Menu

 

A+ A A-

BLACK MONEY SCAM

“Bagaimana dengan keputusan tuan? Tuan nak turut serta atau tidak? Tawaran ini hanya saya buat kepada sesiapa yang saya percayai sahaja!” kata Peter Babayaro kepada Hakim dalam bahasa Inggeris pelatnya.“

Jangan risau tuan. Ini bukannya skim atau tipu helah. Apa yang kita perlukan ialah dakwat dan kertas khas. Selepas kertas khas tersebut dicampurkan bersama dakwat khas dan dibiarkan selama dua jam, barulah kertas khas ini akan kering dan bertukar menjadi wang USD100.”

“Saya tidak percaya. Saya hendak tengok dulu buktinya!”

“Ok lah kalau macam begitu. Mari kita keluar dahulu dan balik semula ke bilik ini selepas dua jam nanti. ”

Setelah dua jam berlalu, Hakim dan Peter kembali ke bilik hotel tersebut. Terkejut  Hakim apabila melihat kesemua 10 kepingan kertas putih biasa telah bertukar menjadi wang kertas USD100.

 1BMS

Perangkap Berlapis-lapis

“Nanti dulu, saya masih tidak percaya! Saya hendak bawakannya kepada pengurup wang dahulu, sama ada dia terima atau tidak duit ini?”

Lalu, mereka berdua pergi ke kedai pertukaran wang asing di lobi hotel. Setelah diteliti kesahihan wang kertas tersebut, pengurup di situ terus memberi wang tunai lebih kurang RM3,500 sebagai tukarannya.

“Betulkan cakap saya? Saya tidak tipu.

"Kalau tuan berminat, minggu hadapan pihak pembekal kami akan membekalkan kepada kami kertas dan dakwat khas yang cukup untuk menukar 1000 keping kertas khas kepada 1000 keping USD100.

“Untuk kesemua barangan khas itu, tuan perlu laburkan RM150,000 sahaja. Selepas beberapa jam nanti, tuan boleh memiliki USD100,000 atau lebih kurang RM350,000. Keluar modal kecil tetapi untungnya berganda-ganda!”

“Ok, Peter. Bagi saya masa. Kalau saya sudah ada duit RM150,000 tersebut, saya akan hubungi awak.”

“Ingat ya tuan, perkara ini sulit dan tuan perlu bertindak segera. Tuan mesti dapatkan duit tersebut pada Sabtu hadapan. Kalau tidak,melepas tuan nanti. Tidak tahu bila lagi kita boleh dapat peluang macam ini lagi.”

Keesokan harinya Hakim mengeluarkan kesemua wang simpanannya berjumlah RM120,000 daripada akaun banknya. Untuk baki RM30,000 lagi, dia membuat pinjaman peribadi.

 2BMS

Perangkap Dipasang Sejak Awal

Pertama kali Hakim berjumpa dengan Peter adalah di sebuah restoran di KLCC. Peter ialah seorang pemuda kulit hitam yang berasal dari Ivory Coast. Dakwanya, beliau datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran sarjananya di sebuah universiti swasta di ibu kota. Setelah itu beberapa kali mereka bertemu hinggalah Peter mempelawa Hakim untuk menyertainya dalam skim ‘BlackMoney’.

Menurut Peter, skim itu sah dan bukannya skim yang selalu dilaporkan di dalam media. Mula-mulanya Hakim agak ragu-ragu. Namun setelah dia sendiri menyaksikan demonstrasi kertas bertukar duit itu, semakin hilang keraguannya. Lagipun Hakim sendiri yang memilih hotel untuk tujuan demonstrasi tersebut dan menukarkan sendiri “wang” tersebut dengan pengurup wang.

Sabtu yang ditunggu kini tiba.

“Terima kasih atas perlaburan tuan. Saya yakin tuan tidak akan menyesal. Ini dia dakwat dan kertas khas yang tuan tempah. Tuan boleh campurkan kertas khas tersebut sendiri. Saya boleh menunggu di bawah lobi hotel.”

“Ok Peter. Awak jangan kemana-mana ya. Saya akan turun sekejap lagi.” 

Namun setelah menunggu hampir dua jam, kertas khas yang dicampurkan dakwat khas tersebut masih belum menunjukkan kesannya. Lalu Hakim pun turun ke lobi untuk mencari Peter tetapi dia tidak kelihatan. Hakim menelefonnya tetapi tidak berjawab.

Akhirnya Hakim mengambil keputusan untuk membuat laporan polis. Inspektor polis yang mengambil laporannya memaklumkan bahawa kesnya adalah yang ke-10 pada bulan ini! Modus operandinya sama.

Silap Mata Sahaja

“Tapi macam mana semasa demonstrasi, kertas tersebut boleh bertukar menjadi USD100 yang benar dan boleh ditukar dengan pengurup wang?”

“Oh, itu mudah sahaja. Mengikut siasatan kami,kertas yang digunakan semasa demonstras iitu wang asli. Sejak awal lagi wang kertas itu digelapkan dengan dakwat khas. Semasa demonstrasi, ia dicelup dengan sejenis dakwat khas.Sebenarnya dakwat itu berfungsi untuk menanggalkan kesan dakwat hitam yang asal.

“Bagi mangsa, seolah-olah dakwat khas itu yang menukarkan kertas khas kepada USD100. Jadi memanglah pengurup wang tiada masalah untuk menerima “kertas khas” itu!

Hakim termenung panjang mengenangkan nasibnya. Sudahlah wang simpanannya hangus, dia terpaksa bayar hutang yang sia-sia.

Pengajaran dan Cadangan:

  1. Asas paling penting dalam mana-mana pelaburan ialah pulangan yang besar melibatkan risiko yang besar. Tiada pelaburan berisiko rendah yang boleh menjanjikan pulangan yang besar.
  2. Adalah penting orang awam untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan mana-mana skim yang menjanjikan pulangan yang besar dalam masa yang singkat.
  3. Layarilah laman web Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti atau PDRM bagi mengenal pasti bentuk pelaburan yang berunsurkan penipuan.
  4. Dapatkan nasihat khidmat pakar perunding kewangan yang berdaftar atau peguam sebelum memasuki apa-apa skim pelaburan.

 

Mohamed Fadly Dato’ Zakaria 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly.

Kembali ke atas