keberkatan dari bumi pula dalam bentuk tumbuh-tumbuhan, kesuburan, kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan.

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi dalam kitab tafsirnya ada memberikan tafsiran yang sangat menarik: “Keberkatan ialah seseorang yang dikurniakan sesuatu yang melebihi daripada apa yang ia pinta atau perlukan seperti RM1 sama nilainya dengan RM50. Kita dapati hidupnya dan anak-anaknya dalam keadaan reda, bahagia dan tidak sempit.

“Apabila kita bertanya kepadanya: ‘Bagaimana kamu hidup begini?’

‘Dia menjawab: ‘Inilah keberkatan.”

Menurut Imam al-Sya‘rawi lagi, rezeki ada dua jenis. Beliau berkata: “Manusia sering melihat kepada kuantiti rezeki yang mereka dapat dan cara untuk menambahkannya. Ia disebut sebagai ‘rizq al-ijab’ (dapat ditafsirkan dan diukur).

“Namun manusia lupa tentang jenis rezeki yang kedua iaitu ‘rizq al-salb’ (tidak dapat diukur dan ditafsirkan) iaitu rezeki dalam bentuk dijauhkan daripada sesuatu musibah yang boleh mengurangkan hartanya. Ini seperti seseorang yang dikurniakan kesihatan, maka ia tidak perlu untuk menghabiskan duit untuk kos perubatan. Ini juga adalah salah satu pintu rezeki.

“Sebagai contohnya: Lelaki A mendapat RM1000 sedangkan dia memerlukan RM1500 untuk kos perubatan, kemalangan dan sebagainya. Maka lelaki ini merasa tidak cukup dengan apa yang diperolehnya.

“Lelaki B pula, mendapat RM500 sahaja, tetapi Allah menghindarkan dirinya daripada pelbagai peristiwa yang boleh mengurangkan wang perolehannya seperti kesakitan, kemalangan dan sebagainya.”

Keberkatan Hidup

Bagaimana caranya untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup?

Secara ringkasnya, keberkatan diperoleh dengan mengikuti perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Dalam mengikuti perintah Allah, seseorang perlu menjaga hubungannya dengan Allah dan juga sesama manusia.

Antara amalan yang dianjurkan dalam aspek hubungannya dengan Allah ialah menyediakan ruang masa untuk beribadah, sentiasa beristighfar dan berzikir, sentiasa dalam keadaan berwuduk, solat Dhuha, bersyukur, berusaha dan bertawakal.

Berkaitan aspek hubungan dengan manusia pula ialah berbakti kepada ibu bapa, menjalinkan silaturahim, menunaikan hajat orang lain, membantu orang yang lemah dan sebagainya

daSunnah Ketika Hujan

Adakah terdapat amalan khusus yang disunatkan untuk kita lakukannya ketika hujan?

Ada, antaranya:

1.Doa ketika melihat hujan.

aya1

Bermaksud: “Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat.”(Riwayat al-Bukhari)

2.Doa ketika hujan lebat.

aya2

3.Doa selepas hujan

Bermaksud: “Kita diberikan hujan kerana kurniaan dan rahmat Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

aya3

 

 4.Mengambil berkat dengan air hujan.

Anas bin Malik menceritakan: “Kami pernah bersama Rasulullah semasa hujan. Lalu Rasulullah menyingkap bajunya hingga terkena hujan. ‘Ya Rasulullah, mengapa tuan melakukan demikian?’

Rasulullah menjawab: ‘Kerana hujan itu rahmat yang diciptakan oleh Allah.’” (Riwayat Muslim)

Wallahu a‘lam.

 

Mohd Solleh Abd. Razak

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

 

Kembali ke atas